Covid-19: Malaysia rekod trend penurunan sejak Minggu Epidemiologi ke-34

Spread the love

KUALA LUMPUR: Malaysia merekodkan trend penurunan kes COVID-19 sejak kebelakangan ini apabila mencatat penurunan kes sejak Minggu Epidemiologi (ME) ke-34.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata pada ME ke-42 dari 17 Okt hingga 23 Okt, kes baharu COVID-19 menurun 20.7 peratus daripada 52,321 kes dalam (ME ke-41) kepada 41,508 kes semasa ME ke-42.

“Purata kes aktif juga menunjukkan penurunan 21 peratus daripada 105,497 kes (ME ke-41) kepada 83,605 kes (ME ke-42) sementara kes kematian menurun 16.4 peratus daripada 593 kes (ME ke-41) kepada 496 kes (ME ke-42).

“Bagi kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) pula menurun 16.5 peratus iaitu 684 kes (ME ke-41) kepada 571 kes (ME ke-42), sementara kes memerlukan bantuan pernafasan menurun 14.4 peratus iaitu 292 kes (ME ke-41) kepada 250 kes (ME ke-42) dengan kadar kebolehjangkitan (RT) kekal stabil sekitar nilai 0.88,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, beliau berkata sebanyak 56 kluster dilaporkan pada ME ke-42 melibatkan tempat kerja (35), komuniti (sembilan), pusat pendidikan (tujuh), kumpulan berisiko tinggi (tiga) dan keagamaan (dua)

Menjelas lanjut, Dr Noor Hisham berkata secara kasar, negara-negara di Asia Tenggara menunjukkan trend penurunan kes COVID-19 sejak kebelakangan ini namun dua negara jiran iaitu Singapura dan Brunei menunjukkan trend peningkatan kes COVID-19.

Katanya kedua-dua negara itu menunjukkan kadar kes bagi setiap satu juta penduduk yang lebih tinggi berbanding Malaysia (180.91 kes) iaitu pada kadar 584.86 kes (Singapura) dan 499.88 kes (Brunei).

“Justeru walaupun Malaysia menunjukkan penurunan kes, pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) perlu terus diamalkan bagi mengelak peningkatan kes seperti negara-negara jiran setelah pembukaan sektor pendidikan dan ekonomi yang lain,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata Kementerian Kesihatan (KKM) memperuntukkan 28,832 katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC), 15,241 katil wad biasa, 1,374 katil wad ICU dan 2,861 alat bantuan pernafasan bagi merawat pesakit COVID-19, kes disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan.

Katanya penggunaan katil di PKRC dan katil di wad biasa dan ICU menunjukkan trend penurunan sekitar empat hingga lapan peratus pada ME ke-42 berbanding ME ke-41.

Mengenai kes harian, Dr Noor Hisham berkata kes baharu COVID-19 menurun kepada 4,782 kes hari ini daripada 5,666 kes semalam, manakala 7,414 kes sembuh direkodkan dalam tempoh 24 jam lepas.

Beliau berkata enam kluster baharu direkodkan hari ini melibatkan tiga tempat kerja, dua institusi pendidikan dan satu komuniti.

— BERNAMA


Spread the love

One Comment

Comments are closed.

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!