Malaysia Tanah Tumpah Darah Kami

Spread the love

Assalamualaikum dan Salam 1Dunia, setelah mengembara ceruk rantau merata dunia antaranya kembara Eropah, kembara New Zealand, kembara Palestin dan kembara Turki aku sangat bersyukur dipilih oleh ALLAH untuk dilahirkan di Tanah Tumpah Darahku, MALAYSIA yang terlalu banyak tempat menarik.

Hari Malaysia

Di tanah bertuah inilah aku dilahirkan di sebuah rumah usang di dalam kebun getah di kampung yang jauh pendalaman tanpa kemudahan asas, mandi air perigi, berlampukan pelita minyak tanah dan masak dapur kayu api. Hari ini segalanya sudah berubah kampung tersebut dilengkapi dengan berbagai kemudahan asas cuma semakin sepi kerana anak-anak kampung ramai yang berhijrah ke bandar mengejar rezeki.

Di tanah tercinta inilah aku menuntut ilmu berjalan kaki di jalan tanah merah berdebu menuju ke sekolah rendah yang jaraknya empat batu dari rumah. Alhamdulillah dengan kuota anak kampung pendalaman aku berjaya melanjutkan pelajaran sekolah menengah di sebuah sekolah berasrama penuh meninggalkan keluarga buat pertama kali. Menjadi seorang murid yang sederhana pandai aku terpilih untuk melanjutkan pelajaran keluar negara tetapi memilih untuk belajar di universiti tempatan. Menjadi kumpulan pelajar pertama yang tidak mendapat biasiswa yang ditukar kepada pinjaman tetapi alhamdulillah berkat usaha dapat juga diskaun bayaran balik pinjaman sebanyak 75%.

Di tanah penuh berkat inilah aku mencari rezeki setelah tamat pengajian dengan memulakan pekerjaan sebagai pembantu penyelidik di universiti tempat aku belajar. Mungkin bukan rezeki aku disitu akhirnya aku terpaksa berhijrah penjadi eksekutif pemasaran di sebuah syarikat Ali Baba. Walaupun hanya setahun bekerja tetapi di syarikat ini aku diberi peluang untuk keluar negara buat kali pertama iaitu bercuti di Pulau Phuket. Demi untuk berbakti kepada masyarakat aku berhijrah bekerja ke Jabatan Kerajaan selama enam tahun sebelum berhijrah ke Badan Berkanun selama tiga tahun. Dunia pekerjaan terakhir aku adalah bekerja dengan syarikat konglomerat yang terkenal merata dunia selama lebih kurang tiga tahun. Segala ilmu dan pengalaman gerih perih selama aku berkerja lebih 14 tahun aku gunakan untuk berniaga sendiri. Rupanya berniaga sendiri indah khabar dari rupa, lebih teruk dari aku sangkakan terpaksa kerja siang malam untuk mencari sesuap nasi untuk keluarga. Dulu semasa bekerja paling malas bekerja cukup bulan pasti anda gaji yang masuk ke dalam akaun.

Malaysia negara tercinta

Di sinilah lahirnya sebuah cinta apabila aku berkahwin dengan isteri pada usia 25 tahun setelah gagal dengan beberapa cinta monyet. Kami melalui berbagai pengalaman susah susah susah senang hidup bersuami isteri sehingga lahir enam orang cahaya mata dengan seorang telah dijemput ALLAH lebih awal. Bertahun-tahun isteri dan anak ditinggalkan di rumah kekadang berjumpa beberapa jam sahaja sehari itupun di kala malam waktu tidur, tanpa ada hari minggu seperti keluarga yang lain demi mencari kesenangan. Pernah juga akau merantau di negara orang meninggalkan keluarga bertahun-tahun demi mengejar cita-cita untuk menjadi insan berjaya. Tetapi itu semua sudah menjadi sebuah kenangan dan pengalaman yang terlalu mahal nialinya.

Tiada apa yang nak aku banggakan dengan prestasi kehidupan setakat ini selagi belum dapat membalas jasa kepada Tanah Tumpah Darahku yang telah banyak berjasa memberi berbagai peluang kehidupan kerana semua itu belum pasti ada di negara-negara yang lain. Semuga aku, keluarga, anak, cucu, cicit dan keturunan aku sehingga hari kiamat bakal menjadi manusia yang sentiasa berbakti bukan sahaja kepada Tanah Tumpah Darah kami, Malaysia malahan memberi manafaat kepada seluruh alam.

Pernah dulu ku fikirkan, Tanpa Malaysia tak mengapa, Bila aku pergi jauh baru ku rasakan, Sunyinya di hati, Baru kini ku tahu, Nilai cintamu … Malaysia.

Luahkan perasaan anda untuk bumi bertuah … Malaysia Tanah Tumpah Darah Kita …. wangian yang hilang di Timur jauh.


Spread the love

620 Comments

Comments are closed.

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!