YDP Agong: Tiada keperluan Isytihar darurat buat masa ini

Spread the love

Assalamualaikum dan selamat sejahtera,

Walaupun sekarang ini banyak spikulasi tentang berlakunya Darurat di Malaysia atau tidak, YDP Agong tampil memberi kenyataan bahawa tiada keperluan untuk isytihar darurat buat masa ini.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berpendapat kerajaan sekarang sudah berjaya menangani wabak Covid-19 dengan baik dan berkesan.

Baca juga: 15 perkara yang anda perlu tahu berkaitan Darurat – Prof Dr Shamrahayu

Malah, Seri Paduka Baginda amat mempercayai keupayaan Kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk terus melaksanakan dasar dan tindakan penguatkuasaan bagi membendung gejala wabak Covid-19 dari terus merebak.

Henti segala ‘Politicking’

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, dalam pada itu, baginda turut mengingatkan ahli politik untuk memberhentikan segera segala ‘politicking’ yang boleh mengganggu kestabilan pemerintahan negara.

“Al-Sultan Abdullah turut berpendapat bahawa tiada perlunya ahli Parlimen meneruskan tindakan tidak bertanggungjawab yang boleh mengganggu gugat kestabilan kerajaan sedia.

Belanjawan Negara 2021 sangat penting

“Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa Belanjawan Negara 2021 yang akan dibentangkan di sidang Parlimen adalah amat penting kepada rakyat di dalam menangani wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.

“Justeru, peruntukan kewangan amat diperlukan oleh petugas barisan hadapan bagi melancarkan tugas dan tanggungjawab mereka,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Ahmad Fadil berkata, Al-Sultan Abdullah juga sudah memperhalusi permohonan dipersembahkan Perdana Menteri di majlis menghadap di Istana Abdul Aziz, Kuantan, Pahang Jumaat lalu.

Menurutnya, permohonan itu ialah pelaksanaan Darurat Perkara 150(1) dan Pemasyhuran Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu 2020) menurut Perkara 150(2B) Perlembagaan Persekutuan untuk memerangi ancaman wabak Covid-19 di negara ini.

“Al-Sultan Abdullah berpendapat tiada keperluan buat masa ini untuk Seri Paduka Baginda mengisytiharkan darurat di negara ini atau mana-mana bahagian di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, baginda juga sangat prihatin terhadap kegelisahan seluruh rakyat susulan kenaikan mendadak beberapa kluster baharu dan kes positif harian Covid-19 di negara ini.

“Seri Paduka Baginda juga menzahirkan keyakinan bahawa dengan semangat perpaduan dan juang tinggi seperti yang pernah dipamerkan bersama, kita mampu sekali lagi berganding bahu memerangi gelombang ketiga penularan wabak ini.

“Sehubungan itu, baginda menyeru seluruh rakyat, tanpa mengira latar belakang dan khususnya fahaman politik, mengenepikan segala perbezaan dan perbalahan untuk bersatu padu dan bersatu hati memainkan peranan masing-masing.

“Ia bagi membantu Kerajaan dan pihak berkuasa membendung wabak Covid-19 demi keselamatan diri dan kesejahteraan negara yang kita cintai bersama ini,” katanya.

Ahmad Fadil berkata, Al-Sultan Abdullah turut mengajak seluruh rakyat untuk bersama Seri Paduka Baginda berdoa semoga wabak Covid-19 ini dapat dibanteras dengan berkesan dan berakhir segera.

Sumber: Harian Metro


Spread the love

One Comment

  1. Pada hemat baginda, darurat lebih banyak buruk dari baiknya. Kerana itu ditolak. Lagi pula darurat biasanya bila segala usaha sudah mencapai jalan buntu. Kta belum sampai ke tahap buntu kerja. Masih ada jalan untuk mara ke hadapan.

Comments are closed.

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!