Hibah Amanah, cara mudah untuk waris tuntut harta pusaka ASB

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Tahukah anda bahawa kira-kira RM66 bilion harta pusaka orang Islam tidak dapat dituntut menyebabkan ia dibekukan selepas pemiliknya meninggal dunia berikutan kekangan masa dan kos pengurusan yang tinggi, lapor sebuah akhbar tahun lalu.

Hal ini adalah berikutan prosiding yang perlu dipatuhi sering membabitkan tempoh yang panjang dan kos guaman yang tinggi.

Ia sekali gus menyebabkan proses tuntutan oleh waris kerap tergendala atau terhenti begitu saja kerana kekangan masa dan masalah wang ringgit yang akhirnya menyebabkan begitu banyak harta pusaka tidak dapat digunakan dan terbiar tanpa memberi manfaat kepada waris.

Mungkin kita terfikir dengan meninggalkan wang ratusan ribu ringgit dalam akaun simpanan, Amanah Saham Bumiputera (ASB) penuh dilaburkan, rumah besar tersergam indah dan pelbagai aset lain menanti untuk dibahagikan, waris kita akan meneruskan kelangsungan hidup dengan aman dan tenteram.

Namun bagaimana jika sebaliknya?

Sebenarnya satu perkara yang ramai terlepas pandang ialah semua harta yang ditinggalkan akan dibekukan sebaik pemilik meninggal dunia.

Lebih malang lagi jika waris tidak mempunyai sebarang akses kepada akaun simpanan dan ia menyebabkan mereka tidak dapat menggunakan walau sepuluh sen wang yang ditinggalkan, sedangkan pemergian anda menyebabkan mereka hilang punca pendapatan.

Apabila seseorang meninggal dunia, harta pusaka yang ditinggalkan hanya boleh dituntut dan dibahagikan menerusi permohonan di mahkamah, Amanah Raya atau Pejabat Tanah dan Galian mengikut prosedur yang ditetapkan.

Perkara paling utama ialah melantik seorang pentadbir untuk menguruskan harta berkenaan sebagai wakil ahli keluarga yang bertanggungjawab mendapatkan surat kuasa untuk memulakan urusan pentadbiran harta pusaka.

Langkah pertama ini saja kadangkala mengambil masa berbulan dan tidak mustahil bertahun lamanya sekiranya waris gagal mencapai persetujuan untuk melantik individu yang difikirkan sesuai.

Bayangkan nasib mereka yang ditinggalkan seperti isteri tidak bekerja, anak-anak yang masih belum cukup umur atau ibu bapa uzur dan tua?

Justeru, pengurusan harta perwarisan yang betul sangat penting kerana ia akan membolehkan harta pusaka yang ditinggalkan dapat terus memberi manfaat kepada waris yang ditinggalkan.

Sebenarnya banyak kaedah boleh digunakan untuk memudahkan pengurusan harta pusaka termasuk membuat hibah iaitu harta yang sudah dihibahkan tidak lagi dikira sebagai harta pusaka.

Sebagai contoh, pelaburan dalam mana-mana unit Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) kini boleh dituntut dengan mudah selepas kematian pelabur menerusi perkhidmatan Hibah Amanah.

AMANAH Saham Nasional Berhad (ASNB) menawarkan potongan harga 50 peratus untuk yuran pendaftaran Hibah Amanah dan Pengisytiharan Amanah bagi tempoh antara 15 Mac hingga 15 Mei 2019.

Menerusi perkhidmatan ini, proses agihan harta pusaka yang membabitkan unit amanah ASNB menjadi lebih pantas kerana waris pelabur hanya memerlukan kurang sebulan untuk menyelesaikan urusan tuntutan pelaburan pelabur yang meninggal dunia.

Proses membuat Hibah Amanah juga sangat mudah kerana pelabur hanya perlu mengisi borang, menamakan penerima Hibah dan membayar caj minimum yang ditetapkan di mana-mana cawangan ASNB.

Selain proses tuntutan lebih pantas untuk waris, satu lagi kelebihan Hibah Amanah ialah sebagai pelabur, wang pelaburan tetap milik anda dan boleh digunakan selagi anda masih hidup.

Untuk pelabur bukan Muslim pula, perkhidmatan yang sama disediakan iaitu Pengisytiharan Amanah.

Pengurusan harta pusaka sebenarnya boleh menjadi mudah jika diurus dengan baik ketika anda masih hidup dan ia sangat penting untuk memastikan harta yang ditinggalkan dapat terus memberi manfaat kepada waris.

One Comment

Comments are closed.

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!