Kembara DPIM ke Makassar

Spread the love

Assalamualaikum dan salam 1Dunia, pada 24hb hingga 28hb Mac yang lalu, pihak Denaihati Network yang diwakili oleh Eizil berpeluang untuk menyertai lawatan Kembara DPIM ke Makassar, Indonesia. Lawatan rasmi yang dianjurkan oleh pihak Dewan Perdagangan Islam Malaysia ini bertujuan untuk membina hubungan dua hala dengan pihak pemerintah di Makassar Indonesia.

Seramai hampir 30 orang telah menyertai lawatan ini yang terdiri daripada pemilik-pemilik perniagaan dari Malaysia. Penerbangan dari Terminal LCC mengambil masa kira-kira tiga jam, namun begitu terdapat masalah teknikal yang menyebabkan penerbangan lewat selama hampir sejam.

Setibanya di Makassar, kami disambut oleh Pak Wachyudi Muchsin yang menguruskan semua program 5 hari di sana. Beliau merupakan salah seorang wakil parti Nasdem yang bertanding untuk PEMILU 2014 di Indonesia. Sebuah bas khas telah disediakan untuk kemudahan ahli rombongan.

Bas khas kembara DPIM makassar
Bas yang disediakan untuk kegunaan sepanjang kembara DPIM di Makassar

Kami terus di bawa ke Hotel Makassar Golden diiringi sebuah kereta polis untuk memastikan perjalanan lancar. Setibanya di hotel, rombongan disambut dengan tarian tradisional Makassar dan minuman jus pelbagai perisa untuk menyegarkan diri setelah berada lebih 4 jam dalam pesawat. Bilik untuk ahli rombongan juga telah siap untuk digunakan, memang persiapan rapi telah disediakan oleh mereka.

Persembahan Tarian Tradisional Makassar sebagai sambutan selamat datang
Tarian tradisional Makassar

Pada malam pertama, kami telah dijemput untuk ke balai Walikota untuk majlis selamat datang yang disediakan oleh pihak pemerintah Makassar. Majlis yang diserikan dengan pelbagai persembahan tradisional dan jamuan makan malam dengan menu-menu makanan khusus dari Makassar memang menyelerakan. Kami telah diberikan pakaian tradisional Makassar yang terdiri dari songkok khas dan samping yang di pakai bersama-sama pakaian biasa.

Pakaian tradisional Makassar
Ahli rombongan dengan pakaian tradisional Makassar

Pada malam jamuan selamat datang ini juga, pihak pemerintah Makassar telah memberikan penghargaan kepada Tuan Haji Khanafi (Pengasas Al Ansar Health) atas sumbangan beliau kepada pihak wilayah Makassar khususnya kepada program Gerakan Makassar Gemar Membaca (GMGM) yang dipengerusikan oleh Pak Wachyudi Muchsin.

Penghargaan daripada pemerintah makassar kepada tuan haji khanafi
Majlis penyampaian penghargaan

Barisan tetamu kehormat

Hari Kedua Kembara

Pada hari kedua, kami telah di bawa melawat ke SMA Negeri 2 Makassar. Lawatan bertujuan untuk berdiskusi mengenai sistem pendidikan di Malaysia dan Makassar. Sesi soal jawab juga diadakan kepada para pelajar untuk bertanya mengenai peluang melanjutkan pelajaran di Malaysia dan seumpamanya.

SMA Negeri 2 Makassar ini juga mempunyai program usahasama dengan sebuah sekolah di Australia. Mereka akan membuat program pertukaran pelajar dengan sekolah tersebut untuk memberi pengalaman kepada para pelajar melalui sistem pendidikan dari kedua-dua buah negara.

Visi dan Misi SMA Negeri 2 Makassar
Visi dan Misi SMA Negeri 2 Makassar

Majlis bersama pelajar di SMA Negeri 2 Makassar.

Selepas lawatan ke sekolah pertama, kami telah di bawa melawat ke Sekolah Menengah Kejuruan 5 Makassar. Sekolah ini merupakan sekolah yang telah mengkhususkan bidang yang dipelajari oleh pelajarnya. Kami disambut dengan persembahan dari pasukan brass band mereka. Seperti di SMA Negeri 2, sesi soal jawab bersama pelajar berlangsung dengan pelbagai persoalan yang telah dibincangkan.

Persembahan brass band

Ahli rombongan dan pelajar SMK Negeri 5 Makassar

Kami telah menikmati jamuan makan tengahari yang enak di SMK Negeri 5 Makassar. Selepas selesai solat dan menyelesaikan semua urusan, kami telah bergerak ke Universitas Muslim Indonesia. Kali ini, perbincangan melibatkan siswa siswi di sana.

Sesi perkongsian di Universitas berjalan dengan rancak, pelbagai soalan-soalan membina diajukan oleh pihak pelajar di sana. Panel-panel berkongsi bagaimana mereka mula berkecimpung dalam bidang perniagaan sehingga berjaya seperti saat ini. Sesi pada petang itu diberi nama Mahasiswa Bertanya Pengusaha Malaysia Menjawab.

Barisan Panel pengusaha dari malaysia dan indonesia
Barisan panel dari Malaysia dan Indonesia
Para mahasiswa dari pelbagai fakulti
Dewan penuh dengan kehadiran mahasiswa dari pelbagai fakulti

Pada sebelah malam hari kedua, program Tudang Sipulung (duduk bersama) bersama pengusaha daripada Makassar telah berlangsung. Selepas jamuan makan malam, sesi berkenalan dengan pengusaha Malaysia dan Makassar diadakan. Pelbagai peluang perniagaan yang dikongsikan dan beberapa usahasama telah dibincangkan pada malam tersebut.

Ucapan oleh wakil HIPMI
Ucapan oleh wakil HIPMI, persatuan pengusaha muda Makassar

Hari Ketiga

Pagi hari ketiga, rombongan kembara DPIM telah di bawa melawat Fakulti Perubatan Universiti Hassanuddin. Terdapat hampir 400 pelajar Malaysia yang sedang melanjutkan pelajaran di sana. Beberapa orang wakil pelajar Malaysia juga turut hadir semasa sesi diskusi bersama Dekan di sana.

Pelajar Malaysia di sana setakat ini memberikan gambaran yang sangat positif kepada pihak pentadbiran Universitas dengan pencapaian akademi yang cemerlang. Ini adalah perkara yang membanggakan dan semoga pelajar-pelajar kita di sana akan meneruskan prestasi cemerlang ini dan mengharumkan nama negara Malaysia.

Perbincangan banyak berkisar mengenai sistem pengurusan universiti, kemasukan, dan program-program yang disediakan.

Sebahagian daripada delegasi kembara DPIM di universitas Hassanuddin
Sebahagian daripada delegasi kembara DPIM di universitas Hassanuddin

Selepas selesai sesi perbincangan di Universitas Hassanuddin, kami telah di bawa ke pejabat Akhbar Harian Fajar. Harian Fajar adalah antara 5 syarikat publikasi terbesar di Indonesia. Kami telah di bawa melawat sekitar pejabat Harian Fajar.

Harian Fajar telah membuat liputan harian sepanjang 5 hari rombongan kembara DPIM di Makassar. Mereka mempunyai pelbagai rangkaian media cetak dan media elektronik.

Penerangan oleh wakil Harian Fajar kepada rombongan kembara DPIM

Lawatan ke Harian Fajar oleh kembara DPIM

Selepas selesai melawat Harian Fajar, rombongan kembara DPIM di bawa ke taman tema tertutup terbesar di Makassar. Taman Tema Trans Studio ini memberikan anda pengalaman waktu malam walaupun anda hadir pada siang hari. Disebabkan ianya berada dalam tempat tertutup, jadi anda akan berasa selesa untuk mencuba pelbagai permainan di dalam taman tema tersebut.

Terdapat pelbagai tema yang disediakan sesuai untuk pelbagai peringkat umur. Kami sempat bergambar dan mencuba beberapa permainan yang terdapat dalam taman tema tersebut.

Hari Keempat

Pada hari keempat, rombongan kembara DPIM telah di bawa ke tanah tinggi Malino yang terletak tiga jam perjalanan dari bandar Makassar. Kami menikmati hidangan makanan tengahari di satu taman pokok pain yang cantik. Di situ juga terdapat hidangan seperti jagung rebus dan buah-buahan lain.

Ahli rombongan kembara DPIM ke Makassar
Ahli rombongan di kebun teh tanah tinggi Malino

Lokasi yang tinggi menyebabkan suhunya rendah dan amat nyaman. Selesai menikmati hidangan makan tengahari, kami melawat pula kebun teh di sana. Walaupun kebun teh di sana mungkin tidak secantik kebun teh di cameron atau di beberapa lokasi lain. Namun ia tetap memberikan pengalaman yang menarik kerana rombongan sempat dihiburkan dengan lagu tema yang telah beberapa kali dipersembahkan semasa pelbagai sesi sepanjang tiga hari terdahulu.

Mari kita lihat sedikit rakaman lagu tersebut semasa di kebun teh tanah tinggi Malino. Kami juga dihidangkan dengan teh segar dari ladang semasa singgah di tea house yang terletak di kebun teh tersebut.

Hari Kelima

Hari Kelima merupakan hari terakhir kami di Makassar, selepas selesai daftar keluar dari hotel, kami menuju ke cawangan pusat kesihatan Al Ansar Health yang terletak tidak jauh dari hotel tempat kami menginap. Upacara perasmian Klinik Kesehatan Herbal Al Ansar telah berlangsung pada pagi hari tersebut. Ini merupakan cawangan pertama Al Ansar Health di Indonesia.

Perasmian Pusat Kesihatan Al Ansar Health

Papan tanda Klinik Kesehatan Herbal Al Ansar Health
Papan tanda Klinik Kesehatan Herbal Al Ansar Health

Pihak Denaihati Network ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Al Ansar Health kerana telah berjaya membuka cawangan di Malaysia, Indonesia dan Kemboja. Semoga perniagaan Al Ansar Health akan terus berkembang ke seantero dunia.

Setelah selesai majlis perasmian cawangan Al Ansar Health di Makassar, kami di bawa ke tempat untuk membeli cenderahati sebelum bergerak ke lapangan terbang untuk berangkat pulang ke tanahair Malaysia. Pengalaman 5 hari di Makassar memang bermakna, ada banyak ilmu dan pengalaman baru yang telah dapat dikumpul. Semoga kembara ilmiah seperti ini akan dianjurkan lagi oleh pihak Dewan Perdangan Islam Malaysia pada masa akan datang. Bagus sangat kalau ada yang merancang nak bercuti kerana ada banyak tempat menarik untuk dilawati di Makassar.


Spread the love

43 Comments

  1. orang indonesia sentiasa mengekalkan tarian tradisionalnya iaitu tarian Makassar. Walaupun belum berpeluang untuk pergi ke indon, namun selalu juga wawa mendengar pegalaman kawan yang pernah ke indon. Semasa pertukaran pelajar, pernah beberapa orang pelajar indonesia datang ke sekolah wawa. Dengar cerita barang di indon murah kan tua denaihati.com?
    Curahan rasa wawaabdulhadi @ ..CABARAN 30 HARI [HARI 12] : 5 WISHLIST ANDAMy Profile

Comments are closed.

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!