Kisahnya Secebis Hati part 15

Spread the love

Assalamualaikum dan Salam 1Dunia, ini part ke-15 sambungan “Kisahnya Secebis Hati“ hasil coretan dari Penderma HATI, Ahmad Khariri. Kalau belum baca episod awal Part 1 hingga 14 yang dipublish sebelum ni bolehlah KLIK DI SINI. Rakan Blogger boleh menjemput Saudara Ahmad Khariri untuk sessi Motivasi berkongsi pengalaman dan juga kepada yang teringin mempromosikan bisnes isteri beliau sila klik – Bunga Telur Teddy Bear.

Pesakit Bengkak Hati : Allahyarham Adik Mohd Yohitt Bin Mohd Farhan Kutty Krishnan

Penderma Hati : Ahmad Khariri Al-Hadi Bin Md Yusop

Tarikh pembedahan pemindahan hati (Liver Transplant) : 18 Disember 2004

Tarikh Adik Yohitt meninggal dunia : 28 Januari 2005

Ahmad Khariri Al-Hadi

Hari ini saya bangun tidur dalam yang segar dan bersemangat. Lebih segar dan bersemangat seperti biasa. Selesai mendirikan solat Subuh, saya sempat membaca beberapa helai ayat suci Al-Quran. Entah mengapa terasa sayu sangat apabila dapat membacanya dalam keadaan begini.

Saya alunkan bacaan perlahan-lahan agar si kecil berdua ini tidak terjaga dari tidurnya. Nampak mereka berdua masih lena dan dibuai mimpi-mimpi indah. Isteri saya sedang berada di dapur untuk menyiapkan sarapan pagi buat kami sekeluarga. Beliau bangun lebih awal dan inilah rutin beliau sejak kami mendirikan rumahtangga lima tahun yang lepas. Rutin yang seharusnya menjadi peringatan kepada isteri-isteri yang inginkan kebahagiaan bermula sebelum solat Subuh dan bukannya selepas solat Zuhur.

Tenang hati ini apabila ayat demi ayat dari surah Al-Imran ini dibaca dengan perlahan-lahan dan tertib. Saya tidak pandai melagukan bacaan ayat Al-Quran ini walaupun beberapa kali ‘berguru’ dengan ibu dan Allahyarham Wak Salleh. Sekadar membaca lancar dan betul dalam tajuwidnya sudah memadai bagi saya.

Walaupun begitu, berkat diajar dan dibimbing oleh ibu setiap awal pagi dan waktu malam saya berjaya beberapa kali menjuarai Pertandingan Musabaqah Al-Quran di Sekolah Agama Rakyat (dahulunya dikenali sebagai sekolah Arab) sejak berusia 8 tahun lagi. Mungkin pencapaian itu membanggakan saya kerana saya tidak mampu menandingi kehebatan sahabat baik saya Maizatul Hanim Binti Hj Mohd Zaki di sekolah kebangsaan. Beliau sememangnya hebat dan beberapa kali menjuarai Pertandingan Musabaqah Al-Quran sehingga ke peringkat daerah manakala saya bertanding dalam Pertandingan Bercerita Kisah-kisah Nabi.

kayuh basikal menuntut ilmu

Gembira apabila teringat kembali setiap petang saya berbasikal sejauh 5km ke rumah Ustazah Nafisah untuk belajar bercerita dengan teknik yang betul. Alhamdulillah dengan segala tunjuk ajar ini saya boleh bercerita, berceramah dan berdebat di atas pentas tanpa perasaan gugup sehingga kini.

Insya’Allah saya akan berikan didikan awal anak saya dengan mengenal Al-Quran terlebih dahulu. Walaupun bukan menyuruh mereka membaca tetapi secara memperdengarinya dari saya sendiri mahupun isteri. Mungkin secara perlahan-lahan mereka akan mudah menerima dan akan menyukai ayat-ayat Al-Quran dan seterusnya menjadikannya sebagai panduan hidup yang diberkati Allah SWT. Saya sentiasa berdoa agar Allah sinari kehidupan anak-anak dan keluarga saya dengan keberkatan dari ayat-ayat suci ini.

Saya terfikir juga bagaimana agaknya satu hari nanti sekiranya saya sudah meninggal dunia namun anak-anak saya tidak pandai membaca Al-Quran? Bekalan akhirat yang saya nantikan daripada anak-anak bagaimana? Ya Allah! Biar saya dan keluarga ini buruk dan miskin di dunia tetapi janganlah di akhirat kelak.

Ketika saya berusia 6 tahun, setiap pagi ibu akan mengejutkan kami empat beradik sebelum masuk waktu solat Subuh. Tujuannya adalah untuk mengajar kami semua belajar membaca Muqaddam dan Al-Quran. Bayangkan masa tidur kami terganggu di awal pagi seperti itu. Bukan main liat lagi kami untuk meninggalkan tilam dan bantal. Namun rotan sudah di tangan ibu. Sesiapa yang lambat atau liat untuk bangun pastinya akan mendapat ‘hadiah roti panjang’ ini.

Seminggu yang pertama memang sukar untuk saya dan adik beradik yang lain menuruti arahan ibu namun lama kelamaan ianya sudah menjadi kebiasaan untuk kami. Malahan kami lebih seronok membaca Al-Quran di awal pagi kerana tiada gangguan dan selepas mengaji kami akan terus ke sekolah. Ibu amat serius dalam memberikan pelajaran agama sehinggakan apabila saya tidak dapat menghafal beberapa surah lazim ketika berusia 7 tahun, rotan pastinya akan hinggap di punggung ini.

Sedar tidak sedar, telah empat minggu berlalu sejak pertama kali saya berjumpa dengan adik Atiqah. Walaupun begitu saya rasakan amat cepat masa ini berlalu.

Hari ini saya ada temujanji dengan Doktor Pakar Sakit Jiwa dari Kementerian Kesihatan untuk sesi temuduga bagi membolehkan saya menjadi penderma hati. Pelik juga apabila saya diminta berjumpa dengan doktor ini kerana saya bukannya sakit jiwa! Ketawa besar apabila saya mendapat panggilan daripada seorang kakitangan Kementerian Kesihatan dan menyuruh saya berbuat begitu. Selama 24 tahun saya hidup di muka bumi ini belum pernah saya menerima panggilan lawak seperti ini.

Beberapa kali saya bertanya untuk apa saya perlu berjumpa doktor tersebut? Namun jawapan dari kakitangan tersebut adalah ianya prosedur yang harus saya lalui sebagai penderma hati. Prosedur? Ini bermakna saya sedang melalui satu kawalan yang dapat membezakan samada saya waras ataupun tidak? Mungkin sekiranya saya tidak waras, atau kurang waras kerana keputusan yang saya ambil untuk menjadi penderma hati maka interview ini adalah jalan yang terbaik menentukannya.

Bagi memudahkan soal jawab dengan pakar tersebut, saya telah menghubungi Saudara Wan Hafizam iaitu penderma hati yang pertama di Malaysia bagi mendapatkan sedikit khidmat nasihat beliau. Wan Hafizam mendermakan sebahagian hati beliau kepada adik Mohd Afiq. Pembedahan tersebut mendapat liputan meluas oleh media cetak dan media elektronik sehinggakan hari pembedahan juga disiar secara langsung di kaca televisyen.

Derma hati Hafizam Afiq

Alhamdulillah pembedahan tersebut berjaya dilakukan dan adik Mohd Afiq sihat sehingga hari ini. Saya mengikutinya sejak dari awal proses pembedahan sehingga selesai. Menitis air mata saya dan keluarga apabila menyaksikan hari bersejarah bagi kedua-dua insan ini satu masa dahulu. Kami tidak menyangka ada pihak yang sebaik Saudara Wan Hafizam ini sudi mendermakan sebahagian hati beliau kepada seorang kanak-kanak yang tiada pertalian.

Nombor telefon beliau saya perolehi dari Majlis Belia Selangor ketika saya mendaftar sebagai penderma hati pada tahun 2001. Mujur saya masih menyimpannya kerana saya tidak menyangka satu hari nanti ada juga gunanya nombor telefon beliau ini.

Saya tekan nombor beliau dan menanti beberapa saat dan ada suara seorang lelaki yang menjawabnya.

Assalamualaikum! Boleh bercakap dengan Wan Hafizam?”

Waalaikummussalam.. Ya saya bercakap. Siapa itu?”

Alhamdulillah rupanya beliau masih menggunakan nombor ini dan saya berbual dengan beliau kira-kira 40 minit. Banyak yang saya bertanya kepada beliau bagaimana cabarannya untuk menjadi penderma hati dan apakah halangan yang saya bakal tempuhinya. Beliau seorang yang ramah dan mudah untuk diajak berbual. Banyak yang dikongsikan oleh beliau dan adakalanya beliau melahirkan sedikit kekecewaan kepada pihak-pihak yang menyalahkan niat beliau untuk mendermakan hati satu masa dahulu.

Susur galur menjadi penderma hati bukan mudah rupanya walaupun telah berlalu beberapa tahun yang lepas. Menurut beliau lagi, sekiranya ada pihak-pihak yang cuba mengambil kesempatan terutama pihak politik dan pengamal perubatan cuba elakkan. Banyak yang beliau nasihatkan saya kerana perjuangan sebelum dan selepas sebagai penderma hati banyak cabarannya.

Di akhir perbualan, beliau mendoakan saya agar tabah dan banyakkan berdoa kepada Allah SWT sekiranya was-was atau tertekan dengan situasi ini. Terima kasih yang tidak terhingga kepada saudara Wan Hafizam.

Bersambung …


Spread the love

16 Comments

  1. 1.Akhirnya ambe temui kenapa penulisan saudra khai begitu baik dan sedap dibaca.
    2. Ooo..tak sangka pulak ada prosedur bertemu pakar jiwa utk pembedahan pemindahan organ sebegini.
    3.Kadang2 naik jelek tgk org suka ambil kesempatan atas tiap sesuatu utk kepntingan diri.
    Curahan rasa hafizmd @ ..Celoteh Kakak #9 Telur?My Profile

Comments are closed.

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!