5 Langkah Mudah Belajar Menyayangi Al-Quran

Assalamualaikum dan selamat sejahtera,

Kadang-kadang dalam diri ini rasa seperti tidak lengkap, rasa seperti tidak cukup dengan sesuatu. Mulalah kita tercari-cari apa sebenarnya yang ditinggalkan selama ini? Apa yang membuatkan diri ini sentiasa rasa gelisah? Cuba semak dan didapati, dah lama sebenarnya kita tinggalkan Al-Quran. Allahu.

Sebenarnya, dalam kehidupan ini, kita rindu untuk membaca Al-Quran. Jangan abaikan rasa rindu ini kerana mungkin hati kita sedang disapa Ilahi. Sehari kita tinggalkan untuk membacanya, mulalah pelbagai masalah yang timbul. Hati rasa serba salah kalau tak membacanya. Betulkan?

Memang bukan mudah mendidik hati meluangkan masa istiqamah membaca Al-Quran semula. Tetapi jika dimulakan dengan langkah yang kecil dan mudah, pasti semuanya tidak menjadi mustahil untuk dilakukan.

Ikuti 5 langkah paling mudah ini untuk kita belajar menyayangi Al-Quran semula.

1. Niat yang ikhlas

Bertuah kita menjadi umat Nabi Muhammad SAW, berniat melakukan kebaikan pun sudah mendapat pahala. Sebut dengan jelas kepada diri sendiri, saya ingin tekun membaca Al-Quran semula kerana:

  • Ingin menjadikannya pelindung di akhirat kelak
  • Ingin merasa tenang yang tiada tolok-bandingnya
  • Ingin mencari redha Ilahi

Tanya pada diri sendiri kenapa kita ingin membaca Al-Quran semula. Sebutkan niat ini dengan jelas. Percayalah Allah swt pasti mendengar dan akan memudahkan urusan kita nanti, asalkan kita tidak berputus-asa.

“Sungguh, Allah mengetahui yang ghaib (tersembunyi) di langit dan di bumi. Sungguh, Dia Maha Mengetahui segala isi hati”. Surah Al-Fathir: Ayat 38

2. Ini Al-Quran dan Terjemahan saya

Cuba dapatkan satu Al-Quran beserta terjemahan kita sendiri, yang baru di kedai buku agama berdekatan. Mengambil sedikit wang di dalam dompet untuk membeli buku paling istimewa, pasti tidak akan merugikan.

Beli yang dekat di hati, mungkin kecil agar mudah digenggam dibawa ke mana-mana, atau dengan cover warna pilihan. Jadikan ia buku peribadi, buku kesayangan kita selama-lamanya.

Kenapa perlu terjemahan pula? Seperti bercinta, jika hendak mengenali hati budi seseorang, pastilah kita perlu memahaminya dahulu betul tak? Jadi kali ini kita baca Al-Quran dengan terjemahannya sekali. Barulah bercinta namanya.

3. Mula membaca

Adakalanya perkara paling susah untuk dibuat adalah untuk bermula. Cari kekuatan untuk mula membaca Al-Quran semula, kali ini dengan misi lebih jelas iaitu untuk belajar memahaminya juga (melalui terjemahan).

Perkataan pertama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW adalah Iqra’ atau “bacalah”. Walaupun kita mampu membeli Al-Quran paling mahal dan cantik, buku ini tidak akan dapat membantu kita sekiranya terbiar menjadi perhiasan di dalam almari kaca.

Lama tidak membaca Al-Quran rasa kurang cekap pula. Jangan risau.

“Orang yang membaca Al-Quran dengan mahir adalah bersama para malaikat yang mulia lagi taat, sedangkan orang yang membaca Al-Quran dengan tergagap dan susah membacanya baginya dua pahala”

– Riwayat Muttafaq Alaih

Betapa sayangnya Allah swt pada kita. Tidak pandai baca pun dapat pahala.

Baca: Makanan Ahli Syurga Menurut Al-Quran

4. Tekun menghayati

Meluangkan masa setiap hari untuk membaca Al-Quran agak mencabar juga jika kita terbiasa sibuk dengan urusan harian. Letak satu misi yang mudah dicapai seperti 1 hari = 1 mukasurat dahulu.

Pilih waktu yang kurang gangguan seperti di awal pagi atau pun sebelum kita melelapkan mata. Tekun mengikuti jadual ini sehingga kita merasa tidak selesa jika tidak sempat membaca Al-Quran.

Oh iya, jangan lupa tandakan ayat-ayat yang menyentuh hati kita. Kadangkala kita akan bertemu dengan jawapan yang kita cari-cari pada mukasurat Al-Quran yang kita selak pada hari itu. Ini bukan kebetulah tetapi Allah swt telah menghantar jawapan dan panduan terus kepada kita, di saat-saat kita perlukannya.

“Dan sungguh, telah Kami mudahkan Al-Quran untuk peringatan, maka adakah orang yang mahu mengambil pengajaran?” (Surah Al-Qamar: Ayat 22)

Baca: Hikmah disebalik Nuzul Al-Quran

5. Amal dan baiki diri

Al-Quran adalah sebuah buku istimewa yang tidak pernah lupa kepada kita. Ayat-ayat di dalamnya sentiasa mengingatkan kita berkali-kali bahawa dunia ini hanyalah tempat sementara sahaja. Masalah dan dugaan di dunia ini akan dirasakan seperti debu yang berterbangan jika kita sentiasa membaca buku penyejuk hati ini, serta berusaha memperbaiki bacaan dan pemahaman kita.

Menyayangi Al-Quran = Kita baca + fahami + sentiasa perbaiki diri.

Jika dunia ini menduga kita, kita kembali kepada Al-Quran.

Jika hati merasa bahagia, kita ambil Al-Quran dan baca lagi.

Jika merasa kehilangan, dakap Al-Quran ini dan rasakan diri sangat disayangi.

Kembali menyayangi Al-Quran = Kembali ke jalan Ilahi.

“Sungguh, (ayat-ayat) ini adalah peringatan, maka barangsiapa mengkehendaki (kebaikan bagi dirinya) tentu dia mengambil jalan menuju Tuhannya”. (Surah Al-Insan: Ayat 29)

Dengar bisikan hati kita yang ingin kembali meneliti buku istimewa Al-Quran yang sentiasa memberi rasa selamat sejak dahulu, kini dan akan menyelamatkan kita suatu hari nanti.

Pada hari-hari di mana air mata kita menitis sewaktu membaca Al-Quran ini, adalah hari di mana hati kita sudah mula terbuka untuk menyayanginya semula.

Selamat membaca Al-Quran semula.

Semoga beroleh rasa tenang dan selamat yang dicari.

“Wahai jiwa yang tenang! Kembalilah kepada TuhanMu dengan hati yang redha dan diredhaiNya. Maka masuklah ke dalam golongan hamba-hambaKu. Dan masuklah ke dalam syurgaKu”. (Surah Al-Fajr: Ayat 27-30)

One Comment

  1. Wahai jiwa yang tenang! Kembalilah kepada TuhanMu dengan hati yang redha dan diredhaiNya .

    Semoga diri ini sentiasa istiqomah untuk membaca Al-Quran pada setiap hari .

Comments are closed.

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!