Saya bertanggungjawab atas insiden yang berlaku – Jurulatih Ziyad

SEPANG: “Kepada semua pihak yang nak cari siapa salah, siapa tak salah, saya nak kata saya bertanggungjawab atas semua yang berlaku. Janganlah tuding jari kepada orang lain.”

Demikian kata Faizol Harun, jurulatih kepada atlet paralimpik negara, Muhammad Ziyad Zolkefli pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ketika mereka tiba di negara pada Jumaat.

Menurutnya, beliau tidak menganggap isu tersebut sebagai sabotaj daripada lawan sebaliknya kerana sedikit kesilapan teknikal.

Tambahnya, mereka pada asalnya tiba awal, kira-kira jam 5.55 petang (acara bermula jam 7.05 petang) namun ditahan dan tidak dibenarkan masuk ketika hampir di ‘call room’.

Difahamkan, penganjur menetapkan jam 5.55 petang (70 minit sebelum pertandingan) sebagai waktu ‘cut off‘ untuk semua atlet dalam acara berkenaan.

“Kami sampai awal dekat trek, dalam 4.15 petang. Bila kita dah sampai, Ziyad ‘warm up‘ dari 4.45 petang sampai 5.30 petang.

“Dalam proses dari 5.30 ke 5.45 petang, kita ‘prepare‘ untuk Ziyad, kita urut sikit sebab Ziyad kata ada rasa tegang otot.

“5.45 petang, kita bergerak dari trek ke ‘call room‘. Kita dah buat kiraan kalau dari trek, lebih kurang 8 ke 10 minit. Kalau jalan laju, dalam 5 ke 6 minit.

“Bila sampai ‘call room‘, kita tak bergegas pun, kita jalan biasa, saya bagi nasihat dan semangat kepada Ziyad.

“Depan kita ada atlet Greece, dia sampai dan boleh masuk dan kami ditahan. Kami tengok masa, 5.55 petang. Bila ditahan, kita rayu untuk masuk, dia (pegawai pertandingan) suruh tunggu,” katanya.

Tambah Faizol, pada waktu itu juga terdapat jurulatih Ukraine berhampiran pegawai bertugas.

“Selepas itu, atlet Australia dan Ecuador ada di belakang, mereka minta masuk. Pada masa sama, pembantu pengadil panggil atlet lompat tinggi masuk.

“Masa itu kita rayu lagi untuk masuk tapi pegawai kata “Sorry, you are late.”

“Dia tunjuk jam dah 5.56 petang. Saya lihat masa itu peserta kategori Ziyad ada di ‘call room 1’, tidak bergerak lagi ke ‘call room 2’.

“Sebab itu kita minta masuk tapi bila pagar tutup, jurulatih Ukraine lakukan provokasi kepada pembantu pengadil.

“Dia kata kalau benarkan Ziyad masuk, dia akan protes. Lepas bercakap dengan Ketua Pengadil, Ziyad dibenarkan masuk,” ujarnya.

Selepas anak buahnya dibenarkan masuk, Faizol menghantar Muhammad Ziyad dan masuk ke stadium.

“Saya tidak tahu apa-apa (berkaitan penyertaan dibatalkan). Selepas lontaran ketiga, saya dimaklumkan pegawai yang Ziyad ‘DNS’ (Did Not Start).

“Kalau saya tahu awal, saya tak benarkan Ziyad bertanding,” katanya menjelaskan panjang lebar kepada media di KLIA.

Ketika ditanya bukti anak buahnya tiba awal dan berdepan masalah untuk memasuki ‘call room‘, ini jawapan Faizol:

“Itulah masalahnya sebab dalam kawasan itu memang tidak boleh ‘live‘ atau rakam apa-apa,” jelasnya.

Muhammad Ziyad dan Faizol tiba di KLIA pada Jumaat kira-kira jam 6.43 petang bersama tujuh lagi atlet dan pegawai termasuk pemenang pingat perak, Chew Wei Lun.

Pada Selasa lalu, arena sukan dunia digemparkan dengan insiden mengejutkan di Tokyo selepas Muhammad Ziyad dinafikan sebagai pemenang pingat emas acara lontar peluru F20 dengan catatan lontaran sejauh 17.94 meter (m) yang merupakan rekod dunia baharu.

Pembatalan pingat emas Muhammad Ziyad adalah berdasarkan Peraturan 5.5 WPA – ‘Kegagalan Melapor Diri Di Bilik Menunggu’ yang menyatakan bahawa sekiranya atlet tidak hadir di bilik berkenaan pada waktu dinyatakan dalam jadual bilik menunggu, keputusan mereka akan dinyatakan sebagai DNS.

Astro Awani

2 Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!