5 Cara Bersyukur Dengan Mudah

Spread the love

Assalamualaikum dan selamat sejahtera

Pastinya ayat Al-Quran yang menyatakan bahawa Allah SWT akan menambahkan lagi rezeki buat hambaNya yang bersyukur tidaklah asing lagi bagi kita. Firman Allah SWT yang bermaksud;

“Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah nikmat-Ku kepada kamu…” Surah Ibrahim : 7

Sesungguhnya dunia ini tempat ujian dan kita dicipta untuk menyembah Allah. Usahlah kita alpa dan leka dengan ujian-ujian yang ditimpakan kepada kita.

“Apakah manusia itu menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman” sedangkan mereka tidak diuji lagi (dengan sesuatu cubaan)?” Surah Al-Ankabut: 2

Bersyukur dari segi bahasa bermaksud berterima kasih. Sesungguhnya bukanlah susah bagi seorang hamba untuk meluahkan rasa terima kasihnya kepada Tuhan-nya. Berikut disenaraikan beberapa cara bersyukur yang mudah untuk dilakukan oleh kita.

1- Sentiasa Mengingati Allah

Cara yang paling mudah dan ringan bagi seorang hamba untuk bersyukur adalah dengan berzikir. Zikir bermaksud ingat. Berzikir kepada Allah bermaksud mengingati Allah.

Mengingati sering dikaitkan dengan seseorang atau sesuatu yang dikasihi, seperti ingat ibu bapa, ingat suami isteri, ingat kekasih.

Dalam hal ini, ingatan yang paling tinggi adalah mengingati Allah. Justeru orang yang mengingati Allah akan menyebut tentang Allah, sama ada beristighfar, bertakbir, bertahmid. Membaca al-Quran juga dikategorikan dalam berzikir.

“… Ketahuilah dengan mengingati Allah (zikrullah) itu, tenang tenteramlah hati manusia.” Surah Al-Radd: 28

2- Mematuhi Perintah Allah Dan Menjauhi Larangan-Nya

Marilah kita kembali kepada perkara asas iaitu lihat semula kepada Rukun Islam dan Rukun Iman. Seterusnya, fahami sifat-sifat wajib dan mustahil pada Rasulullah SAW.

Apa yang dinyatakan dalam Rukun Islam itu, lakukanlah. Apa yang digariskan dalam Rukun Iman itu, hadamkanlah.

Apa ciri-ciri yang dinyatakan dalam sifat-sifat wajib dan mustahil pada Rasulullah SAW, contohilah.

3- Buangkan Irihati Dalam Diri

Memang manusia tidak dijadikan dengan persamaan malah setiap orang ada ciri-ciri yang berbeza. Perbezaan itu membentuk perbezaan seperti kulit coklat, kulit cerah, kulit hitam.

Ada yang kaya, ada yang sangat kaya, ada yang miskin, ada yang sangat miskin. Ada genius, ada yang sukar memahami pelajaran. Ada yang rezekinya berlebih-lebihan dan melimpah ruah, ada yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Sebagai hamba Allah, fahamilah bahawa sekalian ciri-ciri luaran atau material itu tidak dipandang kecuali ketakwaan. Itulah yang Allah SWT pandang dan itulah kayu ukuran buat kita.

Dari itu, didiklah hati nan sekeping ini agar jangan selalu melihat ke atas, tapi tengoklah orang yang berada di bawah.

Semoga dengan itu, kita tidak risau dan ‘melatah’ jiwa melihat kelebihan yang ada pada orang lain, tetapi tetap tawaduk dan malu untuk berkeluh-kesah kerana Allah itu sebenarnya Maha Adil kepada sekalian makhluk-Nya.

4- Maniskan Wajah

Tentu sudah biasa kita dengar komen-komen tentang wajah yang tersenyum manis dan wajah yang masam mencuka. Betapa senangnya orang ramai melihat senyuman yang terukir di wajah berbanding dengan wajah kelat tanpa senyuman.

Sesungguhnya senyuman itu mempunyai kuasa yang amat luar biasa apatah lagi jika senyum ketika sedih, senyum ketika diduga dengan ujian yang berat, senyum ketika marah. Sembunyikan yang negatif dan tonjolkan yang positif.

Dengan tersenyum, endorfin akan terhasil yang mana akan mengurangkan kesakitan fizikal dan emosi dalam diri.

5- Berkongsi Ilmu

Pekerjaan sebagai guru memang pekerjaan yang mulia, mengajar anak-anak daripada tidak pandai membaca, tidak pandai mengeja, tidak pandai mengira kepada boleh membaca, mengeja dan mengira.

Begitupun, ada banyak lagi aktiviti mengajar atau berkongsi ilmu dapat dipraktikkan dalam pelbagai situasi. Contohnya, mengajar rakan sekerja dengan penggunaan komputer, mengajar dan membantu anak menyiapkan kerja sekolah dan mengajar anak kecil cara memakai seluar.

Setiap yang mengajarkan ilmu tidak kira ilmu apa sekalipun, ia adalah juga sikap berkongsi ilmu.

Dalam hadith Nabi SAW ada juga menyebutkan yang bermaksud

“Sampaikanlah dariku walau satu ayat”

Begitulah serba sedikit yang boleh kita usahakan bersama-sama, ke arah menjalani hidup yang lebih harmoni. Jom mulakan dengan Alhamdulillah.

Semoga bermanfaat.

Kredit: Tzkrh.com


Spread the love

5 Comments

Comments are closed.

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!