Najib Razak angkat sumpah laknat, nafi ‘Statutory Declaration’ Azilah Hadri

Spread the love

Datuk Seri Najib Razak selesai bersumpah menafikan beliau pernah mengarahkan bekas pegawai polis, Azilah Hadri atau mana-mana individu lain membunuh warga Mongolia, Altantuya Shariibuu.

Bekas perdana menteri itu melafazkan sumpah laknat itu di Masjid Jamek Kampung Baru disaksikan isterinya, Rosmah Mansor, anak mereka, Nooryana Najwa Najib, dan lebih kurang 500 orang lain selepas selesai solat Jumaat.

“Wallahi, wabillahi, watallahi, sejak memasuki usia taklif (dewasa) hingga saat ini, saya tidak pernah arahkan mana-mana individu, untuk bunuh wanita warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

“Saya tidak pernah berjumpa, tidak kenal mendiang sama sekali,” katanya. Sumpah laknat ini disambut dengan laungan takbir daripada para hadirin.

Najib melafazkan sumpah itu bagi menafikan dakwaan dalam statutory declaration Azilah, seorang bekas komando Unit Tindakan Khas, yang mengaitkan beliau dengan kematian Altantuya.

Azilah, yang disabitkan membunuh wanita Mongolia itu dan dikenakan hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Persekutuan pada 13 Jan 2015, mendakwa Najib, ketika menjadi timbalan perdana menteri, memberi arahan untuk membunuh wanita itu.

Azilah membuat akuannya untuk permohonan semakan kes pembunuhannya di Mahkamah Persekutuan. Najib menepis dakwaan Azilah, mengatakan ia “langkah terdesak” oleh seseorang yang menghadapi hukuman mati.

Najib pernah melafazkan sumpah laknat yang sama ketika beliau memegang jawatan timbalan perdana menteri 11 tahun lalu di Masjid Guar Perahu, Pulau Pinang, menafikan beliau mengenali Altantuya.

Altantuya dibunuh pada Oktober 2006 di hutan di Puncak Alam berdekatan Shah Alam, Selangor, dengan tembakan ke kepala sebelum tubuhnya diletupkan.

Seorang lagi bekas anggota polis, Sirul Azhar Umar lari ke Australia selepas Mahkamah Rayuan membebaskan dia dan Azilah daripada tuduhan membunuh Altantuya pada 2013. Pembebasan mereka diterbalikkan Mahkamah Persekutuan pada 2015.

Dengan sumpah laknat sekali lagi ini, apakah status SD Azilah Hadri, benar atau palsu?


Spread the love
OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!