MAIS perkenal kalkulator fidyah puasa, mudahkan kiraan pembayaran

Spread the love

SHAH ALAM: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) hari ini melancarkan Kalkulator Fidyah Puasa bagi memudahkan masyarakat Islam membuat pengiraan bayaran ganti puasa.

Pengerusi MAIS Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata platform tersebut dibangunkan MAIS bagi memudahkan masyarakat Islam membuat pengiraan kadar fidyah sebelum membuat bayaran.

“Sebelum ini umat Islam perlu hadir ke cawangan MAIS untuk membuat pengiraan sendiri sebelum membayar jumlah fidyah yang dikehendaki.

“Kini mereka hanya perlu menggunakan kemudahan tersebut dengan melayari laman web MAIS di www.mais.gov.my.,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Hi-Tea Bersama Rakan Media dan Pelancaran Kalkulator Fidyah Puasa sempena Kempen Bulan Kesedaran Fidyah Negeri Selangor 2023 di sini hari

Abdul Aziz berkata dengan adanya platform pembayaran tersebut, jumlah kutipan fidyah boleh mencecah RM20 juta pada tahun ini.

Katanya pada tahun lalu, MAIS berjaya mengagihkan kutipan fidyah berjumlah RM6.85 juta melalui bantuan makanan kering dan wang tunai kepada golongan yang memerlukan.

“Setakat ini, kesedaran umat Islam untuk membayar fidyah masih rendah kerana ada antara mereka masih tidak mengetahui tentang kewajipan tersebut.

“Jadi MAIS berharap Kalkulator Fidyah Puasa ini dapat memberi kemudahan baharu kepada masyarakat Islam dalam membuat pengiraan dengan pantas dan tepat bagi bayaran fidyah yang dikenakan atas sebab-sebab tertentu,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Abdul Aziz memaklumkan pihaknya membuat laporan polis pada Jumaat lepas berkenaan isu penyalahgunaan logo institusi tersebut oleh sebuah syarikat bagi mendapatkan dana projek pembekalan bantuan bakul makanan.

MAIS turut menafikan pihaknya terlibat dalam projek pembekalan bantuan bakul makanan yang dilaksanakan oleh syarikat berkenaan.

“Kita nak pastikan (kenal pasti) syarikat yang buat itu (guna logo MAIS) dan bila sahih mereka yang buat, tindakan tertentu akan diambil kerana menyamar sebagai MAIS,” katanya.

— BERNAMA


Spread the love
OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!