Belasungkawa Mejar Zahir teringin jadi pengawal peribadi Agong – AR Badul

Pelakon dan pengarah, AR Badul menganggap anaknya, Allahyarham Mejar Zahir Armaya, 36, sebagai lelaki gagah berani yang meninggalkan bakti untuk pertiwi.

Katanya, arwah yang bercita-cita untuk menjadi tentera sejak kecil pernah menyuarakan hasrat ingin bertugas sebagai pengawal peribadi Yang di-Pertuan Agong.

“Sejak kecil, Allahyarham menunjukkan sifat sukakan cabaran dan lasak. Kami sekeluarga tidak hairan apabila bidang ketenteraan menjadi pilihannya.

“Kami jarang berjumpa disebabkan tugasannya, namun selalu berhubung. Kali terakhir kami bertemu adalah enam bulan lalu. Sepatutnya dia datang ke perhimpunan keluarga di Kemensah, sebelum Ramadan lalu, tetapi Zahir ditugaskan ke Indonesia.

“Dari segi peribadi, apabila berbual dengan saya arwah tampak serius. Tetapi daripada kawan rapatnya, saya tahu Zahir pun bersikap ‘gila-gila’ macam saya,” katanya ketika dihubungi BH Online.

Allahyarham maut terkena tembakan ketika melakukan gimik demonstrasi pelancaran Divisyen Kelima dan Briged Ke-13 Infantri Malaysia, Tentera Darat Malaysia (TDM) di Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu, Sabah, pagi tadi.

Kejadian berlaku kira-kira jam 8.40 pagi apabila mangsa berlakon sebagai pengganas sambil memakai baju kalis peluru dan ditembak. Bagaimanapun, tembakan itu menyebabkan mangsa rebah berlumuran darah sebelum diberi bantuan kecemasan oleh anggota tentera lain dan dikejarkan ke hospital menggunakan ambulans.

Badul yang reda dengan kejadian berkenaan berkata, jenazah anaknya akan diterbangkan ke Kuala Lumpur, jam 7 malam ini, sebelum dibawa ke Ipoh, Perak, untuk dikebumikan malam nanti.

“Saya difahamkan jenazahnya masih berada di hospital dan dijangka dapat dibawa pulang, malam ini. Di atas permintaan balunya, Allahyarham akan dikebumikan di kampung isterinya di Perak,” katanya.

Allahyarham yang juga pegawai komando 11 Rejimen Gerak Khas meninggalkan seorang balu dan tiga cahaya mata lingkungan usia tujuh hingga empat bulan.

7 Comments

  1. Takziah buat keluarga AR Badul.. Ketentuan ilahi meninggal ketika menjalankan tugas. Semoga arwah ditempatkan bersama orang yang beriman

Comments are closed.

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!