Amalan yang boleh menyucikan diri dan menebus dosa yang dilakukan

Spread the love

Assalamualaikum dan Selamat sejahtera,

Orang yang bertaubat dari dosa silamnya adalah sangat beruntung. Sungguh besar rasa syukur perlu dipanjatkan kepada Allah jika di hati kita sudah ada rasa penyesalan dari dosa yang dilakukan. Ini kerana Rasulullah SAW mengatakan,

“Semua anak Adam adalah seorang pendosa, namun mereka yang paling baik di antara orang yang melakukan kesalahan dan dosa adalah orang yang bertaubat.”

Dan bagi orang yang bertaubat pula, Allah pasti akan mengampunkan dosa-dosanya.

Ini bukan kata-kata kosong, ia adalah ucapan yang disampaikan oleh Rasulullah SAW sendiri kepada umatnya. Bermakna, bagi seorang yang melakukan dosa itu sudah ada jaminan untuk diampunkan kesalahan mereka dengan syarat mereka meminta ampun.

إِلَّا الَّذِينَ تَابُوا مِن بَعْدِ ذَٰلِكَ وَأَصْلَحُوا فَإِنَّ اللَّـهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

“Kecuali orang-orang yang bertaubat sesudah (ingkar) itu, serta memperbaiki keburukan mereka, maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah Ali Imran 3:89)

Jelas perkara yang disebutkan oleh Allah dalam ayat di atas, bahawa taubat mestilah diiringi dengan perubahan. Seorang yang mengatakan dirinya bertaubat mestilah memperbaiki keburukan diri atau mengubah diri sendiri ke arah lebih baik. Taubat tidak cukup sekadar menyesal.

Jika keadaan yang mempengaruhinya untuk melakukan dosa, maka dia mestilah keluar daripada keadaan tersebut.

Mungkin ada yang bertanya, apakah amalan-amalan tertentu yang boleh dilakukan selain solat dan berdoa memohon ampun kepada Allah. Baiklah, antara amalan yang boleh dilakukan untuk menyucikan diri dan menebus dosa adalah:

1- Lazimi “Istighfar”

Tidak ada dosa yang tidak diampunkan oleh Allah melainkan dosa menyekutukan Allah ataupun syirik. Istighfar bukan sahaja dapat menghilangkan titik hitam di hati, malah orang yang mengamalkannya secara konsisten akan mendapat kemudahan dalam urusan kehidupan seharian

Ucaplah “Astagfirullahal adzim”

(Aku meminta ampun kepada Allah dengan sebanyak-banyaknya)

2- Tunaikan Solat 5 Waktu Secara Istiqamah

Solat itu menyucikan. Dalam sebuah hadis riwayat Bukhari dan Muslim, solat diibaratkan seperti air sungai yang mengalir yang dapat membersihkan segala kekotoran.

“Adakah kalian melihat kalaulah di hadapan pintu salah seorang dari kalian ada sungai yang mana dia mandi di dalamnya pada setiap hari 5 kali. Apa pandangan kamu. Adakah berbaki kekotoran. Para sahabat menjawab: Tidak berbaki kekotoran padanya. Begitulah umpama bagi solat 5 waktu, Allah SWT menghapuskan dosa dengannya.” (Riwayat Al-Bukhari (528) & Muslim (1555)

3- Memperbanyakkan Sedekah

Berilah sedekah walaupun sedikit pada peminta sedekah yang kita jumpai di jalanan, pada anak-anak kecil yang kita temui atau boleh juga menyumbang di tabung masjid. Sesungguhnya amalan sedekah boleh menarik rahmat Allah, kemudian menjadi penghapus dosa yang telah dilakukan.

“Sesungguhnya sedekah itu memadamkan kemarahan Tuhan dan menghalang dari mendapat kematian yang buruk” (Riwayat Al-Tirmidzi (664) – Imam Tirmidzi mengatakan bahawa hadis ini adalah hadis hasan gharib)

4- Qiyamullail (Solat malam)

Setiap hari Allah mendepangkan tangan buat hamba-hambaNya – bertanya dan menyeru agar hamba-hambanya meminta apa sahaja yang diingini. Diceritakan juga dalam sebuah hadis sahih bahawa Allah ‘turun’ ke langit dunia pada sepertiga malam untuk mengabulkan doa hamba-hambaNya yang meminta.

Inilah waktu yang paling tenang dan sesuai untuk berdoa memohon keampunan kepada Allah Azza wa jalla.

“Aku lah Raja. Aku lah Raja. Sesiapa yang memohon kepadaKu maka akan Aku kabulkan. Siapa yang meminta kepadaKu maka Aku akan beri. Siapa yang memohon keampunan daripadaKu maka Aku akan mengampunkannya. Ia akan berterusan sehinggalah fajar menyinsing.” (Hadis Qudsi)

5- Sentiasa Menghadiri Majlis Ilmu

Majlis ilmu diibaratkan satu diantara taman-taman syurga. Ia dipenuhi keberkatan kerana turut dihadiri oleh malaikat yang memohon kerahmatan buat mereka yang berkumpul mengingati Allah. Selain itu, dengan menghadiri majlis ilmu, kita juga akan mudah berjumpa dengan orang-orang yang boleh memberi pedoman dan nasihat berkaitan kehidupan.

Kesimpulannya, sentiasa tekad dalam diri untuk berubah ke arah yang baik dengan niat yang ikhlas. Apa yang penting, kita tidak boleh berputus asa daripada rahmat Allah kerana Allah juga tidak pernah berputus asa daripada menerima taubat hamba-hambaNya.

Pohonlah kepada Allah agar sentiasa diberi kekuatan untuk istiqamah melakukan taubat dan juga melakukan amalan-amalan kebaikan yang lain. InsyaAllah 🙂

Sumber: Mufti Wilayah


Spread the love
OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!