Adakah melatah membatalkan solat kita?

Spread the love

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW dan keluarga, sahabat seterusnya yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Dua perkara perlu difahami dengan baik iaitu takrifan melatah dan perbahasan ulama’ berkaitan dengan perkara yang membatalkan solat.

Melatah didefinisikan melakukan sesuatu atau mengeluarkan perkataan tanpa disedari kerana terperanjat dan sebagainya.

solat tiang agama

Dari sudut perubatan ia juga dianggap sebagai penyakit saraf yang menyebabkan seseorang itu (biasanya perempuan) tidak sedar apa yang dilakukannya, suka mengikut perbuatan atau suruhan orang dengan tidak disedari, mengeluarkan perkataan atau membuat sesuatu dengan tidak disengajakan kerana terperanjat dan lain-lain.

Melatah yang dilakukan tanpa sedar ini dibahagikan kepada empat istilah:

  • Echolalia: Perbuatan mengulangi tingkah laku orang lain.
  • Echopraxia: Perbuatan meniru perbuatan orang lain
  • Coprolalia: Mengucapkan kata-kata tertentu berulang-ulang kali, tidak terkecuali kata-kata berunsur negative dan kotor.
  • Automatic Obedience: berkelakuan secara spontan akibat terejut dengan melakukan apa sahaja yang disuruh

Selain itu, menurut Pakar Perunding Psikiatri, Dr Daniel Zainal Abdul Rahman, beliau menyatakan bahawa:

“Dalam istilah Bahasa Inggeris kita panggil kecelaruan ‘dissociative’. Ini bermaksud apabila seseorang terlampau resah, dia akan rasa bahawa dia terpisah dengan alam sekelilingnya. Orang yang melatah juga seperti itu, mereka tidak sedar akan perbuatan mereka. Ada sesetengah orang yang melatah, dia tidak sedar apa yang dia kata.

Rawatan untuk melatah adalah untuk mengawal keresahan seseorang yang melatah. Yang pertama adalah teknik pernafasan dari abdomen. Kita juga mengalakkan mereka untuk melakukan meditasi yang berstruktur. Kita galakkan mereka untuk membuat senaman untuk mengurangkan stres yang memudaratkan latah. Selain itu, apabila seseorang resah, dia akan berfikiran negatif.

Kita mengajar mereka untuk berfikiran positif. Semua ini akan mengurangkan gejala melatah. Biasanya orang yang melatah mempunyai faktor-faktor genetik, tetapi tidak semestinya latah, tetapi ada kecelaruan dari segi pemikiran mereka”.

contoh melatah yang teruk

Menurut pakar, orang yang melatah ini tidak dapat mengawal latah sama ada percakapan mahupun perbuatan. Mereka sedar apa yang mereka buat, tetapi tidak boleh mengawalnya. Melatah ini turut memberi kesan yang memudaratkan terutamanya untuk orang yang menghidapi penyakit jantung dalam masa yang sama.

Oleh itu, sekiranya orang yang melatah ini mendapatkan rawatan, pakar akan melihat apakah yang merangsang orang tersebut untuk melatah.

Yang kedua, dalam meneliti hukum yang ditanyakan perlu untuk kita fahami hukum-hakam berkaitan solat. Solat adalah perbuatan yang diperintahkan oleh Allah SWT kepada hamba-hambanya. Solat ini meliputi perkara rukun, perkara sunat dan perkara yang membatalkan solat tersebut.

Secara asasnya kita mengetahui bahawa bercakap selain daripada bacaan-bacaan di dalam solat akan membawa kepada batalnya solat. Syeikh Salim al-Hadrami menyenaraikan 14 perkara yang membatalkan solat, salah satunya ialah menuturkan perkataan meskipun perkataan itu hanya terdiri daripada dua huruf.

Asal bagi larangan mengeluarkan perkataan selain daripada bacaan solat adalah berdasarkan firman Allah SWT:

Maksudnya: Peliharalah kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya) segala sembahyang fardu, khasnya sembahyang Wusta (sembahyang Asar), dan berdirilah kerana Allah (dalam sembahyang kamu) dengan taat dan khusyuk. (Surah al-Baqarah: 238)

Para fuqaha’ bersepakat menyatakan bahawa bercakap-cakap selain bacaan di dalam solat adalah membatalkan solat. Begitu juga para fuqaha’ dari mazhab al-Syafie, mazhab al-Hanafi dan mazhab al-Hanbali menyatakan bahawa perkataan yang terdiri daripada dua huruf membatalkan solat.

Namun begitu, mazhab al-Syafie menyatakan bahawa perkataan yang dituturkan ketika solat kerana terlupa dan orang yang tidak tahu dengan pengharaman ini terutama yang baru memeluk Islam, atau tinggal berjauhan daripada para ulama’, atau terlepas cakap yang mana perkataan itu secara uruf adalah ringan, maka dimaafkan.

Dalam hal ini, mazhab al-Syafie mengambil hukum berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA:

Maksudnya: Bahawa Rasulullah SAW keluar daripada solat setelah selesai dua rakaat. Lalu Zu al-Yadain (Saidina Uthman) bertanya kepada Baginda: “Adakah solat dipendekkan atau kamu lupa wahai Rasulullah” Maka Baginda SAW bersabda: “Apakah benar? (yang diperkatakan Saidina Uthman).Orang lain berkata: “Benar”. Maka Rasulullah pun berdiri, lalu solat dua rakaat baki.Riwayat al-Bukhari (1228)

Berdasarkan nas dan hujah di atas, dinyatakan bahawa melatah adalah suatu penyakit yang mana perbuatan itu tidak disengajakan. Melatah yang sedikit menurut ‘uruf serta tidak berulang-ulang tidak membatalkan solat dan ini termasuk di dalam golongan sabqu lisan, iaitu orang yang terlepas cakap.

Namun, seperti mana yang disebutkan oleh mazhab al-Syafie, perkataan itu mestilah tidak berlebih-lebihan. Sekiranya berlebih-lebihan, maka terbatal solat tersebut.

Semoga kita semua mendapat taufik dan hidayah dalam mengamalkan syariat-Nya. Amin


Spread the love

2 Comments

Comments are closed.

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!