Kisahnya Secebis Hati part 18

Assalamualaikum dan Salam 1Dunia, ini part ke-18 sambungan “Kisahnya Secebis Hati“ hasil coretan dari Penderma HATI, Ahmad Khariri. Kalau belum baca episod awal Part 1 hingga 17 yang dipublish sebelum ni bolehlah KLIK DI SINI. Rakan Blogger boleh menjemput Saudara Ahmad Khariri untuk sessi Motivasi berkongsi pengalaman dan juga kepada yang teringin mempromosikan bisnes isteri beliau sila klik – Bunga Telur Teddy Bear.

Pesakit Bengkak Hati : Allahyarham Adik Mohd Yohitt Bin Mohd Farhan Kutty Krishnan

Penderma Hati : Ahmad Khariri Al-Hadi Bin Md Yusop

Tarikh pembedahan pemindahan hati (Liver Transplant) : 18 Disember 2004

Tarikh Adik Yohitt meninggal dunia : 28 Januari 2005

Kisahnya Secebis Hati

Syukur Alhamdulillah, demam dan sakit kepala saya telah sembuh sepenuhnya hari yang ke 5. Berkat doa dari ibu, keluarga dan kenalan.

Walaupun kita sakit, solat jangan ditinggal kerana solat itu sebenarnya adalah ubat yang paling mujarab. Dalam bacaan ketika solat banyak doa-doa kepada Allah SWT memohon kepada sihat, sejahtera dan pelbagai lagi.” Ujar ibu yang sentiasa mengingatkan saya agar mendirikan solat walaupun dalam keadaan kurang sihat.

Saya bekerja seperti biasa. Menziarahi adik Atiqah di SJMC dan bersenam di Fitnest First seperti biasa juga. Tiada yang janggal rutin seharian saya kini. Aktiviti-aktiviti seharian ini sudah menjadi satu kewajipan pada saya. Saya tidak berasa janggal malahan apabila salah satu aktiviti ini tidak dilakukan, saya pula yang tidak selesa.

Bak orang kata, kalau tiap-tiap hari makan nasi tiba-tiba cuba berhenti makan nasi pasti akan rasa pelik. Itulah yang terjadi dalam diri saya kini. Saya mulai rasa seronok dengan kepadatan aktiviti-aktiviti saya. Namun saya tetap dapat meluangkan masa bersama-sama anak-anak dan keluarga tersayang. Jika sebelum ini kehidupan saya kelam kabut namun saya telah berjaya menguruskan secara perlahan-lahan walaupun diuji dengan pelbagai ujian yang mendatang.

Nampaknya bahang pilihanraya semakin hampir. Bendera parti politik mula diletakkan di hampir semua sudut jalan raya, pokok-pokok, tiang elektrik, bangunan, rumah dan kenderaan. Ada yang bendera kecil, bendera besar, tiga segi, empat segi dan bermacam-macam saiz serta bentuk. Nampak meriah seperti sambutan perayaan pula. Kata orang, apabila tiba musim pilihanraya rezeki bertambah. Orang lain yang masuk bertanding, mengapa pula rezeki orang lain yang bertambah? Tuah ayam nampak di kaki, tuah orang tunggu pilihanraya! Saya tersenyum sinis setiap kali tibanya musim pilihanraya.

Perang Bendera Pilihanraya

Sejak cerita adik Atiqah keluar di media-media cetak dan elektronik 2 bulan kebelakangan ini, tiba-tiba sahaja kami menjadi tumpuan oleh semua pihak semula. Tumpuan oleh pihak-pihak yang bertanding untuk menjadi calon bagi parti politik yang diwakilinya. Memang sebelum ini cerita kami menjadi ‘hot’ tetapi ianya berlainan kerana senario ini berubah secara mendadak.

Boleh dikatakan setiap hari ada sahaja wartawan yang datang atau menghubungi kami untuk ditemubual. Saya sendiri kurang pasti mengapa ‘mereka’ berlumba-lumba untuk menjadikan kami sebagai bahan cerita padahal sebelum ini tidaklah sekerap ini. Yang menariknya adalah wartawan ini bergilir-gilir seperti sudah berpakat pula. Jika hari ini Utusan Malaysia, esok daripada Berita Harian pula dan ianya silih berganti oleh beberapa wartawan dari akhbar yang berbeza.

Kadangkala ada rakan-rakan wartawan ini datang ke rumah, hospital dan ada juga yang hanya melalui telefon sahaja untuk menemubual. Secara kebetulan saya dan keluarga adik Atiqah sama kawasan parlimen untuk mengundi. Wakil calon yang bertanding untuk pilihanraya kami juga sama. Yang menariknya adalah sekiranya mereka datang ke rumah, pasti ada sahaja wakil-wakil calon yang bertanding turut serta. Apa niat mereka saya sendiri pun kurang pasti.

Jika berniat baik untuk membantu, kami memang amat-amat mengalukan dan sekira sebaliknya pula agar perkara seperti ini janganlah dipolitikkan. Bukannya apa, khuatir akan timbul persepsi yang kurang baik daripada masyarakat sekeliling. Mungkin ada yang beranggapan, mengapa ketika mahu bertanding di dalam pilihanraya baru mahu datang mengjenguk dan bertanya khabar? Atau mengapa mereka datang bersama-sama wartawan?

Ini adalah dunia politik. Dunia poltik banyak agendanya yang tersendiri kerana mereka juga manusia yang mahukan ‘perhatian’. Sebagai rakyat biasa, mungkin kita hanya mahukan agar mereka menjalankan amanah yang diberi secara amanah, jujur dan bertanggungjawab.

Pada malam hari pula saya bersama-sama Encik Sharif akan dibawa ke tempat-tempat wakil yang bertanding membuat ceramah. Boleh dikatakan hampir setiap hari kami dibawa ‘menjelajah’ seluruh Negeri Selangor. Menurut mereka, mereka ingin membantu kami untuk mendapatkan sumbangan dari rakyat bagi membantu adik Atiqah menjalani pembedahan pemindahan hati. Kadangkala kami rasakan seperti seorang VVIP.

Alhamdulillah, setiap kunjungan kami disambut meriah oleh warga tempatan dan kutipan derma untuk membantu adik Atiqah juga amat menggalakkan. Kerisauan kami mencari dana pembedahan terubat sedikit dengan keperihatinan mereka semua. Sekiranya adik Atiqah boleh berbicara, pastinya beliau ingin mengucapkan ucapan terima kasih kepada semua yang membantu beliau.

Ramai yang mendoakan agar adik Atiqah selamat menjalani pembedahan. Serba sedikit ianya memberikan motivasi kepada Encik Sharif agar terus berusaha untuk menyelamatkan anak kesayangan beliau ini. Kadangkala air mata Encik Sharif mengalir bersyukur kerana masih ramai yang bersimpati kepada nasib adik Atiqah. Ada yang bersalam dan ada juga yang memeluk tanda sangat bersimpati. Mereka menganggap apa yang berlaku bukan sahaja kesedihan Encik Sharif dan keluarga sahaja tetapi ianya adalah kesedihan semua insan di muka bumi Allah ini. Mereka berjanji untuk bersama-sama menghadapi apa jua yang akan terjadi dan berharap Encik Sharif sudi untuk berkongsi dengan mereka.

Kebiasaannya selepas tamat majlis-majlis tersebut, kami tidak pulang tangan kosong. Ada sahaja buah tangan yang diberikan kepada Encik Sharif. Ada yang memberikan biskut, buah-buahan dan tidak ada kurang yang bermurah hati memberikan sedikit ‘ang pau’ buat perbelanjaan harian. Saya memandang semua ini sebagai rezeki kepada adik Atiqah. Alangkah gembiranya kanak-kanak atau insan-insan yang memerlukan bantuan sekiranya setiap tahun terdapat ‘pilihanraya’!

Menurut Encik Sharif, selain kutipan derma ‘kilat’ yang diadakan oleh parti-parti politik yang bakal bertanding di pilihanraya yang akan datang terdapat seorang VIP (maaf saya terpaksa merahsiakan nama beliau) di negeri ini sudi menyumbangkan derma sebanyak RM100,000.00 untuk pembedahan ini sekiranya tarikh telah ditetapkan oleh doktor-doktor pakar. Beliau juga akan menjadikan adik Atiqah sebagai anak angkat beliau. Berita baik ini disampaikan sendiri oleh beliau ketika mengunjungi adik Atiqah di hospital. Saya berpendapat sekiranya terdapat 10 orang yang mempunyai harta kekayaan dan sanggup melakukan amalan kebajikan seperti beliau, Insya’Allah lebih banyak nyawa dapat diselamatkan. Seharusnya ini dijadikan pendorong kepada usahawan yang berjaya agar lebih banyak bersedekah / berzakat. Bersedekah mendekatkan diri kepada Allah dan berzakat menyucikan harta.

Saya masih teringat kata-kata seorang guru saya di sekolah rendah suatu waktu dahulu, “Khariri, jangan khuatir untuk bersedekah kerana amalan bersedekah adalah amalan yang mulia dan Allah SWT akan menambahkan sumber rezeki bagi mereka yang bersedia mengurangkan beban orang lain!

Bersambung …

30 Comments

Comments are closed.

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!