PKPP: Ibadah korban diadakan di masjid dan surau yang dibenarkan sahaja

Spread the love

Assalamualaikum dan Selamat sejahtera,

Sebulan lagi umat Islam di seluruh negara akan menyambut Hari Raya Aidiladha. Aktiviti wajib, sembelihan dan pengagihan daging korban biasanya akan dilaksanakan secara berjemaah. Kali ini berbeza, jumlah individu yang terlibat akan dikurangkan bagi memastikan garis panduan PKPP dipatuhi.

Sehubungan itu, kerajaan telah mengumumkan kebenaran melaksanakan ibadah korban yang akan disambut pada Julai ini.

Ia dibenarkan dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan, antaranya:

1 – Diadakan di masjid, surau dan kawasan yang dibenarkan oleh pihak berkuasa agama.

2 – Selain itu, ia dibenarkan juga dilakukan di 28 rumah sembelihan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan 31 rumah sembelihan ruminan swasta yang dilesenkan oleh JPV.

3 – Digalakkan dilakukan di pusat sembelihan bagi memudahkan penjarakan sosial dijalankan. Dengan itu, daging hanya perlu diedarkan kepada penerima.

4 – Penganjur perlu memastikan bilangan korban yang dilakukan bersesuaian dengan kapasiti petugas yang dilantik. Selain itu, penganjur perlu melaporkan aktiviti ibadah korban kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) yang terdekat.

Baca: Garis panduan ringkas pelaksanaan ibadah korban dalam tempoh PKPP

5 – Petugas juga perlu mendaftarkan diri melalui aplikasi MySejahtera. Penjarakan sosial perlu dijaga dengan jarak sekurang-kurangnya satu meter. Pelitup muka serta sarung tangan juga perlu dipakai.

6 – Pengurusan kapasiti petugas dihadkan tidak melebihi 30 orang bagi seekor lembu.

7 – Kehadiran petugas dan jemaah hendaklah mereka yang bebas daripada gejala dan penyakit kronik. Kanak-kanak di bawah umur 12 tahun tidak dibenarkan hadir.

8 – Proses melapah dan keratan pembahagian daging pula perlu dilakukan di tempat yang lapang.

9 – Proses sembelihan juga digalakkan menggunakan peralatan dan sistem moden.

Tambah Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Yaakob lagi, pelaksanaan ibadah korban di semua masjid dan surau di Wilayah Persekutuan dibenarkan pada Hari Raya Aidiladha yang disambut pada 31 Julai ini dengan SOP yang ketat melibatkan kapasiti kehadiran maksimum 30 orang, pada satu-satu masa bagi menguruskan seekor lembu.

Manakala, untuk negeri lain adalah tertakluk kepada kebenaran pihak Jabatan Agama Negeri masing-masing.

SOP lengkap telah disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan boleh digunakan sebagai rujukan oleh negeri-negeri yang membenarkan ibadah korban ini.

Sumber: Majlis Keselamatan Negara


Spread the love
OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!