Rancakkan ekosistem halal negara, kekalkan Malaysia sebagai peneraju Global

Spread the love

KUALA LUMPUR: Unjuran terhadap nilai pasaran halal global ketika ini adalah sekitar AS$3 trilion (RM14.18 trillion), namun nilai dagangan eksport produk halal Malaysia bagi tahun 2022 hanyalah sekitar AS$12.7 bilion (RM60 bilion), atau sekadar 0.42 peratus.

Jika dilihat kembali, nilai dagangan eksport itu seperti tidak selari, atau tidak memperlihatkan status atau profil sebenar Malaysia sebagai peneraju dari segi aspek pensijilan produk dan perkhidmatan halal, yang sememangnya telah mendapat pengiktirafan sedunia.

Di mana silapnya? Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi – yang dipertanggungjawab untuk melonjakkan status Malaysia dalam industri halal – pula menyatakan kepada media bahawa negara sudah membelanjakan sekitar RM4 bilion ketika mula berkecimpung dalam sektor itu sejak era 80an lagi.

Dan adakah dasar Kerajaan sebenarnya memberikan tumpuan kepada sektor lain, khususnya pembinaan dan pembuatan sejak 90an menyebabkan industri Halal sebenarnya tidak lebih daripada sekadar satu lagi ‘sektor penyumbang’ kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara?

Dan adakah dengan pelancaran Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030), akan menyebabkan sektor ini terus menjadi lapisan kedua atau ‘second tier’ kepada negara?

Pasaran Halal Malaysia

Kerajaan sebelum ini telah mensasarkan kenaikan nilai pasaran halal Malaysia dari AS$68.4 bilion (setakat Disember 2018), kepada AS$113.2 bilion menjelang 2030, dengan terus memberi tumpuan kepada sektor makanan dan minuman; kosmetik dan penjagaan diri; farmaseutikal; dan lain-lain.

Pelan Induk Halal Negara (HIMP) 2030 dirangka dengan tumpuan terhadap penguatan dan penjenamaan ekosistem halal di Malaysia, dengan menilai semula dan meningkatkan inisiatif yang sedia ada, serta memperkenalkan inisiatif berdampak tinggi selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI.

Selain sektor yang disebutkan, pelan induk tersebut juga akan memberi tumpuan kepada sektor yang disebut sebagai ‘emerging sectors‘ – fesyen sederhana (modest fashion); pelancongan kesihatan (medical tourism); dan peralatan perubatan (medical devices).

Melalui pelan induk bertemakan – Terkemuka, Terlihat dan Globalisasi Halal Malaysia – yang dilancarkan oleh Ahmad Zahid selaku Pengerusi Majlis Pembangunan Halal Malaysia pada Mac 2023, Kerajaan mensasarkan sumbangan sektor Halal kepada Keluaran Dalam Negara Kasar sebanyak 11 peratus menjelang 2030, berbanding 7.4 peratus yang tercapai pada 2018.

HIMP 2030

Jika diteliti, ekosistem sosio-ekonomi industri halal negara jelas menunjukkan ia bukan sekadar mendapat penyertaan dalam kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana atau PMKS, ia juga berkembang luas dalam kalangan syarikat liability terhad (LLC), dan juga syarikat multinasional (MNC).

Beberapa MNC sebagai contoh – Nestlé, Colgate Palmolive, Unilever, Ajinomoto, hinggalah ke Kewpie dan Hershey’s – sehinggalah membawa kepada kepada hampir 300 perusahaan produk dan perkhidmatan halal dalam skala lebih kecil, merentasi 14 hab halal strategik berstatuskan HALMAS.

Sudah tentu, potensi cukup besar jika kita menyentuh mengenai polisi dan perundangan; modal insan; sains, inovasi dan teknologi; hinggalah membawa kepada insentif; infrastruktur dan logistik; serta data dan analitik.

Melalui HIMP 2030, 23 inisiatif telah dikenal pasti untuk mengukuhkan tujuh daya saing strategik dan mengatasi peluang dan cabaran yang dikenal pasti, dengan tujuh daya saing strategik ini termasuk meningkatkan dasar dan undang-undang mesra halal; serta mencipta ruang pasaran baru dan lebih besar bagi produk dan perkhidmatan Halal Malaysia.

Selain itu, ia juga memberi tumpuan kepada menubuhkan bilangan yang lebih besar pakar dan profesional halal untuk memenuhi keperluan global, meningkatkan pembangunan infrastruktur yang berkualiti dan bersepadu yang menggalakkan pemikiran pemimpin, menghasilkan lebih banyak juara halal tempatan, dan memudahkan penyertaan Bumiputera yang lebih kompetitif dalam industri halal.

Inisiatif-inisiatif ini pula akan dipacu oleh lima penanda aras HIMP 2030 – termasuk mempunyai industri halal domestik yang kukuh dan pelbagai; mematuhi syariah sepenuhnya dari hulu ke hilir dan kemudahan perniagaan di Malaysia; penyertaan perniagaan yang kompetitif, dan yang terakhir globalisasi halal Malaysia.

Tanggungjawab Ahmad Zahid selaku penggerak utama industri Halal

Dalam lawatannya ke London, United Kingdom, sempena dengan World Halal Business Conference Circuit 2023 baru-baru ini, Ahmad Zahid Timbalan Perdana Menteri menegaskan bahawa HIMP 2030, bakal membawa negara mengharungi cabaran dan ketidaktentuan dalam industri berkaitan.

“Misi HIMP adalah jelas, iaitu untuk terus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai penerajui industri halal global, serta memastikan sumbangan industri tersebut kepada Keluaran Dalam Negara Kasar mencapai 10.8 peratus menjelang 2030,” katanya kepada pemberita Malaysia.

Ahmad Zahid menegaskan masih ada ruang untuk kerajaan memperluas pegangan dalam industri halal global yang ketika ini mencecah nilai hampir AS$230 trilion, biarpun pembabitan negara sudah bermula sejak awal 80-an lagi.

Beliau, yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Halal Malaysia berkata, kerajaan merasakan usaha bersama antara kementerian dan agensi berkaitan mesti dilakukan bagi meningkatkan lagi usaha mempromosi produk halal Malaysia.

Ahmad Zahid berkata, ketika ini usaha yang dilakukan masih belum cukup kuat untuk menembusi pasaran United Kingdom dan Eropah, dan beliau merasakan Kerajaan Madani perlu meningkatkan pelaburan dari segi pemasaran, disusuli dengan bantuan proaktif dari institusi kewangan.

“Pada saya, potensinya cukup besar, usaha bukan sahaja daripada kerajaan dan swasta, malah daripada rangkaian pemasaran yang ada, terutamanya rakyat Malaysia yang menjadi usahawan dan menjadi pengusaha pasaran di Eropah dan juga peringkat antarabangsa.

“Pada saya, Kerajaan Madani di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh melakukannya, bukan sekadar hanya memberi pembiayaan tetapi promosi mesti dilakukan dan pihak kerajaan mesti melabur dari segi pemasaran, apatah lagi institusi kewangan malaysia mesti proaktif untuk bantu usahawan ini,” katanya lagi.

Timbalan Perdana Menteri turut menegaskan, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) harus diberikan peruntukan lebih besar, khusus bagi meningkatkan daya pemasaran, dan malawakil mesti diberi peluang lebih besar untuk mempromosi produk dan perkhidmatan daripada Malaysia.

Cabaran dalam Industri Halal

Beberapa pemerhati berpandangan garis panduan halal yang tidak begitu jelas, sedikit sebanyak mempengaruhi pertumbuhan dan pembangunan industri halal di Malaysia, khususnya di peringkat domestik, kerana ia memberi kesan kepada keupayaan negara untuk mengeksport produk Halal ke negara lain.

Selain itu, wujud juga pandangan tentang situasi silo di antara agensi pemerintah seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Perbadanan Pembangunan Industri Halal, yang dikhuatiri bakal menjurus kepada ketidakcekapan dan ketidakseragaman dalam pelaksanaan standard dan amalan halal.

Malahan, Isu-isu lain termasuk kurangnya standard tidak begitu efektif dari segi kos, serta kekurangan pemahaman umum tentang amalan halal, jelas memberi kesan terhadap pertumbuhan dan pembangunan industri halal di Malaysia.

Untuk mengatasi cabaran-cabaran ini, beberapa inisiatif strategik telah digariskan dalam HIMP 2030, termasuk meningkatkan dasar dan undang-undang mesra halal, mencipta ruang pasaran baru dan lebih besar, menubuhkan kelompok pakar dan profesional halal untuk memenuhi keperluan global.

Selain itu ia turut menggariskan komitmen untuk meningkatkan pembangunan infrastruktur berkualiti dan bersepadu, menggalakkan pemikiran pemimpin, menghasilkan lebih banyak juara halal tempatan, dan memudahkan penyertaan Bumiputera yang lebih kompetitif dalam industri halal.

Seperti yang Ahmad Zahid nyatakan, bahawa industri halal bakal menjadi sektor strategik dan berdampak tinggi dalam Rancangan Malaysia Ke-12, yang dapat meningkatkan keupayaan dan kemampuan Malaysia dalam pembangunan tenaga kerja, mendorong pembangunan industri, meningkatkan daya saing produk, dan menjadikan Malaysia sebagai pusat halal global.

Diplomasi Halal dan ertinya kepada negara

Sewaktu di London baru-baru ini, Pengerusi Halal Development Corporation (HDC), Khairul Azwan Harun menegaskan, pelaksanaan inisiatif Diplomasi Halal, serta pendigitalan proses pensijilan halal bakal menjadi antara langkah strategik HDC untuk terus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pemain utama industri tersebut di peringkat global.

Tegasnya lagi, langkah strategik tersebut diyakini dapat memastikan lebih banyak pelabur luar ke negara ini, memperbaiki ekosistem halal negara bagi memastikan pemain tempatan lebih berdaya saing, dan seterusnya meningkatkan sumbangan industri ke KDNK sehingga 10.8 peratus menjelang tahun 2030.

Khairul Azwan berkata, HDC juga komited untuk menggunapakai teknologi pendigitalan, bagi meningkatkan lagi jumlah pemain industri tempatan halal yang kini mencecah sekitar 8,000 syarikat dengan jumlah produk sekitar 1.2 juta.

“Melalui Belanjawan 2024, kerajaan telah menetapkan tempoh kurang 30 hari untuk kelulusan pensijilan halal. Jadi peranan HDC ini melalui pendigitalan dan penggunaan teknologi maklumat yang ada, kita akan mempersiapkan syarikat tempatan yang bersedia untuk masuk ke proses kelulusan.

“Dalam sinergi tersebut, kita ada segmen pra kelulusan dan pasca kelulusan, dan HDC akan memainkan peranan di peringkat pra kelulusan, di mana kita akan bantu syarikat tempatan, serta antarabangsa, termasuk pengeluar eksport halal yang ingin dapatkan sijil dari Jabatan Kemajuan Agama Islam (Jakim).

“Kita akan membimbing sehingga mereka bersedia sepenuhnya. jadi kemudian baru serah kepada Jakim untuk laksanakan proses kelulusan mengikut tempoh baharu yang ditetapkan, seperti yang dinyatakan Perdana Menteri,” katanya.

Industri halal di Malaysia nyata mempunyai masa depan yang cerah, tetapi ia memerlukan usaha bersama untuk mengatasi cabaran sedia ada. Pelaksanaan inisiatif strategik dan HIMP 2030 diyakini mengandungi resipi yang diperlukan melaksanakan potensi penuh industri halal di Malaysia.

Dan sewajarnya Pedana Menteri meletakkan tanggungjawab yang berat itu di atas ahli politik dan ahli Kabinet yang berpengalaman seperti Ahmad Zahid Hamidi.

AWANI


Spread the love

4 Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!