Nikmat syurga terlihat seawal didalam kubur

Spread the love

Nikmat di dalam kubur adalah termasuk dalam hakikat-hakikat ghaib yang thabit buktinya melalui penghabaran yang yakin lagi mutawatir. Semua orang mengimpikan nikmat yang besar ini. Antaranya :

  1. Kuburnya diterangi cahaya dan dilapangkan.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا قُبِرَ الْمَيِّتُ ، أَوْ قَالَ : أَحَدُكُمْ ، أَتَاهُ مَلَكَانِ أَسْوَدَانِ أَزْرَقَانِ ، يُقَالُ لأَحَدِهِمَا : الْمُنْكَرُ ، وَالآخَرُ : النَّكِيرُ ، فَيَقُولَانِ : مَا كُنْتَ تَقُولُ فِي هَذَا الرَّجُلِ ؟ فَيَقُولُ مَا كَانَ يَقُولُ : هُوَ عَبْدُ اللَّهِ وَرَسُولُهُ ، أَشْهَدُ أَنْ لا إِلَهَ إِلا اللَّهُ ، وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ . فَيَقُولانِ : قَدْ كُنَّا نَعْلَمُ أَنَّكَ تَقُولُ هَذَا ، ثُمَّ يُفْسَحُ لَهُ فِي قَبْرِهِ سَبْعُونَ ذِرَاعًا فِي سَبْعِينَ ، ثُمَّ يُنَوَّرُ لَهُ فِيهِ ، ثُمَّ يُقَالُ لَهُ : نَمْ

MaksudnyaApabila mayat (atau seseorang daripada kamu) telah dikuburkan, datanglah kepadanya dua malaikat hitam kebiru-biruan, seorang daripada keduanya dikenali dengan Malaikat Munkar dan seorang lagi dengan Malaikat Nakir. Keduanya berkata: “Apakah yang hendak engkau katakan mengenai lelaki ini?

Dia berkata: “Dia adalah hamba Allah dan utusan-Nya. Aku bersaksi bahawa tiada tuhan yang layak disembah selain Allah, dan aku bersaksi bahawa Muhammad itu adalah hamba-Nya dan utusan-Nya.” Keduanya berkata: “Sungguh, kami telah tahu bahawa engkau akan mengatakan demikian itu.” Kemudian dilapangkan baginya di dalam kuburnya sepanjang 70 hasta kali 70 hasta. Kemudian diberi cahaya baginya di dalamnya. Kemudian, dikatakan kepadanya: “Tidurlah engkau.”

Riwayat al-Tirmizi (1071) dan Ibn Hibban (3117

2. Setiap pagi dan petang, akan diperlihatkan kepadanya kedudukan tempatnya di Syurga di dalam kubur tersebut.

إِنَّ أَحَدَكُمْ إِذَا مَاتَ عُرِضَ عَلَيْهِ مَقْعَدُهُ بِالْغَدَاةِ وَالْعَشِيِّ إِنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ الْجَنَّةِ فَمِنْ أَهْلِ الْجَنَّةِ وَإِنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ النَّارِ فَيُقَالُ هَذَا مَقْعَدُكَ حَتَّى يَبْعَثَكَ اللَّهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

MaksudnyaSetiap seorang daripada kamu, manakala telah mati akan diperlihatkan kepadanya kedudukan tempatnya setiap pagi dan petang. Jika dia daripada ahli syurga maka (akan diperlihatkan seperti) ahli syurga dan jika dia ahli neraka maka daripada ahli neraka. Dikatakan kepadanya, “Inilah tempatmu sehingga dibangkitkan semula pada hari kiamat.”

Riwayat al-Bukhari (1379) dan Muslim (2866)

3. Memperoleh wangian dan haruman daripada Syurga serta kuburnya diluaskan sejauh mata memandang.

Dalam sebuah hadis yang panjang, yang diriwayatkan daripada al-Bara’ bin ‘Azib R.A, katanya: Kami pernah bersama Rasulullah SAW mengiringi jenazah seorang lelaki Ansar sehinggalah kami sampai di kuburan dan menunggu disiapkan liang lahad. Rasulullah SAW duduk dan kami duduk di sekeliling baginda seolah-olah di atas kepala kami ada burung. Pada tangan Rasulullah SAW terdapat satu tongkat yang dicacak ke tanah. Nabi SAW bersabda (antaranya):

…فَيَأْتِيهِ مَلَكَانِ فَيُجْلِسَانِهِ فَيَقُولَانِ: مَنْ رَبُّكَ؟ فَيَقُولُ: رَبِّيَ اللهُ، فَيَقُولَانِ: وَمَا دِينُكَ؟ فَيَقُولُ: دِينِيَ الْإِسْلَامُ، فَيَقُولَانِ: مَا هَذَا الرَّجُلُ الَّذِي بُعِثَ فِيكُمْ؟ فَيَقُولُ هُوَ رَسُولُ اللهِ، فَيَقُولَانِ: وَمَا يُدْرِيكَ؟ فَيَقُولُ: قَرَأْتُ كِتَابَ اللهِ عَزَّ وَجَلَّ فَآمَنْتُ بِهِ وَصَدَّقْتُ، قَالَ: فَيُنَادِي مُنَادٍ مِنَ السَّمَاءِ أَنْ صَدَقَ عَبْدِي فَافْرِشُوهُ مِنَ الْجَنَّةِ، وَأَلْبِسُوهُ مِنَ الْجَنَّةِ، وَافْتَحُوا لَهُ بَابًا مِنَ الْجَنَّةِ فَيَأْتِيهِ مِنْ رَوْحِهَا وَطِيبِهَا، وَيُفْسَحُ لَهُ فِي قَبْرِهِ مَدَّ بَصَرِهِ،

Maksudnya: …Kemudian dua orang malaikat datang kepada roh dan duduk di sisi. Kedua-duanya bertanya: Siapakah tuhan kamu? Lalu roh mukmin menjawab: Tuhanku ialah Allah. Mereka bertanya lagi: Apakah agama kamu? Dia menjawab: Agamaku Islam. Mereka bertanya lagi: Siapakah orang ini yang dibangkitkan dalam kalangan kamu? Roh menjawab: Dia ialah utusan Allah. Mereka bertanya lagi: Bagaimana engkau mengetahuinya? Dia menjawab: Aku membaca Kitabullah Azza wa Jalla, lalu aku beriman dan mempercayainya.

Lalu penyeru menyeru daripada langit: “Hambaku benar! Bentangkan untuknya syurga. Pakaikan ia dengan pakaian daripada syurga. Bukakanlah pintu syurga untuknya.” Dia pun mendapat wangian dan harumnya angin syurga, serta kuburannya diluaskan sejauh mata memandang.

Riwayat Abu Daud (4753) dan Ahmad (4/287)

Inilah sebahagian daripada nikmat kubur yang menjadi taman-taman Syurga seperti yang termaktub dalam sebuah hadis:

إِنَّمَا القَبْرُ رَوْضَةٌ مِنْ رِيَاضِ الجَنَّةِ أَوْ حُفْرَةٌ مِنْ حُفَرِ النَّارِ

MaksudnyaSesungguhnya kubur satu taman daripada taman-taman Syurga atau satu gaung daripada gaung-gaung neraka.

Soalan yang ditanya didalam kubur nampak mudah apabila dijawab ketika hidup ini, tapi takwa dan iman menentukan jawapan kita di dalam kubur nanti.

Semoga Allah kurniakan kepada kita nikmat kubur sehingga membawa kita ke syurga. Amin. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ

Maksudnya“Ya Allah! Kami berlindung dengan-Mu daripada seksa neraka Jahannam, dari seksa kubur dan aku berlindung dengan-Mu daripada fitnah dajjal dan aku berlindung dengan-Mu daripada fitnah hidup dan mati.”

Artikel ditaja oleh serum Ainaabeauty


Spread the love
OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!