Aktivis kemanusiaan Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) akhirnya disahkan berada di Pelabuhan Ashdod, Israel selepas ditahan tentera rejim Zionis.
Perkara ini disahkan oleh Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia. Beliau memaklumkan bahawa peguam-peguam GSF sudah mula menghubungi mereka untuk memberikan khidmat guaman serta memastikan semua aktivis mendapat perlindungan undang-undang yang adil.
“Insya-Allah, wira dan wirawati Sumud yang ditangkap sudah mula sampai ke pelabuhan penjajah di Ashdod. Para peguam GSF telah mula berhubung dengan mereka,” kata Nadir dalam kenyataannya di Facebook.
Antara aktivis Malaysia yang berada dalam misi ini termasuk nama-nama dikenali seperti Heliza Helmi, Farah Lee, Zizi Kirana, Ardell Aryana, PU Rahmat, serta beberapa anak muda pejuang kemanusiaan.
Misi GSF disertai lebih 500 aktivis dari 44 negara dengan tujuan menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza dan memecahkan sekatan Israel. Ia turut mendapat perhatian dunia kerana kehadiran tokoh antarabangsa seperti Greta Thunberg, Susan Sarandon, Liam Cunningham, dan cucu Nelson Mandela, Mandla Mandela.
Kini, pasukan peguam Malaysia bersama rakan antarabangsa sedang berusaha keras memastikan semua aktivis dibebaskan segera. Sementara itu, rakyat Malaysia terus mendoakan keselamatan wira kemanusiaan ini.
Sumber: Astro Awani













