Individu luar biasa, inilah 10 orang wanita paling berpengaruh di dunia

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Ungkapan peribahasa tangan yang menghayun buaian mampu menggoncang dunia sebenarnya ialah satu realiti yang tidak boleh disangkal. Sememangnya ia bukan fantasi lagi! Pepatah itu secara tidak langsung menggambarkan betapa kuatnya pengaruh seorang ibu atau wanita dalam kehidupan manusia.

Melihat kepada senarai terkini wanita paling berpengaruh di dunia seperti yang dikeluarkan majalah terkemuka bisnes, Forbes, individu yang tersenarai memiliki latar belakang yang pelbagai.

Bahkan ada di antara mereka yang pernah hidup melarat. Namun, seperkara yang sangat dibanggakan, mereka tetap melaksanakan peranan sebagai seorang ibu meskipun dalam kesibukan.

Berikut dikongsikan 10 wanita paling berpengaruh di dunia. Kejayaan mereka sesungguhnya boleh jadi inspirasi buat sesetengah wanita yang masih terperangkap dengan batas kelemahan dan takut untuk menempuhi cabaran.

1) Angela Merkel

MERKEL berusia 64 tahun. Beliau merupakan graduan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dan Master dalam bidang Sains di Universiti Leipzig, Jerman. Beliau mencipta sejarah apabila dilantik menjadi Kaunselor Wanita pertama di Jerman pada tahun 2005.

Sebelum itu, beliau ialah Menteri Wanita & Pemuda pada tahun 1991-1994 dan menjawat beberapa jawatan penting lain. Wanita itu kekal sebagai peneraju de facto Eropah yang membawa impak besar ke atas ekonomi terbesar di rantau itu. Pencapaian itu dianggap hebat selepas Jerman mengalami krisis kewangan yang teruk.

2) Theresa May

May menjadi Perdana Menteri Britain pada Julai 2016 selepas perletakan jawatan David Cameron. Kehidupan May penuh dengan cerita politik. Dua tahun dilantik memegang posisi Perdana Menteri, figura itu menghadapi tekanan daripada kedua-dua puak pro dan anti-Eropah dalam parti sendiri dan juga pembangkang.

Pemimpin Eropah meluluskan pelan beliau pada November 2018 dan membuka pintu untuk negara anggota utama yang pertama dalam sejarah 45 tahun blok berkenaan. Beliau mengimbangi matlamat Britain untuk membatalkan tawaran perdagangan bebas di luar Kesatuan Eropah dan isu-isu sempadan tanah dengan Ireland untuk mewujudkan keamanan.

Wanita yang berpendirian tegas itu terus berjuang untuk Britain demi memastikan negaranya terus aman dan damai. Namun, pada 24 Mei lalu, media melaporkan bahawa May mengumumkan akan meletak jawatan pada 7 Julai (hari ini) selepas berdepan tekanan daripada parti pimpinannya, Parti Konservatif dan pembangkang yang mendesak pengunduran beliau.

3) Christine Lagarde

Beliau menjadi wanita pertama yang memegang jawatan sebagai Pengarah Urusan di Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF). Berdasarkan rekod, Lagarde telah mengetuai IMF sejak tahun 2011.

Wanita yang terkenal dengan sifat tegas itu menyediakan pengawasan kewangan dan petunjuk bagi 189 negara anggotanya termasuk China, Rusia dan United Kingdom di bawah kepimpinan beliau. Pada November lalu, berlaku pertikaian antara negara anggota. Beliau memberi amaran bahawa pertikaian itu akan menjejaskan pertumbuhan global.

Tokoh berani itu juga telah meminta bank-bank pusat untuk menerima pakai mata wang digital sebagai pilihan yang sah untuk membekalkan wang dalam ekonomi digital.

4) Mary Barra

Mary Barra merupakan Ketua Pegawai Eksekutif General Motors (GM) dengan mendapat bayaran AS$28.6 juta setahun.-Beliau seseorang wanita yang unik dan sentiasa konsisten dalam menguruskan kehidupannya. Salah satu buktinya, Barra tidak pernah berpindah-randah dalam kerjaya yang diceburinya.

Beliau cukup setia dengan syarikat tempatnya berkhidmat sejak berusia 18 tahun. Atas kesetiaan dan komited terhadap kerjanya, pada tahun 2014, wanita itu dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif dalam syarikat automotif yang terkenal di seluruh dunia itu. Di bawah kepimpinan Barra, perusahaan GM telah mengalami kemajuan. Pada tahun 2015, ia mencatat keuntungan tertinggi sebanyak AS$9.7 bilion sejak tahun 2009.

5) Abigail Johnson

Abigail Johnson dilahirkan di Boston, Massachusetts pada Disember 1961. Pemimpin itu memperoleh Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Harvard. Johnson telah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Fidelity Investments sejak tahun 2014 selepas mengambil alih jawatan itu daripada bapanya.

Beliau bermula di syarikat itu sebagai penganalisis. Fidelity Investments ialah syarikat dana bersama kedua terbesar di Amerika Syarikat. Sebelum itu, pada tahun 1985 hingga 1986, wanita yang disifatkan sentiasa gigih dalam kerjanya bekerja sebagai perunding di Booz Allen Hamilton.

Johnson juga bukan sebarangan wanita apabila beliau diiktiraf sebagai wanita keempat terkaya di Amerika Syarikat dan memiliki 24 peratus kepentingan dalam syarikat tersebut.

6) Melinda Gates

Melinda Gates dilahirkan di Perancis, tetapi dibesarkan di Dallas, Texas, Amerika Syarikat.-Beliau menjalani kehidupan bersama tiga adiknya dalam keluarga yang sederhana. Wanita berusia 54 tahun itu merupakan isteri kepada pengasas Microsoft Corporation atau syarikat perisian terbesar di dunia, Microsoft iaitu Bill Gates.

Melinda dan Gates baru-baru ini diumumkan sebagai pasangan suami isteri paling kaya di dunia. Menurut laman Forbes, pasangan suami isteri itu memiliki kekayaan AS$85.7 milion. Kekayaan itu bukannya untuk mereka sahaja.

Kedua-duanya mengumumkan untuk melaksanakan misi mahu membanteras kemiskinan di seluruh dunia melalui pendidikan, kesihatan dan hubungan yangbaik sesama manusia. Dalam usaha membanteras kemiskinan, kedua-duanya menubuhkan Yayasan Bill dan Melinda Gates dengan menyumbang 95 peratus kekayaan mereka kepada yayasan itu.

7) Susan Wojcicki

Susan Wojcicki berusia 48 tahun dan beliau merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Youtube sejak Februari 2014.-Youtube menjadi video platform paling besar di dunia dengan jumlah pengunjung lebih daripada sejuta setiap bulan.

Salah satu kejayaan Wojcicki apabila beliau berjaya meningkatkan nilai Youtube yang sebelum ini bernilai AS$1,65 juta kepada AS$70 juta. Beliau yang berasal dari Los Altos, California itu memiliki kekayaan dengan nilai AS$350 juta. Jika dilihat latar belakang pendidikannya, Worjcicki merupakan penuntut di Kampus Stanford dan Gunn High School di Palo Alto, California.

8) Ana Botin

Ana Botin merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbankan Santander. Pada tahun 2014, Botin merupakan wanita dalam dunia perbankan yang paling berpengaruh di dunia, sejak dia memimpin bank terbesar di Eropah itu.

Santander telah melabur di Ripple pada tahun 2015 dan 2016. Kedua-dua syarikat itu menguji aplikasi pembayaran antarabangsa dengan ujian percubaan pada tahun 2016 yang menunjukkan bahawa teknologi Ripple menyelesaikan pemindahan dalam masa kurang dari satu hari. Aplikasi pembayaran itu juga akan dapat menunjukkan anggaran kos pemindahan wang.

9) Marillyn Hewson

Marillyn Hewson yang berusia 65 tahun itu dilahirkan di Junction City, Kansas, Amerika Syarikat.-Beliau ialah Pengerusi, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Lockheed Martin. Menariknya, media antarabangsa pernah menamakan beliau antara wanita paling berkuasa di dunia.

Hewson memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sains dalam (Pentadbiran Perniagaan) dan ijazah Sarjana Sastera (Ekonomi) dari Universiti Alabama. Meneliti profilnya, beliau memulakan kerjayanya di Lockheed Corporation pada tahun 1983 dan telah memegang pelbagai jawatan eksekutif dengan syarikat itu.

10) Ginni Rometty

Ginni Rometty merupakan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif IBM, sebuah syarikat yang tersohor di dunia yang menguruskan perkakasan dan perisian komputer.

Beliau menjadi wanita pertama yang mengetuai syarikat itu. Rometty mula menyertai IBM sebagai jurutera sistem pada tahun 1981 dan seterusnya mengetuai penjualan, pemasaran, dan strategi global.

Selain mengurus bahagian perkhidmatan global IBM pada, beliau turut terlibat menjalankan rundingan berkenaan pembelian PricewaterhouseCoopers, selaku perniagaan perundingan IT IBM.
-Sejak menjadi Ketua Pegawai Eksekutif, Rometty telah memberi tumpuan kepada IBM dari aspek analitik, pengkomputeran awam dan sistem pengkomputeran kognitif.

Kredibiliti, kemampuan, kebijaksanaan dan keupayaan mentadbir yang dimiliki wanita kini menjadikan golongan itu sangat signifikan dalam memimpin dan dalam aspek pembuatan keputusan.

6 Comments

Comments are closed.

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!