Sambutan Aidilfitri 2015 bersederhana
Assalamualaikum dan Salam Aidilfitri 1436H, sibuk beraya tak sedar sudah hampir seminggu tak update blog. Alhamdulillah tahun ini anak-anak dapat cuti sekolah lebih panjang jadi dapatlah kami menyambut Aidilfitri 2015 lebih lama bersama. Kami pulang ke kampung di Segamat malam raya selepas pengumuman hari raya oleh Penyimpan Mohor Besar Raja Raja. Alhamdulillah terlepas daripada kesesakan trafik jalan raya yang memang menjadi satu tradisi setiap kali hari raya.



Seronoknya berhari raya di kampung sendiri pada Syawal pertama apabila dapat bertemu dengan kawan-kawan kampung yang balik setahun sekali. Bukan senang nak jumpa kawan-kawan kampung kerana sibuk dengan kerjaya masing-masing dan Syawal pertama adalah satu-satu peluang untuk berjumpa. Selain bertemu kawan-kawan kampung, kami menziarahi pak cik dan mak cik adik beradik abah dan emak di Segamat dan Muar. Memang seronok apabila dapat bertemu sanak saudara.




Raya kali ini tak semua adik beradik balik serentak. Malahan salah seorang adik sedang berada di Sepanyol keluar empat bulan atas maksud dakwah. Semuga ALLAH permudahkan urusan adik dan seluruh jemaah yang bersama. Beberapa tahun dulu adik keluar di Jordan dan kirimkan gambar pohon yang pernah Rasulullah SAW berteduh. Semuga suatu masa nanti aku dipilih ALLAH untuk jadi seperti adik yang korban masa dan tenaga untuk agama ALLAH.



Kami pulang ke kampung Sabak Bernam pada Syawal ke tiga untuk berhari raya bersama dengan keluarga sebelah isteri. Keluarga Sabak Bernam memang besar, anak saudara je dah lebih 60 orang jadi nak jumpa semua memang susah sangat. Paling penting dapat bertemu bapak dan emak mertua yang dah mencecah usia lebih 80 tahun tetapi masih sihat dan kuat. Raya tahun ini tak sangka-sangka pulak dapat beraya dengan rakan-rakan Projek 2015 sehingga ke Sekinchan dan Sungai Nipah.



Kepada sahabat dan pembaca jemput datang ke rumah kami. Kalau tanya bila kami buat buat rumah terbuka … jawapannya hari-hari rumah kami terbuka. Tahun ini kami menyambut aidilfitri secara sederhana sahaja.
