4 Bahaya Media Sosial Yang Mungkin Kita Tak Sedar

Spread the love

Assalammualaikum dan Salam Rejab.

Media sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter, Whatsapp dan pelbagai lagi menjadi aktiviti penting pada zaman kini. Ada sahaja berita, maklumat dan info yang tersebar di media sosial. Namun, apa yang disebarkan terlampau banyak versi cerita dan fakta. Mungkin sahih atau mungkin ia adalah fitnah dan hanya rekaan semata-mata.

Tidak disangkal dan dinafikan yang media sosial juga menjadi sebahagian perkara yang penting dan baik dalam kehidupan kita. Setiap orang berbeza tujuannya. Ada yang berjual beli secara atas talian, mendapatkan berita semasa dan lain-lain. Tetapi ia juga menjadi perkara negatif apabila kita tersalah guna. Artikel kali ini akan berkongsi beberapa kesan bahaya media sosial jika disalahgunakan.

1- Tidak Peka Dengan Perasaan Orang Lain

Mungkin kita kadang kala membuat posting di media sosial menceritakan segala kemewahan hidup yang dirasai sehingga membuatkan orang lain terasa iri hati. Tidak salah berkongsi tetapi jangan terlampau sehingga menyebabkan bongkak dan sombong. Ingatlah ada insan lain yang tidak mengecapi kesenangan seperti kita.

Fikir dahulu apabila ingin posting sesuatu perkara. Selain itu, tulislah dengan perkataan yang baik, bukan menghina dan mengutuk. Sensitiflah dengan perasaan orang lain. Tanya diri sendiri, baikkah atau burukkah apa yang disampaikan dan yang dikongsi.

Ada juga sebahagian orang yang suka menghantar video dan gambar mengenai mangsa kemalangan jalan raya. Gambar mereka yang dalam kesakitan disebarkan di seluruh media sosial. Ada juga yang meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya turut dikongsi gambar mereka. Dimanakah sensitiviti kita? Fikir sejenak sebelum kongsi.

2- Tersebarnya Berita Palsu

“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.”

(Surah Al-Hujurat 49:6)

Media sosial menjadi salah satu medium berita pantas pada hari ini. Cepat diceritakan dan dikongsi. Kejadiannya berlaku tidak sampai beberapa minit sudah ada yang dikongsi. Namun, apabila disemak semula rupanya palsu, salah dan ditokok tambah. Hanya menambah ‘perisa’ menyedapkan sesuatu berita tersebut.

Apabila berita palsu terus tersebar maka masyarakat akan menjadi keliru. Berita yang palsu disangka sahih dan berita benar dikatakan salah. Oleh itu, jangan mudah menerima sesuatu berita. Siasat dahulu sebelum dikongsi. Sebaik-baiknya janganlah dikongsi berita-berita yang tidak pasti.

3- Tidak Fokus Dengan Kerja

Cuba kita lihat kembali kenapa banyak kerja kita yang belum diselesaikan lagi? Seringkali ditangguh-tangguh dan dibuat di hujung waktu. Salah satu faktornya kerana sibuk dengan media sosial. Penggunaan masa untuk Facebook lebih lama dari masa bekerja. Dan ketika bekerja pun sering diganggu oleh bunyi telefon pintar.

Kita hendaklah memberi fokus utama kepada kerja penting kita. Jangan menghabiskan masa di media sosial sehingga sekecil kerja pun tidak dibuat. Alangkah ruginya masa kita apabila penggunaan media sosial yang menguasai kehidupan kita. Hadkan masa untuk bermain media sosial.

Ketagihan dengan media sosial perlulah dirawat. Perlahan-lahan kurangkan penggunaan masa dengan media sosial. Selesaikan dahulu kerja yang masih belum disiap. Semoga kehidupan kita menjadi lebih lancar dan berjalan baik.

4- Merosakkan Penggunaan Bahasa

Banyak perkataan-perkataan yang diringkaskan di media sosial. Ada yang sehingga tidak dapat mengerti dengan apa yang disampaikan kerana perkataannya tersangat ringkas.

Kita sepatutnya memelihara bahasa kita. Jika dalam kecemasan, tidak mengapa digunakan perkataan yang ringkas. Tetapi janganlah dalam setiap keadaan kita meringkaskannya selalu.

Betulkan yang biasa kita lakukan di media sosial. Jika terlalu biasa dengan perkataan ringkas maka perbaikilah dari semasa ke semasa. Marilah kita pelihara bahasa kebangsaan kita. Tidak kiralah bahasa apa sekalipun.

Kesimpulan

Media sosial tidak salah tetapi pengguna media sosial yang akan menentukan ia menjadi baik atau salah. Contohnya seperti pisau. Pisau menjadi baik jika digunakan memotong sayur, daging untuk mudah dimasak dan mudah dimakan. Dan ia akan menjadi salah apabila ia digunakan untuk membunuh orang yang tidak bersalah.

Setiap perbuatan kita akan dipertanggungjawabkan. Jangan mudah menyebar berita palsu dan fitnah. Begitu juga menggunakan media sosial ke jalan yang salah seperti untuk menipu. Sebaliknya gunakanlah media sosial ke arah kebaikan. Percayalah tidak akan rugi apabila menyebarkan kebaikan. Waallahu a’lam.

(Inspirasi dari Al-Kulliyah Ustaz Elyas Ismail)

Dah baca ? Klik share 😉

-Fazli Abdullah


Spread the love

2 Comments

Comments are closed.

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!