Abang Ensem Di Mata Aku

Spread the love

Assalamualaikum dan salam 1Dunia, demam lelaki kacak semakin menghilang kini diganti dengan demam Abang Ensem. Peluang aku untuk mengikut jejak Top Blogger Malaysia Eryiqazz, Teratakarmo dan Broframestone untuk memulihkan jenama setelah dituduh sebagai punca phishing attack. Baru dua kali berjumpa face to face dengan Abang Ensem tetapi sering berkomunikasi melalui twitter. Sedang merancang perjumpaan rahsia yang insyaallah bakal merubah masa depan kami berdua. Aku tak ada banyak sangat informasi Abang Ensem melainkan membaca kisah beliau di blog Abangensem.com dan blog ahli kelab Fatin Liyana. Untuk itu aku telah interview Abang Ensem untuk tatapan peminat Abang Ensem. Ini interview Blogger pertama tapi bukan terakhir di blog Denaihati.

Sejak bila dan siapa yang menyebabkan AE mula berblogging?

Saya mula berblogging semenjak akhir tahun 2009 setelah saya bertemu dengan teman se’dorm’ saya dulu, Saudara Khir Ariffin seorang pakar motivasi yang ketika itu sedang aktif menganjurkan kelas berblogging bagi para pelajar dan suri rumah. Alhamdulillah walaupun ilmu yang diajarkannya lebih berbentuk ‘basic’ tetapi ianya cukup membuka mata saya untuk berkongsi ilmu dan pengalaman yang saya ada selama ini di ruang maya.

20120606-101712.jpg
Abang Ensem bergaya dengan T-shirt apa tu?

Ilmu dan pengalaman yang bagaimanakah yang AE kongsikan di dalam blog AE dan kenapa AE ingin berkongsi maklumat tersebut dengan pembaca blog AE?

Saya sebenarnya merupakan seorang yang obses terhadap aspek pelaburan semenjak saya mula bekerja lagi dan portfolio pelaburan saya lebih terarah di bidang pelaburan hartanah, jadi saya menggunakan ilmu dan pengalaman saya selama 14 tahun di bidang pelaburan hartanah sebagai teras genre blog saya memandangkan blog sebegini begitu kecil jumlahnya di ruang siber kita ini lebih-lebih lagi bagi pelabur-pelabur yang baru hendak berjinak-jinak di dalam bidang ini. Bak kata mentor saya, Saudara Khir Ariffin, “Anggaplah semua ini sebagai jihad kamu di dalam membangunkan ekonomi ummah kita. Lagipun tak ramai orang melayu Islam macam kamu yang mampu memiliki sebegini banyak rumah” dan atas sebab itulah saya merasa terpanggil untuk berkongsi segalanya dengan pembaca blog saya.

Bukankah aspek pelaburan hartanah merupakan satu subjek ‘berat’ untuk pelabur baru, jadi apakah strategi AE untuk menarik golongan ini untuk terus mengikuti blog AE?

Ya, saya mengakui bahawa bukannya mudah untuk mengenengahkan subjek pelaburan di ruang siber lebih-lebih lagi dengan tujuan untuk menarik minat pelabur-pelabur baru. Justeru itu dari awal lagi saya telah merangka satu bentuk penceritaan secara santai mengenai subjek ini. Elemen humor dan ‘gatal’ sengaja saya adunkan di dalam setiap entri saya kerana hasil dari kajian yang saya buat terhadap beberapa blog ternama, antaranya blog Zack Zukhairi memperlihatkan yang elemen sebegini menjadi tarikan kepada golongan muda (golongan pelabur baru) untuk terus mengikutinya. Syukur, strategi ini telah berjaya ‘menyegarkan’ blog saya dengan kehadiran ramai golongan muda yang mengikutinya.

Mampukah penulisan di blog menghasilkan pendapatan kepada AE dan adakah jumlah yang diperolehi berbaloi dengan jumlah masa yang AE peruntukkan untuk berblog?

Pada mulanya saya agak skeptikal dengan ayat ‘buat duit di internet’ kerana ramai rakan-rakan saya yang telah tertipu dengan promosi sebegini. Namun setelah 2 tahun saya berblogging, perasaan tersebut telah mula terhakis dari diri saya. Ini kerana pendapatan yang saya perolehi dari hasil jualan ebook dan siri seminar hartanah saya sudah mula menghasilkan pulangan yang konsisten setiap bulan. Walaupun jumlahnya tidaklah besar tetapi sekurang-kurangnya ianya telah membuka mata saya bahawa memang mudah untuk ‘buat duit di internet’ selama mana strategi dan promosi yang dilakukan bertepatan dengan kehendak pembeli dan saya akui yang ianya ternyata berbaloi dengan masa yang saya peruntukkan setiap hari untuk berblogging. Walaubagaimanapun bukanlah ‘RM’ yang saya kejar sebaliknya kepuasan apabila melihat ilmu yang saya curahkan mampu membantu mereka untuk berjaya di dalam pelaburan mereka.

Apakah matlamat seterusnya yang telah AE tetapkan untuk blog AE di masa depan?

Tak lain tak bukan untuk menandingi populariti Blog Denaihati sebagai Best of the Best Blog of the Year.. hahaha (just kidding). Secara jujurnya tiada apa lagi yang ingin saya tetapkan untuk blog ini kerana saya masih berpegang kepada nawaitu asal saya iaitu untuk mendidik lebih ramai lagi anak muda berkecimpung di dalam pelaburan hartanah dan insyaallah saya akan cuba untuk mengekalkan konsistensi saya untuk berblog agar matlamat tersebut akan terus-menerus tercapai.

Semuga interview ini dapat memberi motivasi kepada semua pembaca. Aku yakin blog Abangensem.com boleh menjadi blog yang berjaya dan Abang Ensem akan sukses sebagai Blogger kerana mempunyai gaya karya yang tersendiri tidak meniru-niru dan tidak gopoh untuk berjaya. Dengan kehebatan blog Abangensem.com yang semakin meningkat rugi sangat kalau Rakan Blogger tak menyertai contest yang sedang dianjurkan oleh Abang Ensem. Bukan sahaja peluang menang hadiah yang hebat tetapi yang lebih penting peluang mempromosi blog anda. Joom join contest Abang Ensem Di Mata Aku.


Spread the love

182 Comments

Comments are closed.

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!