Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Alunan surah al-Kahf bergema di seluruh dunia sempena World #QuranHour yang berlangsung hari ini. Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah turut mencemar duli berangkat ke lokasi perdana di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Ketibaan baginda pada jam 11.40 pagi diiringi Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.
Turut hadir, pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Datuk Dr Hussamuddin Yaacub; Rektor UIAM, Prof Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak dan Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff.
Penganjuran tahun keempat ini mengangkat tema Solusi Cabaran Sejagat dengan mengajak masyarakat untuk memahami empat cabaran dunia akhir zaman dan solusi yang diibrahkan daripada surah al-Kahf.
Kira-kira 3,000 orang bersama-sama mengalunkan bacaan al-Quran di UIAM sebagai lokasi perdana.
Program sama turut diadakan serentak di 2,100 lokasi berdaftar di dalam negara dan lebih 79 lokasi di 28 negara luar.
Antara lokasi di luar negara yang terlibat ialah di Amerika Syarikat, Singapura, Indonesia, India, Australia, Arab Saudi dan Korea Selatan.
Misi al-Kahf 2019 memfokuskan pengupasan surah al-Kahf daripada setiap sudut cabaran serta penyelesaiannya berteraskan Divine Solutions dalam membentuk tamadun Dunia Berbudi dan Penyayang.
Bertadabbur 110 ayat dalam surah al-Kahf, terdapat empat cabaran yang dinukilkan melalui empat kisah iaitu pemuda al-Kahf (cabaran iman), pemilik dua kebun (cabaran harta), Nabi Musa AS dan Khidr (cabaran ilmu) dan Zulkarnain (cabaran kekuasaan).
Apa yang kita sasarkan ialah gerakan yang bukan sekadar pada tahun 2019M / 1440H tetapi bagaimana melakukan perubahan ke atas ekosistem menuju kepada tahun 1500 hijrah. Kita ajak lebih ramai lagi memanfaatkan minimum sejam sehari untuk berinteraksi dengan Al Quran.
Sesi berinteraksi dengan al-Quran dimulakan bacaan surah al-Fatihah dan surah al-Baqarah.
Seramai 12 pembawa panji-panji al-Kahf kemudiaannya memperdengarkan bacaan surah Al-Kahf secara bergilir-gilir.
Kempen ini merupakan kolaborasi ummah di bawah naungan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan dianjurkan bersama oleh UIAM, WUIF, Majlis Dakwah Negara, Rumah Ngaji dan Akademi Sinergi Ikhlas Sdn Bhd.
Media turut bergabung atas nama Sinergi Media untuk menjayakan kempen ini termasuk Kumpulan Media Karangkraf, Sinar Harian, Sinar TV, Astro, Kumpulan Media Prima, RTM, Bernama, TV Alhijrah, IKIMfm, Kumpulan Utusan, Kumpulan NSTP dan blogger, Denaihati Network.
Pengisian kerohanian melalui ayat suci Al-Quran ini merupakan salah satu kaedah terapi terbaik dalam pengisian jiwa dan membina kekuatan dalaman dan program seumpama ini merupakan satu program berterusan.
Kita berharap agar pada tahun 1500 Hijrah, Malaysia dan dunia umat Islam mengamalkan nilai dalam Al Quran untuk menguruskan ekonomi, sosial dan politik serta pendidikan.