Indahnya bersalaman, ini kelebihannya

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Islam merupakan sebuah agama yang amat menitikberatkan adab-adab dalam berkomunikasi sesama manusia sama ada Islam dan bukan Islam. Untuk itu, di antara sebab Allah SWT mengutuskan Nabi Muhammad SAW adalah untuk menyempurnakan atau mengajarkan akhlak kepada sekalian manusia berdasarkan sabda Baginda yang bermaksud:

Maksudnya: “Sesungguhnya tidak aku diutuskan melainkan untuk menyempurnakan kebaikan akhlak.” [Riwayat Ahmad (8952)]

Tambahan pula, bersalaman ketika bertemu termasuk di dalam adab-adab Islam dan akhlak yang terpuji. Ini kerana, ia menggambarkan sifat cinta dan kasih sayang di antara yang bersalaman. Terdapat sebuah hadith yang menunjukkan kelebihan perbuatan bersalaman iaitu:

  • Daripada al-Bara’ berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَا مِنْ مُسْلِمَيْنِ يَلْتَقِيَانِ، فَيَتَصَافَحَانِ، إِلَّا غُفِرَ لَهُمَا قَبْلَ أَنْ يَتَفَرَّقَا

Maksudnya: “Tidaklah ada dua orang muslim itu apabila bertemu, lalu bersalamanan, melainkan akan diampunkan dosa keduanya sebelum mereka berpisah.” [Riwayat Ahmad (18547)]

Hadith di atas ini juga diriwayatkan oleh Imam Abu Daud, Imam al-Tirmizi dan juga Imam Ibn Majah di dalam sunan mereka.

  • Daripada Qatadah RA, beliau berkata kepada Anas bin Malik RA:

أَكَانَتِ المُصَافَحَةُ فِي أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ؟ قَالَ: نَعَمْ

Maksudnya: “Adakah terdapat perbuatan bersalaman dalam kalangan sahabat Nabi SAW?.” Jawab Anas: “Ya.” [Riwayat al-Bukhari (6263)]

Selain itu, Imam Ibn Batthal menyatakan bersalaman merupakan satu kebaikan menurut kebanyakan ulama dan Imam al-Nawawi juga menyatakan bahawa bersalaman merupakan sunnah yang disepakati ketika bertemu. [Lihat: Fath al-Bari, 55/11] 

Perbuatan ini juga telah dinaskan oleh kebanyakan para ahli feqah bahawa bersalaman adalah sunnah dengan berdalilkan kepada sejumlah khabar-khabar yang sahih dan juga hasan. [Lihat: al-Mawsu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 356/37]

Manakala hukum bersalaman (berjabat tangan) itu pula terbahagi kepada tiga bahagian :

i. Bersalaman antara sesama jenis (jantina)

Bersalaman antara seorang lelaki dengan lelaki atau seorang perempuan dengan perempuan yang lain adalah sunat. Malah ianya adalah dituntut oleh agama setiap kali pertemuan. Bagi pertemuan yang jarang berlaku atau ketika balik dari belayar kita juga dianjurkan bersalaman dengan cara berpelukan.

ii. Bersalaman antara lelaki dengan perempuan asing (ajnabiah)

Bersalaman antara lelaki dengan perempuan ajnabiah adalah haram, bahawa Rasulullah Sallallahu `Alaihi Wasallam tidak pernah berjabat tangan dengan perempuan. 

iii. Bersalaman antara lelaki dengan mahramnya
Hukum bersalaman di antara seorang lelaki dengan mahramnya atau seorang perempuan dengan mahramnya adalah sama dengan hukum bersalaman antara sesama jenis iaitu sunat. Islam juga menganjurkan malah disunatkan kita mencium tangan kedua ibubapa ketika bersalaman dengan mereka. Begitu juga disunatkan mencium tangan orang alim, sultan atau raja yang adil.

Apa yang berlaku di kalangan segelintir masyarakat kita sekarang ini, ada yang beranggapan bersalaman dengan keluarga yang hampir seperti sepupu, isteri bapa saudara, adik ipar atau kakak ipar dan lain-lain yang tidak bersangkut paut dengan mahram. Ini adalah keliru, kerana hukumnya tetap ajnabiah haram bersentuhan.

Kesimpulannya, hadith berkaitan kelebihan bersalaman merupakan hadith yang hasan sebagaimana yang dinyatakan di atas. Tambahan pula, amalan ini telah wujud di zaman Rasulullah SAW lagi sebagaimana yang diceritakan oleh para sahabat Baginda SAW.

Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kekuatan untuk dalam mengamalkan serta menyebarkan sunnah Nabi SAW.

2 Comments

  1. Perbuatan sunnah yang mudah untuk mendapat pahala. Berganda pahala jika diawali dengan memberi salam. Berganda lagi bila ketika bersalam, mengucapkan selawat kepada rasul dan kemudiannya bertanya khabar sesama sendiri.

Comments are closed.

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!