FAM Akui Kesilapan Pendaftaran Pemain Warisan
Isu pendaftaran tujuh pemain warisan Malaysia akhirnya terjawab apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan bahawa kesilapan teknikal oleh pegawai pentadbiran menjadi punca masalah tersebut.
Sebelum ini, FIFA menjatuhkan hukuman denda RM1.85 juta kepada FAM, manakala setiap pemain dikenakan denda kira-kira RM10,600 serta digantung selama 12 bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak. Pemain yang terlibat termasuk Tomás Garcés, Rodrigo Julián Holgado, João Vitor Brandão Figueiredo, Jon Irazábal Iraurgui, dan Hector Alejandro Hevel Serrano.
Walaupun berlaku kecuaian dalam proses dokumentasi, FAM menegaskan bahawa semua pemain warisan terbabit memiliki darah Malaysia dan status kewarganegaraan yang sah. FAM juga memberi jaminan akan memperbetulkan prosedur bagi mengelakkan perkara sama berulang.
“FAM ingin memaklumkan bahawa kami telah mengenal pasti wujud kesilapan teknikal dalam proses penyerahan dokumen… para pemain warisan yang terlibat adalah rakyat Malaysia yang sah,” jelas kenyataan rasmi FAM.
Buat masa ini, FAM masih menunggu keputusan penghakiman penuh daripada FIFA sebelum mengemukakan rayuan rasmi.
Kes ini sekali lagi membuka mata peminat bola sepak tanah air tentang kepentingan ketelusan dan profesionalisme dalam pentadbiran bola sepak. Rakyat kini menantikan langkah seterusnya daripada FAM demi menjaga maruah Harimau Malaya di persada antarabangsa.
FAM TUNGGU KEPUTUSAN PENGHAKIMAN FIFA SEBELUM KEMUKA RAYUAN
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) September 28, 2025
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sedang menunggu keputusan penghakiman penuh daripada FIFA sebelum mengemukakan rayuan mengikut proses dan lunas undang-undang sedia ada.#FAM #HarimauMalaya pic.twitter.com/9BRI61ZbTt
Sumber : TheVocket
