Komen mengutuk dan mencaci bukan budaya kita
Assalamualaikum dan salam 1Dunia, kalau dulu bila aku menulis entri ilmiah atau isu semasa yang agak panas memang wajib sunyi sepi ruang komen tidak ramai Rakan Blogger yang akan meninggalkan komen berkongsi pendapat. Budaya senyap sepi semakin berubah dimana semakin ramai Rakan Blogger yang sudi berkongsi pendapat dalam banyak entri yang dulu dipandang sepi.
Aku tidak mengharap semua untuk bersetuju dengan apa yang aku tulis. Sudah pasti kita mempunyai perbezaan pendapat kerana kita dididik dengan cara berbeza, ilmu yang berbeza dan fahaman politik yang berbeza. Perbahasan dengan cara ilmiah dan perbezaan pendapat sangat baik untuk meningkatkan keterbukaan dalam berbagai isu yang dibawa dalam entri-entri terbaru dalan blog Denaihati.
Aku banyak mendapat ilmu baru daripada setiap pendapat yang dikongsikan oleh Rakan Blogger. Terima kasih juga kepada Rakan Blogger yang sudi berkongsi pendapat dengan fakta yang panjang lebar yang mungkin ramai Rakan Blogger lain tidak berkesempatan membaca melalui rujukan-rujukan buku yang lain.
Yang sedih pun ada juga apabila ada dikalangan pendapat yang agak emosi dan menggunakan perkataan yang tidak sepatutnya ketika meninggalkan komen. Paling ketara kebanyakan komen yang marah-marah dan emosi ini selalunya ditulis oleh mereka yang tiada identiti dengan menggunakan nama samaran, email samaran dan link samaran. Tiada siapa yang akan marah kalau Rakan Blogger mempunyai pendapat yang berbeza tetapi dikongsikan dengan cara yang beradab.
Tidak ada salahnya untuk berbeza pendapat tetapi mesti dikongsikan dengan cara yang baik dan beradab kerana itulah budaya Islam bukan mengutuk dan mencaci sesuka hati. Siapalah aku yang boleh mengubah pemikiran Rakan Blogger dengan penulisan di dalam blog Denaihati.
