Doula “bidan jadian”, apa ibu-ibu perlu tahu?

Spread the love

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Beberapa hari kebelakangan ini, para doula di Malaysia terkena tempias panas akibat kes bersalin yang berakhir dengan tragedi.

Dikatakan bahawa seorang doula, atau peneman kelahiran, telah terlibat dalam proses bersalin seorang ibu di mana ia berlaku di rumah sendiri. Kes itu diterukkan lagi dengan keadaan posisi bayi yang songsang.

Akibatnya, bayi tersebut lemas dan gagal diselamatkan walaupun telah dikejarkan ke hospital. Kes bersalin berkaitan doula di Malaysia bukan yang pertama kali. Sebelum ini, telah berlaku kes bersalin di rumah dengan doula menjadi penemannya.

Latihan doula di luar negara

Mungkin dengan perkongsian fakta ini, para ibu di luar sana dapat lebih memahami fungsi sebenar doula.

Apa itu Doula?

Pertamanya, perkataan ‘doula’ itu sendiri berasal daripada perkataan Greek yang bermaksud “hamba wanita”.

Golongan ini telah pun wujud berabad lamanya dan dikatakan mampu memberikan pengalaman positif kepada para ibu yang hamil dan bakal bersalin.

Tugas doula di Malaysia

Menurut penjelasan American Pregnancy Organization, doula adalah seorang pelatih profesional yang membantu memberikan sokongan dari segi:

  • emosi
  • pendidikan (contohnya, ilmu kehamilan, cara meneran, cara bernafas)
  • fizikal (secara sentuhan seperti urutan)

Sokongan ini diberikan kepada ibu yang hamil, akan bersalin, atau telah bersalin.

Tugas utama doula adalah untuk membantu para ibu mempunyai pengalaman bersalin yang selamat, menenangkan dan diingati.

Jenis-jenis doula di Malaysia

Secara asasnya, ada 3 jenis doula iaitu doula antepartum, doula labor, dan doula pospartum.

Doula antepartum membantu memberi ilmu kehamilan dan mengajar cara-cara bersalin kepada ibu mengandung.

Doula labor pula berada di sisi ibu ketika bersalin. Namun, seorang doktor ada berkongsi dengan kami tentang isu doula di Malaysia:

“Hospital kerajaan tidak membenarkan orang lain masuk ke bilik bersalin. Malah, sesetengah polisi hospital swasta di Malaysia juga tidak membenarkannya.”

Manakala, doula postpartum akan berada di sisi ibu selepas bersalin dan membantu dalam hal penjagaan bayi dan penyusuan. Malah ada juga doula postpartum yang membantu dari segi penjagaan ibu dan pengurusan kerja rumah.

Adakah doula ganti suami untuk berada di sisi isteri ketika bersalin?

Tidak, doula bukan bertujuan untuk mengganti tugas suami untuk berada di sisi isteri ketika bersalin. Mereka lebih dianggap sebagai sokongan tambahan untuk si ibu.

Suami masih perlu memainkan peranan aktif dalam hal penjagaan isteri dan proses bersalin.

Apa beza antara doula dan bidan?

Mungkin ramai para ibu di luar sana yang masih keliru tentang perbezaan antara doula dan bidan, atau turut dikenali sebagai midwife.

Berdasarkan bidan adalah seorang ahli medikal terlatih dan profesional yang boleh membantu secara langsung ketika proses bersalin.

Manakala, doula pula hanya berfungsi sebagai peneman yang membantu untuk memberi panduan secara lisan tentang cara meneran atau mengurut bagi menenangkan ibu yang sedang bersalin.

Dapatkan khidmat nasihat doktor, itu lebih utama.

Fakta lain tentang doula yang ibu perlu tahu

Selepas memahami tentang maksud doula dan tugasnya, mari ketahui beberapa fakta penting lain.

Kami merasakan, para ibu di luar sana perlu mengetahui tentang perkara ini supaya tiada lagi salah faham dan kes tragedi bersalin dapat dielakkan.

  • Doula tidak boleh memberikan sebarang nasihat atau penjagaan perubatan kepada ibu hamil, terutamanya tentang hal obstetrik.
  • Doula sama sekali tidak menggantikan tugasan jururawat, doktor dan doktor pakar.
  • Doula boleh berkongsi informasi tentang cara bersalin, penyusuan, penjagaan bayi tetapi tidak boleh menetapkan cara bersalin bagi pihak ibu.
  • Doula boleh menjadi sebahagian daripada kumpulan penasihat ibu (di samping doktor, jururawat dan bidan), tetapi bukanlah penasihat perubatan utama yang tunggal.
  • Doula sepatutnya tidak menangani kes ibu yang mempunyai kehamilan berisiko tinggi atau menangani sebarang isu kecemasan ketika bersalin.

Diharapkan dengan perkongsian fakta tentang doula di Malaysia, para ibu boleh memahami lebih mendalam tentang perkhidmatannya. Apa yang penting adalah anda mendapatkan nasihat dan pemantauan doktor. Mereka lebih berilmu dan berpengalaman dalam hal obstetrik.

Ya, doula sememangnya membantu dari segi menambahkan ilmu tentang proses kehamilan dan cara bersalin dengan betul.

Namun tugasan mereka lebih kepada menasihati, menemani dan membantu dari tepi sahaja. Tidak lebih dari itu. 

Nyawa bayi sangatlah berharga dan kita sebagai ibu tidak sepatutnya mempertaruhkan nyawa mereka semata-mata keinginan diri.

Seperti yang dipetik daripada kata-kata Profesor Madya Dr. Rafidah Hanim Mokhtar dalam artikelnya:

“Kepentingan siapakah yang anda utamakan, anda atau bayi anda?”

Kelahiran bayi itu sepatutnya disambut oleh individu yang merupakan anggota kesihatan dan mesti bertauliah untuk mengendalikan kelahiran bayi.
-theasianparent


Spread the love

5 Comments

  1. tak payah la Doula bagai ni, risikko lebih tinggi. Tak faham la kenapa la diorg ni memilih utk percaya kepada doula..tinggi risiko pada nyawa ketika proses melahirkan tu..hallah halahhhhh halahhhhh

Comments are closed.

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!