Tuntutan memuliakan tetamu, utamakan orang lain terlebih dahulu

Spread the love

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Musim kunjung mengunjung di bulan syawal. Ramai yang akan dan sedang mengunjungi keluarga, sanak saudara, rakan taulan tidak kira jauh atau dekat. Begitulah yang berlaku saban tahun lebih-lebih lagi di bulan Syawal ini.

Orang yang memuliakan tetamu dan bergaul dengannya akan disayangi oleh Allah dan Rasul. Di antara sifat orang yang beriman dan bertaqwa ialah bercakap dengan perkataan yang baik serta berdiam diri dari bercakap perkara yang sia-sia.

Memperkatakan sesuatu yang sia-sia adalah satu sifat yang keji di dalam Islam. Antara tanda kesempurnaan iman ialah memuliakan tetamu kerana mengharapkan ganjaran dari Allah SWT.

Dari Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda: “Barang siapa beriman kepada Allah dan hari Akhirat, hendaknya ia memuliakan tetamunya, dan barang siapa beriman kepada Allah dan hari Akhirat, hendaklah ia menyambung tali silaturahim, dan barang siapa beriman kepada Allah dan hari Akhirat, hendaknya ia berkata baik atau diam.” (HR Bukhari No: 5673)

Memuliakan tetamu adalah antara syarat orang yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Menyambung hubungan silaturahim dengan kerabat adalah tanda orang yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat.

Tanda orang beriman kepada Allah dan hari akhirat juga apabila bertutur atau bercakap, ia akan bertutur sesuatu yang baik dan mendatangkan pahala (termasuk sesuatu yang ditulis dan di forward).

Jika sesuatu yang akan dituturkan atau yang ditulis dan di forward, mendatangkan mudarat dan keburukan, lebih baik kita berdiam diri. Muliakan tetamu dan sentiasa menyuburkan tali persaudaraan dan menyambung silaturahim.

Rasulullah SAW menunjukkan contoh terbaik dengan berusaha tidak menghampakan setiap yang datang menemui baginda. Melayani tetamu adalah antara tuntutan akhlak terpuji seorang Muslim

Memiliki sifat “itsar” (mengutamakan orang lain) melebihi diri sendiri adalah akhlak yang dikagumi dan suatu kemuliaan di sisi Allah

Mengutamakan dan memuliakan orang lain adalah satu daripada akhlak terpuji yang perlu diasuh sebagai satu daripada sifat RAHMAH seorang Muslim. Marilah kita berusaha untuk memiliki sifat “itsar” agar menjadi orang yang mulia disisi Allah.

Daripada Abi Syuraih al-K’bi, Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa beriman kepada Allah dan hari Akhirat, hendaknya ia memuliakan tetamunya di bahagian istimewanya iaitu hari dan malam pertama. Menghormati tetamu itu yang wajib tiga hari, lebih daripada itu adalah sedekah baginya dan tidak boleh seorang tetamu tinggal lama sehingga membebankan tuan rumah. (hingga mengeluarkannya).” (Sahih Bukhari No: 5784)

Memuliakan tetamu yang datang adalah dituntut khususnya pada hari pertama dia menjadi tetamu. Menghormati tetamu yang berkunjung ke rumah adalah wajib untuk tempoh tiga hari. Jika melebihi tiga hari ia menjadi sedekah.

Sebagai tetamu, tidak boleh terlalu lama menjadi tetamu hingga membebankan tuan rumah. Terimalah tetamu dan muliakan mereka dengan menyediakan makan, minum serta keperluannya sebagai tetamu.

Ambillah peluang sempena Syawal untuk mengeratkan silaturahim dengan ahli keluarga melalui kunjung-mengunjung sesama kita. Jadikanlah tuturkata kita sesuatu yang berfaedah dan mendatangkan pahala.


Spread the love
OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!