Hadiahkan Doa Buat Ibu Bapa Anda Setiap Hari

Spread the love

Assalammualaikum dan salam sejahtera

Doa amat penting dalam kehidupan. Ianya adalah ibadah. Ingatlah bahawa ibadah yang kita laksanakan bukan semata-mata untuk keperluan dunia. Sekiranya kita ikhlas untuk beribadah, nescaya kita akan diberikan ganjaran yang sebaiknya di kemudian hari.

Jadi sudahkah kita mendoakan kedua ibu bapa kita pada hari ini? Sesungguhnya, ganjaran pahala buat anak-anak yang mendoakan ibu bapa adalah sangat besar. Tidak kira sama ada mendoakan kebahagiaan, kesihatan mahupun apa-apa kebaikan.

1- Mendoakan Pada Bila-Bila Masa

Pengorbanan dan jasa kedua-dua ibu bapa kita terlalu tinggi nilainya. Sejak kita berada dalam rahim ibu sehinggalah pada hari ini.

Jika dibandingkan dengan balasan kita kepada pengorbanan mereka berdua, masih belum tentu sama cukup dengan pengorbanan mereka.

Waktu untuk berdoa yang mustajab adalah pada waktu selepas solat, antara azan dan iqamah, ketika hujan dan lain-lain. Cadangan paling terbaik ialah jadikan amalan setiap hari.

Kita boleh mengirimkan doa buat ibu bapa selepas menunaikan solat fardhu. Oleh itu, kita akan terus-menerus mengingati mereka setelah kita selesai solat.

Selain itu, doa buat ibu bapa boleh dijadikan sebagai sarapan sebelum kita memulakan apa-apa urusan kita pada setiap hari. Mulakan hari-hari kita dengan bacaan doa ataupun membaca al-Fatihah untuk mereka.

2- Keredaan Ibu Bapa Ialah Keredaan Allah S.W.T

Keredaan Allah bergantung kepada keredaan kedua ibu bapa. Selain berdoa, kita perlu meneruskan perjuangan untuk berbakti kepada mereka. Maka, jangan pernah kedekut apabila melibatkan ibu bapa.

Hubungan seorang anak dengan ibu bapanya mempunyai kaitan dengan hubungannya terhadap Allah S.W.T. Apabila seorang anak berbuat baik kepada kedua ibu bapanya sehingga mereka reda kepadanya, jadi Allah juga akan reda.

Saat kita masih hidup, teruskanlah berbakti serta mendoakan kedua ibu bapa. Ibu bapa kita tidak pernah kedekut. Adakah kita sedar tentang mereka yang banyak memberikan segala-galanya dari kecil?

Terlampau banyak pengorbanan mereka demi kita. Sememangnya itu menjadi tanggungjawab ibu bapa. Namun ingatlah juga tanggungjawab kita yang sepatutnya buat mereka berdua.

3- Dilapangkan Rezeki

Kuasa doa itu benar dan apabila dimakbulkan pasti kita akan berterusan untuk berdoa. Hal ini sama juga saat kita mendoakan ibu bapa.

Ingatlah bahawa sesulit manapun kehidupan atau apa-apa yang kita lalui, Allah S.W.T berkuasa untuk mengubah segalanya. Pesanan Dato’ Dr Hj Mohd Fadzilah Kamsah;

“Setiap hari sedekahkan al-Fatihah kepada kedua ibu bapamu (baik yang hidup mahupun yang sudah tiada) nescaya pintu rezekimu akan terbuka buat kamu.”

Rezeki yang dimaksudkan bukan tentang wang semata-mata. Rezeki itu luas dan berada dalam berbagai-bagai bentuk. Segala nikmat yang datang daripada Allah S.W.T seperti kesihatan, kasih sayang, makanan, jodoh dan bermacam-macam lagi.

Tambah pula, semua yang hidup akan memperoleh rezeki daripadaNya. Namun yang paling penting ialah keberkatan rezeki tersebut. Dengan berdoa serta berbuat baik kepada ibu bapa, rezeki akan lebih mudah untuk diperoleh serta dipermudahkan urusan.

4- Cara Berdoa

Belum sempurna bakti kita terhadap ibu dan ayah apabila tidak mendoakan kebaikan dan ampunan untuk mereka. Tidak lupa juga mendoakan mereka supaya diberikan ganjaran syurga.

Allah S.W.T juga memerintahkan setiap anak agar mendoakan kedua ibu bapanya. Contoh doa yang disebut dalam al-Quran ialah;

“Wahai Tuhanku, kasihanilah mereka berdua (ibu dan ayah), sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku pada waktu kecil.

(Surah Al Isra 17:24)

Ya Tuhan kami, beri ampunlah aku dan kedua ibu bapaku.

(Surah Ibrahim 14:41)

Wallahu’alam.


Spread the love

2 Comments

Comments are closed.

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!