Titah khas Agong mengenai perhimpunan Bersih 2.0 9 Julai 2011
Assalamualaikum dan salam 1Dunia, bersama ini di serta Titah khas Agong mengenai perhimpunan Bersih 2.0 9 Julai 2011 untuk maklumat rakan blogger denaihati.

Beta sedang mengikuti dengan teliti akan perkembangan cadangan Kumpulan Bersih untuk mengadakan perarakan dan perhimpunan beramai-ramai yang bertujuan untuk menyerahkan memorandum kepada Beta selaku Yang di-Pertuan Agong, dan bagaimana pihak kerajaan menangani isu ini khususnya agensi-agensi dan jabatan-jabatan yang terlibat.
Namun Beta yakin kepimpinan negara di bawah Yang Amat Berhormat Datuk Sri Mohd. Najib Tun Haji Abdul Razak berkemampuan untuk menangani masalah ini dengan sebaik mungkin.
Beta menyeru di dalam keghairahan sebahagian rakyat berpolitik bagi menyuburkan demokrasi dalam negara kita ini hendaklah dipastikan juga bahawa tuntutan demokrasi itu tidak akan membawa kemusnahan kepada negara.
Kita tidak boleh terlalu terikut-ikut dengan amalan-amalan negara-negara luar secara umumnya kerana keharmonian dan kestabilan negara adalah asas penting bagi sesebuah negara yang perlu semua pihak pertahankan.
Beta juga menyeru kepada pihak kerajaan agar melaksanakan segala amanah yang diberikan kepada rakyat secara adil dan bijaksana dan yang pentingnya Beta selaku Yang di-Pertuan Agong tidak mahu melihat dalam negara bermasyarakat majmuk ini berada di dalam keadaan bermusuhan sesama sendiri ataupun sebahagian rakyatnya bermusuh dengan kerajaan atas apa jua alasan pun.
Setiap permasalahan yang timbul, kita sebagai masyarakat bertamadun hendaklah menyelesaikan secara rundingan dan tidak mengikut perasaan seperti pepatah Melayu ‘Yang Dikejar Tak Dapat Yang Dikendong Berciciran’.
Hakikatnya, demonstrasi jalanan banyak membawa keburukan daripada kebaikan walaupun niat asalnya baik.
Sebaliknya, kita harus menumpukan kepada matlamat utama memajukan negara, bukannya mencipta masalah yang membuat negara berada terkebelakang. Ingatlah bumi mana yang tidak ditimpa hujan, lautan mana yang tidak bergelora.
Itulah pentingnya sifat kesederhanan dan tolak ansur yang telah begitu lama diamalkan oleh warisan pentadbiran negara – BERNAMA
Ulasan aku mudah je kalau dah pemimpin Negara kita tak mahu patuhi maka rosaklah sistem sesebuah Negara. Esok lusa bila Pakatan menang Barisan pulak menentang tanpa kira perlembagaan. Kalau begini jadinya siapa yang rugi? Pasti Malaysia dan ada orang di luar sana tersenyum gembira melihat kejatuhan Malaysia. Perlembagaan mesti dipatuhi untuk menjamin kesejahteraan sebuah negara bila tiba masa mengundi Pangkahlah siapa yang kita sokong jangan pulak tidur di rumah.
AKU MENENTANG BERSIH 2.0 KERANA ADA CARA LAIN UNTUK MENYELESAIKAN TUNTUTAN INI DAN BAGI AKU ADA TUNTUTAN YANG LEBIH PENTING DARIPADA INI YANG MESTI DIPERJUANGKAN SEPERTI PENGESAKAN ALLAH DALAM APA SAHAJA KEPUTUSAN NEGARA. KENAPA YANG INI PEMIMPIN KITA SEMUA TIDAK MAHU TURUN KEJALAN MEMPERJUANGKAN?
