“Selat Melaka Warisan Nusantara”, meriahnya sambutan Festival Seni Selat Melaka

Spread the love

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) menerusi Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN Melaka) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Melaka dan semua agensi di bawahnya yang berkaitan telah berganding bahu bagi menjayakan sebuah Program Sauh JKKN dan MOTAC iaitu Program Pelancongan Budaya Festival Seni Selat Melaka (FSSM) yang akan dilaksanakan pada 18, 19 dan 20 Oktober 2019 ini bertempat di pekarangan Kota A Famosa, Jalan Kota, Melaka Bandaraya Warisan Dunia.

FSSM2019 yang berlangsung selama tiga (3) hari ini jua bertemakan “Selat Melaka, Warisan Nusantara” mengetengahkan pelbagai aktviti berteraskan seni budaya, warisan, pelancongan, keilmuan, keusahawanan, gaya hidup dan pencungkilan bakat muda negeri Melaka, Negeri Sembilan dan Johor yang mewakili negeri-negeri selatan Semenanjung Malaysia.

Kerajaan Negeri Melaka juga turut mengangkat program ini sebagai sebahagian daripada acara Sambutan Hari Jadi Ke-81 Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Melaka, Tun Datuk Seri Utama Dr. Mohd. Khalil Bin Yaakob. Di antara pengisian menarik FSSM 2019 adalah Malam Gala Selat Melaka (19 Oktober 2019 – Sabtu), Persembahan Sisipan (Showcase) Warna-warni Selat Melaka, Pencungkilan Bakat Muda Selat Melaka, Pusat Transformasi

Rakyat, Bazaar Citrarasa Inap Desa Selat Melaka dan Bazaar Selat Melaka

Malam Gala Selat Melaka yang juga merupakan Acara Kemuncak FSSM 2019 adalah persembahan berkonsepkan muzikal dalam Kota Melaka.

Tetamu Kehormat yang diraikan iaitu Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Melaka, Tun Datuk Seri Utama Dr. Mohd. Khalil Bin Yaakob dan YBhg. Tan Sri Norliza Rofli, Ketua Pengarah JKKN.

Tetamu Kehormat Malam Gala FSSM2019 menaiki beca-beca oleh Persatuan Beca Warisan serta diiringi Kereta Lembu Kampung Tambak Bugis, Melaka juga Persatuan Rebana Keras Klebang Besar, Melaka ke tapak acara. Perarakan Kereta Lembu dan Beca Warisan yang mengiringi kenaikan Tetamu Kehormat pada malam itu adalah sebagai perlambangan kepada kesenian pelbagai kaum yang menunjangi seni budaya negeri Melaka, Johor dan Negeri Sembilan.

Malam Gala FSSM2019 menggabungkan garapan kreatif kesenian dondang sayang, kearifan tempatan iaitu seni berbahasa pantun serta persembahan muzik cak lempong, tari randai dan piring lambung yang diwakili oleh JKKN Negeri Sembilan dalam Segmen Kabar Berusik Negeri Sembilan. Sementara JKKN Johor pula menerusi Segmen Bayu Muara Maharani – pula akan menampilkan kehebatan seni Ghazal, Kuda Kepang, Barongan dan Zapin yang turut disertai oleh Badan Seni Budaya dari Muar dan Batu Pahat dan penyanyi Rojer dengan permainan muzik gambusnya.

Tambah menarik lagi, Tiga Puluh Tiga (33) agensi Kerajaan dari negeri Melaka telah turut serta menjayakan FSSM2019, tujuh (7) agensi swasta, sebelas (11) persatuan dan Badan Seni Budaya Bukan Kerajaan dan dua (2) komuniti.

FSSM turut menampilkan pelbagai pengisian seperti berikut;

BAZAAR CITRARASA INAP DESA HOMESTAY

MOTAC Melaka pula dengan kerjasama Inap Desa Negeri Melaka pula menghimpunkan gabungan lapan (8) buah Inap Desa Negeri Melaka dengan hidangan kampung yang menyelerakan. Lapan (8) buah Inap Desa tersebut ialah :-

  • Kampung Morten, Melaka – Nasi Lemak Kg Morten dan Air Barli
  • Kampung Alai, Melaka – Rojak dan Air Soda Herb
  • Kampung Pulai, Melaka – Asam Pedas Pari dan Cendol
  • Kampung Tambak Paya, Melaka – Nasi Ambeng dan ABC
  • Kampung Ayer Limau, Masjid Tanah, Melaka – Nasi, Masak Lemak Perut Rebung dan Asam Pedas Tulang
  • Kampung Sri Tanjung, Masjid Tanah, Melaka – Masak Lemak Daging Salai dan Kupang Sambal
  • Kampung Melaka Pindah, Alor Gajah, Melaka – Masak Lemak Buah Machang dan Wajik

BAZAAR SELAT MELAKA / ARTS, CULTURE & TOURISM BAZAAR

Bazaar Selat Melaka ini mempamerkan produk, demonstrasi dan jualan terdiri daripada usahawan kraftangan dari Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Melaka yang merangkumi usahawan hasil rimba, batik jenis ikat, celup dan pelangi, hasil produk dari tanah dan simen, tekstil, logam dan banyak lagi.

Di samping itu jua, jualan khat warisan Islam, pelbagai produk dari Persatuan Usahawan Seni Budaya Malaysia yang merangkumi produk spa, perkhidmatan spa, cenderamata, tanjak, busana Melayu, catan muka, alat solek dan tatarias serta alat muzik tradisional.

Usahawan makanan muslim iaitu JALEN turut membuat Jualan Promosi, Minuman Percuma Dan Food Tester, Baucer Pembelian, Jualan Promosi, Demonstrasi Masakan serta pelbagai kuiz dan pertandingan. ASD Empire jua akan membuka kaunter alat solek dan tatarias juga melaksanakan aktiviti catan muka (face painting).

Jabatan Warisan Negara akan memaparkan pameran arkeologi untuk pengunjung merasai pendedahan cara-cara kajian arkeologi dan eskavasi cari gali bahan- bahan, artifak dan monument sejarah bagaikan ahli arkeologi.

RETRO AUTOSHOW

Pameran Kereta Antik dan Vintaj dilaksanakan oleh Big Sumo Autoshow Komuniti Malaysia pada 19 Oktober (Sabtu) dari jam 10.00 pagi hingga 11.00 malam. Kesemua kereta vintaj dan antik ini menghimpunkan dua puluh buah (20) kereta yang akan di pamerkan sepanjang Jalan Kota, Banda Hilir, Melaka.

PUSAT TRANSFORMASI RAKYAT

PUSAT TRANSFORMASI RAKYAT pula menampilkan sebelas (11) agensi yang menawarkan khidmat pelbagai khidmat rakyat seperti yang disenaraikan :-

  • Bayar Saman Perbaharui Lessen Memandu Perbaharui Cukai Jalan
  • Perkhidmatan Pertanyaan Zakat, Pembayaran Zakat, Taksiran Zakat, Potongan Gaji Zakat Skim Al-Taisir
  • Khidmat Pergigian Bergerak Pemeriksaan Gigi, Saringan Cancer Mulut dan Cuci Gigi
  • Perkhidmatan Cucian Emas Secara Percuma
  • Produk Sspn-I/Sppn-I Plus Pinjaman Pendidikan Bayaran Balik Pinjaman
  • Pameran Jentera Bomba
  • dan banyak lagi

PENCUNGKILAN BAKAT MUDA SELAT MELAKA

Menyaksikan lebih enam (6) pertandingan utama yang dipertaruhkan iaitu – Pertandingan Mini Lantai Cilik yang merupakan Pertandingan Tarian Rakyat Kreatif bagi Kategori Sekolah Rendah dan Medley Tarian Malaysia bagi Kategori Sekolah Menengah, Pertarungan Tari Joget & Zapin (TERBUKA), Pertandingan Bintang Dondang Sayang, Pertandingan Lukisan Potret “Tun Fatimah” Serikandi Melaka, Pertandingan Cabaran Gasing Tradisional & Gasing Moden dan Pertandingan Memanah Tradisi & Memanah Bebas.

SESI KEILMUAN SELAT MELAKA

Sesi Keilmuan akan menyaksikan sesi perkongsian ilmu Selat Melaka – Program ini akan melibatkan beberapa acara antaranya seperti Sesi pembelajaran Gerak Asas Tari Joget & Zapin beramai-ramai dan Sesi Apa itu Puisi Rejang yang akan menampilkan Tokoh Seni Berbahasa Tuan Haji Rani Embi pada 18 Oktober 2019 (Jumaat) jam 10.00 pagi hingga 12.00 tengahari di Dewan PERZIM, Galeri Muzium Rakyat, PERZIM.

JOGET LAMBAK @MELAKA

Joget Lambak@Melaka adalah Majlis Penutup kepada FSSM2019 yang akan menyaksikan beberapa pertandingan akhir dilaksanakan iaitu Pertarungan Joget & Zapin (bagi merebut Piala Pusingan Ketua Pengarah JKKN) dan Pertandingan Cabaran Gasing Tradisional & Gasing Moden, Pertandingan Memanah Tradisi & Memanah Bebas serta melancarkan kempen “I LOVE MALAYSIA” Siri Melaka di samping memeriahkan lagi petang yang menjadi acara penutupan kepada FSSM2019.

FSSM2019 diharapkan dapat menemukan idea dan medan pertemuan baharu para karyawan dan semua yang terlibat dalam sektor seni budaya dan warisan di seluruh Malaysia dalam usaha merancakkan dan memacu sektor industri budaya, warisan dan pelancongan. Ini semua adalah hasil gabungan antara usaha melestarikan kandungan seni, budaya, warisan di samping usaha memupuk generasi muda bersekali dalam sektor terbabit.

Bagus juga ketengahkan info pelancongan ini selaras dengan misi kementerian untuk memajukan pelancongan dan budaya di samping mengukuhkan, memelihara dan memelihara seni, budaya dan warisan. Tahun depan 2020 pun sudah menjadi Tahun Melawat Malaysia.

FSSM2019 juga adalah lambang sokongan padu MOTAC dan JKKN dalam menyemarakkan Tahun Melawat Melaka 2019 yang dipacukan oleh Kerajaan Negeri Melaka dan sekaligus menjadi permulaan yang baik menjelang Tahun Melawat Malaysia 2020 yang akan datang.

Orang ramai bolehlah mengikuti laman fan page facebook : JKKN Melaka FanPage untuk mengikuti pelbagai perkembangan FSSM2019.


Spread the love

One Comment

Comments are closed.

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!