Bajet 2016 adakah membeli keyakinan rakyat

Assalamualaikum dan Salam 1Dunia, seperti saban tahun minggu kedua Oktober adalah masa Kerajaan membentangkan prestasi ekonomi negara sepanjang tahun 2015 dan pencadangkan perbelanjaan negara untuk tahun 2016. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak selaku Menteri Kewangan akan membentangkan bajet 2016 di Parlimen pada 23 Oktober untuk didebatkan selama sebulan. Bajet tahun ini pasti berbeza ketika keyakinan rakyat kepada Perdana Menteri semakin menurun menurut berbagai statistik politik.

Kalau sahabat masih ingat tulisan aku untuk bajet 2014 bertajuk “Musim bunga sudah berlalu” adalah pendapat peribadi aku yang sudah bergelumang berbelas tahun dalam bisnis di Malaysia dan Nusantara. Hari ini tulisan itu menjadi kenyataan apabila ekonomi Malaysia dan dunia  terumbang ambing yang mengakibatkan kehidupan rakyat semakin terhimpit. Berjuta-juta pekerja mencari peluang untuk menjana pendapatan kedua bagi menampung ekonomi keluarga yang semakin meruncing.

Bajet-2014-rakyat-mengharap

2015 lebih berbeza apabila keyakinan rakyat kepada Perdana Menteri semakin terhakis. Aku sendiri pada mulanya agak marah dengan mantan PM Tun Dr Mahathir yang terlalu lantang mengkritik Perdana Menteri pilihan beliau. Tetapi semakin hari kontroversi 1MDB dan dana politik RM2.6 billion yang dibiar begitu sahaja menjadikan rakyat lemas. Bagi menyejukan hati rakyat berbagai badan penyiasat ditubuhkan yang kemudian dibiar tergantung dengan melantik ahli menjadi Timbalan Menteri dan ada yang disingkirkan dengan alasan yang tidak logik. Perpindahan beberapa pegawai Kerajaan berpangkat tinggi yang berkaitan dengan siasatan dengan alasan yang tidak logik lagi mengelirukan fikiran rakyat.

Memang benar rakyat Malaysia mudah lupa tetapi itu pada zaman pra-siber. Hari ini dalam dunia internet capaian sesaat rakyat akan sentiasa diingatkan oleh musuh politik Kerajaan. Mungkin pada awal kisah rakyat fikir ini permainan politik pembangkang tetapi apabila Kerajaan terus melakukan berbagai kesilapan yang jelas dalam menguruskan isu 1MDB dan dana politik RM2.6 billion sudah pasti keyakinan semakin terhakis.

subsidi-menghancurkan-bangsa

Adakah dengan meningkat pemberian BR1M yang lebih tinggi, bonus kakitangan kerajaan, menaikan dividen ASB dan Tabung haji serta EPF, menyediakan lebih banyak PR1MA dan sebagainya dalam bajet 2016 dapat mengembalikan keyakinan rakyat kepada pemerintah yang baru sahaja menaikan kadar tol lebuh raya dalam bandar dan realiti sebenar GST yang belum nampak membantu rakyat. Apabila diberi subsidi begini rakyat pasti ambil tetapi seperti tulisan aku sebelum pembentangan bajet tahun 2013 bertajuk “Subsidi menghancurkan bangsa“, semua bantuan ini  tidak akan dapat membina bangsa Melayu yang boleh bersaing di pasaran dunia.

Kerajaan mesti mendengar pandangan rakyat sekiranya ingin terus mentadbir Malaysia pada penggal yang akan datang. Sekiranya terus membatu dan menyangka semua yang dibuat adalah betul jangan meratapi jika tewas pada PRU14. Kepada menteri-menteri janganlah semuanya nak dibalon apabila ada yang menegur kerajaan. Mereka menegur kerana sayang pada Kerajaan sebab apabila sudah terlepas tangan susah nak dapat balik. Jangan mengampu terlebih sangat sehingga ternampak tidak realistik.

Samada bajet 2016 bakal membeli keyakinan rakyat yang semakin terhakis itu terpulang kepada tafsiran setiap rakyat Malaysia.

255 Comments

Comments are closed.

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!