JAIS tidak melantik pihak ketiga bagi urusan perkahwinan

Spread the love

SHAH ALAM: Bakal pengantin diminta untuk mendapat tarikh janji temu secara percuma bagi urusan berkaitan perkahwinan melalui laman sesawang Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sahaja.

JAIS dalam satu kenyataan memaklumkan jabatan berkenaan tidak pernah melantik pihak ketiga bagi tujuan berkenaan dan permohonan boleh dibuat melalui www.jais.gov.my

Malah JAIS turut menggesa pihak yang mempunyai maklumat atau mengetahui terdapat individu yang mengambil kesempatan menjual slot janji temu diminta segera membuat laporan.

“Sebarang aduan atau pertanyaan boleh menghubungi 03-5514340/3600 atau emel buuk@jais.gov.my,” kata JAIS menerusi permaklumannya di laman Facebooknya pada Isnin.

Pada 1 Julai lalu, JAIS membenarkan majlis akad nikah di negeri itu selepas dilarang berikutan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh.

Bagaimanapun JAIS memaklumkan bahawa kebenaran hanya tertakluk kepada pasangan yang telah mendapat tarikh janji temu daripada JAIS dan Pejabat Agama Islam Daerah (PAID).

Katanya, majlis akad nikah juga hanya boleh dilangsungkan sekiranya memenuhi beberapa ketetapan lain.

“Antaranya, akad nikah perlu dilaksanakan dengan kehadiran fizikal pihak-pihak di JAIS dan PAID sahaja setiap hari dari Isnin ke Ahad.

“Pada masa sama, pasangan juga perlu mendapat kebenaran berkahwin mengikut Seksyen 17 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003 sebelum 1 Jun 2021, serta mempunyai keputusan ujian saringan HIV yang masih sah,” jelas kenyataan itu.

Selain itu JAIS berkata, pasangan juga diwajibkan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) serta mengemukakan hasil ujian saringan Covid-19.

Sumber: Sinar Harian.


Spread the love
OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!