Hanya guna Mykad, pengguna setia ini tunjukkan cara jimat hingga ribuan ringgit

Spread the love

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Kisah MyKad, LRT dan jimat! Satu kisah perkongsian daripada Afil Jefri untuk warga Malaysia.

Saya nak kongsikan cara berjimat (UNTUK WARGANEGARA MALAYSIA YANG BERADA DI KAWASAN LEMBAH KLANG) yang saya sendiri dah cuba, dengan hanya menggunakan MyKad dan pengangkutan awam. Yang penting, anda perlulah warganegara Malaysia yang sah dan memiliki MyKad asli. Haha.

Ini bukan penulisan advertorial yang dibayar atau apa. Tapi, berdasarkan pengalaman saya sendiri. Kalau boleh, dalam zaman serba mencabar macam sekarang, kita semua nak sangat berjimat cermat kan.

Ya, memang ada banyak cara untuk berjimat sebenarnya. Tapi, saya nak share satu cara terlebih dahulu iaitu dengan menggunakan kenderaan awam semaksima mungkin.

Warga Kota Metropolitan tidak asing dengan pengangkutan awam

Untuk cara berjimat yang saya dah cuba buat ini, ada beberapa langkah dan tak susah pun.

1. Pastikan anda ada MyKad yang boleh berfungsi sebagai MyKad Touch ’N Go. Kalau selama ini, anda memang gunakan sebagai Touch ’N Go, maksudnya semuanya dalam keadaan baik. Kalau MyKad anda adalah MyKad versi terdahulu yang ada satu gambar, anda perlu ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan buat permohonan untuk tukar kepada MyKad baru yang ada dua gambar. Saya sendiri pun baru-baru ini, ke JPN untuk tukar MyKad saya dan Alhamdulillah, prosesnya boleh tahan pantas juga dan caj yang dikenakan hanya RM10.

2. Sila buat permohonan atau daftar Unlimited Travel Pass yang ada dua pilihan iaitu My100 dan My50. Pilih mana-mana pas berdasarkan penggunaan perkhidmatan awam yang sesuai untuk anda. Untuk saya, saya pilih My100.

3. Untuk mendaftar, bawa MyKad ke Pejabat Perkhidmatan Pelanggan Rapid KL yang terletak di beberapa lokasi seperti yang saya senaraikan di bawah.
– Semua stesen LRT
– Semua stesen MRT
– Semua stesen Monorail
– Semua stesen BRT
– Hab Bas Pasar Seni
– Hab Bas Seksyen 2, Shah Alam
– Hab Bas Sri Nilam
– Hab Bas Greenwood
– Hab Bas Terminal Kajang

4. Maklumkan kepada pekerja di kaunter perkhidmatan pelanggan bahawa anda ingin membeli My100 atau My50. Untuk My100, anda perlu mempunyai baki di dalam MyKad anda sebanyak RM10 manakala untuk My50, anda perlu ada baki sebanyak RM5. Jadi, kalau MyKad anda kosong, anda perlu membeli My100 dengan harga RM110 manakala untuk My50 dengan harga RM55. (Ini adalah untuk pembelian kali pertama atau pengguna baru).

5. Kemudian, anda akan diminta untuk mengisi nama, nombor MyKad dan beberapa butiran ringkas dalam satu borang.

6. Selepas anda selesai melakukan pembelian, anda terus boleh menggunakan pas tanpa had anda untuk menaiki kenderaan awam seperti LRT, MRT, BRT, Monorail dan bas Rapid KL. Pas ini tidak boleh digunakan untuk perkhidmatan KTM Komuter dan ERL kerana mereka bukan ‘geng’ Rapid KL. Lagi satu, kesemua perkhidmatan pengangkutan awam yang saya senaraikan di atas adalah untuk pas My100 sahaja, manakala untuk pas My50, ia hanya sah untuk perkhidmatan bas Rapid KL sahaja. Jangan keliru okay?

7. Untuk persoalan dan pertanyaan lain, anda boleh klik link ini (https://www.myrapid.com.my/…/all-t…/unlimited-pass-my100my50)

8. Akses ini boleh digunakan selama 30 hari dan jumlah hari berbaki akan tertera ketika anda menyentuh MyKad anda di pintu masuk stesen.

MyKad terkini yang perlu digunakan sebaiknya

Dari situ, saya dah berjimat daripada mengeluarkan wang untuk petrol, tol, parking dan sebagainya. Kalau memandu, tempoh masa perjalanan itu pun sebenarnya lebih lama daripada tempoh perjalanan menaiki kenderaan awam seperti LRT. Bila tersangkut dalam kesesakan lalu lintas, kita tak perasan pun sebenarnya kereta kita makan minyak kuat dan itu dah membazir.

Dalam sebulan, selalunya saya akan habiskan lebih kurang RM70 seminggu untuk petrol sahaja dan tol serta parking, lebih kurang RM50 dalam sebulan memandangkan saya banyak bergerak untuk kerja di luar pejabat.

RM70 x 4 minggu = RM280 (petrol)

RM280 (petrol) + RM50 (tol & parking) = RM330

Kalau saya keluar di hujung minggu atau hari cuti, RM330 akan bertambah menjadi RM350 ke RM400 sebulan.

Jadi, selepas saya cuba berjimat dan gunakan My100, saya cuba hadkan penggunaan kereta dan banyak menggunakan kenderaan awam seperti LRT. Jadi, biaya yang saya keluarkan untuk perjalanan pergi dan pulang kerja adalah RM100 dalam sebulan.

Secara kasarnya, saya dah jimat sebanyak RM230 hingga RM300 sebulan. Banyak kan?

RM230 x 12 bulan = Anda dah dapat jimat sebanyak RM2,760 dalam setahun.

Bayangkan, dengan jumlah RM2,760, dah boleh beli tiket penerbangan ke luar negara dan mungkin boleh gunakan untuk belanja ibu bapa dan keluarga.

Zaman guna touch n go jika guna kenderaan di jalanraya

Sebelum ini, saya cuba gunakan kad Touch ’N Go, tapi jumlah biaya bulanan saya untuk kenderaan awam lebih kurang RM150 sebulan (berdasarkan enam hari bekerja). Jadi, dengan menggunakan My100, saya dah jimat RM50 berbanding menggunakan Touch ’N Go.

Memanglah, RM50 apalah sangat untuk mereka yang banyak duit. Tapi, untuk saya, RM50 itu saya boleh buat duit makan tengah hari untuk lima hari. Hehe.

Kalau saya perlu ke mana-mana majlis yang lokasinya ada akses berhampiran stesen LRT, Monorail atau MRT, jadi mudah sebab saya cuma perlu sentuhkan MyKad saya di pintu masuk stesen.

Tapi, kalau saya perlu hadir ke majlis atau acara yang memang tak ada akses kereta api, terpaksalah saya memandu. Kadang-kadang, kalau acara anugerah yang habis jam 2 pagi, takkan saya nak tidur di stesen kan? Jadi, saya bawa kereta.

Nak berjimat pun, kena jadi realistik jugalah. Hehe. Tapi, anugerah pun bukanlah hari-hari kan. Jadi, tak menjadi masalah. Hehe.

Kereta semakin banyak di jalanraya

Kereta pun, sekarang banyak saya gunakan untuk hujung minggu atau bila perlu saja. Isi tangki sampai penuh pun kadang-kadang bertahan sampai dua minggu. Jimat kan?

Satu lagi faedah adalah, dapat jugalah saya keluarkan peluh sedikit sebab perlu berjalan kaki dari Stesen LRT Abdullah Hukum ke pejabat. Tak jauh pun, tapi perjalanan pergi balik itu memang buat berpeluh jugalah. Harapnya, dapatlah susutkan badan yang sebesar lori tanah ini. Haha.

Semoga info ini berguna untuk mereka yang sedang cuba berjimat macam saya. Mungkin ada yang dah tahu mengenai pas-pas ini. Jadi, saya kongsikan dengan mereka yang belum tahu dan baru nak bermula jadi pengguna.

Semoga bermanfaat.

Afil Jefri ,
Pengguna setia LRT dengan gambar MyKad ala ahli keluarga Yokies


Spread the love
OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!