Tips Supaya Doa Cepat Dimakbulkan

Assalammualaikum dan salam sejahtera.

Doa adalah bukti bahawa seorang hamba itu memerlukan Tuhan. Allah sangat menyukai orang yang meminta dan berharap kepadaNya. Walau bagaimanapun perlu diingati bahawa doa tidak menafikan usaha yang perlu dilakukan.

Kita pasti pernah mendengar tentang waktu mustajab berdoa contohnya pada sepertiga malam, ketika musafir dan juga ketika sujud dalam solat. Tetapi jika kita tidak berada dalam situasi begitu, apa caranya untuk memustajabkan doa?

Baca : Doa Supaya Dapat Mengurangkan Beban Hutang

Sebenarnya ada rahsia untuk menjadikan doa lebih mustajab.

1) Berdoa dengan penuh harap dan yakin.

Ketahuilah bahawa Allah tidak akan mengabulkan doa daripada hati yang lalai. Renungilah sabda Nabi SAW,

ادْعُوا اللَّهَ وَأَنْتُمْ مُوقِنُونَ بِالإِجَابَةِ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ لاَ يَسْتَجِيبُ دُعَاءً مِنْ قَلْبٍ غَافِلٍ لاَهٍ

Berdoalah kepada Allah dalam keadaan kamu yakin bahawa ianya akan dimustajabkan. Dan ketahuilah kamu bahawa Allah SWT tidak akan memustajabkan doa yang datang daripada hati yang lalai lagi alpa.”

(Riwayat al-Tirmizi, no.3479)

Jika dikira dalam sehari, berapa kali sebenarnya kita berdoa dalam keadaan khusyuk dan tidak lalai? Adakah kita benar-benar menghayati apa yang kita baca. Jika kita berdoa dalam keadaan tergesa-gesa dan laju, sudah pasti apa yang dipinta tidak benar-benar terasa bermakna di hati.

Rasa khusyuk bermula apabila kita cuba bertenang dan berfikir bahawa itulah saat kita benar-benar ingin berkomunikasi dengan Allah. Kita memerlukan sesuatu daripadaNya. Maka perlahankan bacaan doa dan hayati maknanya. Mintalah dengan jujur daripada hati yang paling dalam apa yang benar-benar anda mahukan.

2) Berdoa pada waktu senang dan susah.

Janganlah kita mencari bantuan hanya pada masa susah sahaja, dan melupakan Allah pada masa senang. Bahkan berusahalah untuk tidak menambahkan timbangan amalan dengan dosa.

Rasulullah SAW pernah mengingatkan dalam satu hadis bahawa orang yang suka agar Allah mengabulkan doa pada masa susah mestilah turut berdoa pada masa senang.

Siapa yang suka Allah terima doanya ketika kesukaran dan kepayahan, maka hendaklah dia membanyakkan doa pada masa kemewahan dan kesenangan”

(Riwayat Al-Tirmizi, no.3382 dan Abu Ya’la dalam Musnadnya, no.6396)

Demikianlah dua cara mudah yang boleh dilakukan bagi memustajabkan doa yang dipohon kepada Allah. Yakinlah bahawa Allah mahu dan mampu untuk mengabulkan, tinggal saja kita sendiri yang benar-benar bersungguh-sungguh berdoa atau tidak.

Wallahua’alam.

Baca : 12 Amalan Harian Yang Perlu Kita Buat

Tazkirah.com

3 Comments

Comments are closed.

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!