Asmaul Husna atau nama-nama Allah sudah pasti tidak asing lagi dalam kalangan kita semua. 99 nama Allah ini seringkali dibaca sama ada semasa perhimpunan pagi di sekolah atau sebagai permulaan sebelum memulakan kerja.
Asmaul Husna merupakan perkataan Arab yang bermaksud nama-nama yang indah atau yang baik. Para ulama’ menerangkan ia adalah nama-nama indah yang dimiliki oleh Allah berdasarkan kebesaran dan keagungannya.
Allah itu mempunyai banyak nama, namun yang wajib diketahui adalah 99 seperti yang dinyatakan melalui kata-kata Baginda.

Sejarah Mengenai Asmaul Husna
Di dalam kitab-kitab seperti Kitab Asbabul Nuzul (sebab penurunan) ada diterangkan bagaimana wujudnya Asmaul Husna.
Diceritakan bahawa ketika Baginda SAW sedang berdoa selepas melakukan solat di Mekah, Baginda mengucapkan “Ya Rahman, Ya Rahim” sehingga ia didengari sebahagian kaum Musyrikin Mekah.
Kaum tersebut terus mengejek dengan ejekan yang berbunyi: “Ia melarang kita menyeru dua tuhan sedangkan dia sendiri yang menyeru dengan dua tuhan.”
Disebabkan itu, turunlah ayat daripada surah Al-Isra’ yang berbunyi:
قُلِ ادْعُوا اللَّـهَ أَوِ ادْعُوا الرَّحْمَـٰنَ ۖ أَيًّا مَّا تَدْعُوا فَلَهُ الْأَسْمَاءُ الْحُسْنَىٰ ۚ وَلَا تَجْهَرْ بِصَلَاتِكَ وَلَا تُخَافِتْ بِهَا وَابْتَغِ بَيْنَ ذَٰلِكَ سَبِيلً
Mafhum: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Serulah nama “Allah” atau nama “Ar-Rahman” yang mana sahaja kamu serukan (dari kedua-dua nama itu adalah baik belaka; kerana Allah mempunyai banyak nama yang baik serta mulia. Dan janganlah engkau nyaringkan bacaan doa atau sembahyangmu juga janganlah engkau perlahankannya dan gunakanlah sahaja satu cara yang sederhana antara itu.” (Surah Al-Isra’, 17:110)
Turunnya ayat di atas adalah untuk membetulkan pandangan kaum Musyrikin itu bahawa Allah itu hanya satu dan tiada yang lain, namun mempunyai banyak nama. Malah, dalam surah lain juga ada dijelaskan mengenai Asmaul Husna ini, iaitu:
وَلِلَّـهِ الْأَسْمَاءُ الْحُسْنَىٰ فَادْعُوهُ بِهَا ۖ وَذَرُوا الَّذِينَ يُلْحِدُونَ فِي أَسْمَائِهِ ۚ سَيُجْزَوْنَ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ
Mafhum: “Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah (dan berdoalah) kepadaNya dengan menyebut nama-nama itu dan pulaukanlah orang-orang yang berpaling dari kebenaran dalam masa menggunakan nama-namaNya. Mereka akan mendapat balasan mengenai apa yang mereka telah kerjakan.” (Surah Al-A’raf, 7:180)

Kelebihan Membaca Asmaul Husna
99 nama ini menggambarkan keagungan dan kekuasaan Allah. Mengetahui dan mengamalkannya boleh memberi manfaat kepada ketenangan emosi dan juga rohani.
Berikut merupakan beberapa manfaat dan fadilat yang dinyatakan sendiri oleh Allah melalui kalamNya:
#1 – Menjadi Orang Yang Bersyukur
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اذْكُرُوا اللَّـهَ ذِكْرًا كَثِيرًا
Mafhum: Wahai orang-orang yang beriman, (untuk bersyukur kepada Allah) ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya.” (Surah Al-Ahzab, 33:41)
#2 – Mententeramkan Hati-Hati Yang Menyebutnya
الَّذِينَ آمَنُوا وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُم بِذِكْرِ اللَّـهِ ۗ أَلَا بِذِكْرِ اللَّـهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ
Mafhum: “(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah.” Ketahuilah dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia.” (Surah Ar-Rad, 13:28)
#3 – Takut Akan Azab SeksaNya
الَّذِينَ يَذْكُرُونَ اللَّـهَ قِيَامًا وَقُعُودًا وَعَلَىٰ جُنُوبِهِمْ وَيَتَفَكَّرُونَ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هَـٰذَا بَاطِلًا سُبْحَانَكَ فَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
Mafhum: “(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau maka peliharalah kami dari azab neraka.” (Surah Al-Imran, 3:1919)

Asmaul Husna itu merupakan zikir yang boleh diamalkan untuk mengingatinya. 99 itu walaupun kelihatan banyak, namun jika dibacakan hari-hari, pasti akan mudah untuk mengingatinya.
Malah, zikir ini sudah berada dalam beberapa versi nasyid dan alunan muzik untuk memudahkan ia dibaca bagi menambah lagi rasa seronok dalam menghayatinya.
Wallahu a’alam.
One Comment
Sambil tunggu traffic light 200 saat menghabiskan waktunya, boleh la habiskan bacaan asmaul husna sekali.
Curahan rasa Ikhwan @ ..Tanah Achi Jaya 29833.32 Ekar Untuk Dijual
Comments are closed.