Bajet 2022: Bantuan secara tunai akan diteruskan – PM

Spread the love

Kredit: Bernama

KUALA LUMPUR: Bajet 2022 yang bakal dibentangkan di Dewan Rakyat bakal mengambil kira daripada semua pihak dan dijangka akan memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat termasuk peniaga.

Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kerajaan menerusi Kementerian Kewangan juga memperkenalkan portal Cadangan Bajet dan telah menerima lebih 50,000 ribu cadangan daripada orang ramai.

Malah, menurutnya bajet kali ini juga mengambil kira pandangan serta cadangan wakil rakyat daripada blok pembangkang.

“Semua cadangan atau pun pandangan cadangan tersebut digunakan sebagai asas untuk menggubal untuk merangka bajet tersebut. Jadi bajet ini dikira mengambil semua padangan daripada rakyatlah, semua sekali tak kira siapa,” jelasnya pada sesi Wawancara Bajet 2022 Bersama Perdana Menteri dengan media tempatan di ibu negara, hari ini.

Bajet kali ini juga jelasnya berteraskan tiga prinsip Keluarga Malaysia iaitu Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran.

Selain itu ia memberikan tumpuan kepada strategi 3M iaitu Memulih kehidupan, Membina semula daya tahan dan Memangkin pembaharuan.

Tambah Datuk Seri Ismail bantuan langsung secara tunai juga akan diteruskan seperti sebelumnya dalam Bajet 2022.

“Bajet yang lepas banyak insentif dan sumbangan diberikan langsung kepada rakyat secara tunai dan sebagainya, perkara yang sama kita akan teruskan. Seperti saya kata tadi, walaupun pandemik sedang berakhir, saya difahamkan banyak yang dalam tabung dalam bank dan sebagainya sudah tiada simpanan lagi.

Bajet 2022 ini turut memberi fokus terhadap masalah kadar pengangguran disebabkan pandemik COVID-19.

Jelasnya, walaupun statistik menunjukkan jumlah peratusan yang semakin menurun namun kerajaan akan tetap berusaha untuk memastikan mereka yang terjejas akan mendapat semula peluang untuk bekerja.

“Pengangguran sudah dapat diturunkan daripada 5.3 peratus pada Mei 2020 kepada 4.6 peratus pada Ogos 2021. Jadi, kalau kita boleh perancangan kita adalah menurunkan lagi kadar pengangguran, kalau (boleh) 4 peratus ke bawah dianggap tiada pengangguran,” jelasnya.

Sektor pendidikan, kesihatan dan keselamatan adalah antara yang terbesar akan dibelanjakan dalam Bajet 2022.

Jelasnya, ia bagi memastikan suasana pembelajaran pelajar-pelajar di negara ini sentiasa kondusif selain memastikan usaha berterusan dalam memperkasakan sektor kesihatan awam negara.

Malah jelasnya sektor kesihatan akan diberi penekanan sehingga merangkumi aspek fizikal dan juga aspek pembangunan dan penyelidikan.

“R&D kesihatan ini mesti diperkasakan. Sebagai contoh kita mengharapkan vaksin daripada negara lain, pernah satu ketika tempahan kita untuk vaksin itu berlaku kelewatan yang memberi kesan kepada kita. Jadi kalau kita boleh mengeluarkan vaksin sendiri untuk COVID-19 kita bukan sahaja mampu digunakan untuk rakyat kita tetapi juga boleh kita eksport ke negara lain yang memerlukanya,” katanya.

Turut diberi tumpuan katanya adalah membabitkan soal merancakan kembali sektor mikro di negara ini yang begitu teruk menerima kesan daripada pandemik COVID-19.

Katanya, Bajet 2022 akan menyediakan insentif besar untuk pemain industri dalam sektor tersebut bagi membolehkan mereka mampu kembali membawa produk mereka ke pasaran seperti sebelum ini.

“Mereka tidak mampu meneruskan perniagaan kerana tiada modal lagi, ketiadaan modal peniaga-peniaga mikro ini. Jadi memang kita telahpun bukan merancang (tetapi) telahpun bersedia untuk membantu mereka untuk memulakan semula perniagaan (untuk modal permulaan perniagaan).

“jadi kita ada, ada di dalam bajet ini cuma saya tidak boleh umumkan tetapi ada khusus untuk membantu perniagaan mikro, kecil dan sederhana,” jelasnya.

Bajet 2022 dijadualkan akan dibentangkan Jumaat (29 Oktober) ini oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Mohd Zafrul Tengku Abdul Aziz.

AWANI


Spread the love

One Comment

Comments are closed.

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!