PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju untuk meneruskan pemberian subsidi kepada penternak ayam dan pengeluar telur ayam dari bulan ini hingga Disember ini pada kadar 80 sen sekilogram (kg) bagi ayam dan 8 sen sebiji bagi telur.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Ronald Kiandee berkata perkara tersebut diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 7 Okt lepas bagi meringankan beban penternak susulan peningkatan kos pengeluaran yang berterusan terutama kos makanan ayam yang meliputi 70 peratus dari kos pengeluaran selain kos anak ayam, logistik, pekerja, utiliti dan ubat-ubatan.
“Keputusan ini dibuat dengan mengambil kira harga siling ayam standard di peringkat runcit dikekalkan pada kadar RM9.40/kg dan harga siling telur ayam gred A, B dan C di peringkat runcit dikekalkan masing-masing pada kadar 45 sen, 43 sen dan 41 sen sebiji di Semenanjung Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata pembayaran subsidi akan disalurkan terus ke akaun penternak melalui Agrobank seperti mekanisme sedia ada melibatkan penternak persendirian, penternak integrator atau semi-integrator dan penternak kontrak serta kementerian akan memastikan proses pembayaran berjalan lancar bagi kelangsungan pengeluaran di peringkat ladang.
Menurut Ronald, pelaksanaan subsidi tersebut melibatkan tambahan implikasi kewangan sebanyak RM573.96 juta kepada kerajaan manakala jumlah peruntukan subsidi ayam dan telur ayam yang telah diperuntuk setakat ini dari Februari 2022 hingga September 2022 adalah sebanyak RM1.233 bilion.
“Setakat 4 Okt lepas, sebanyak 13,440 permohonan tuntutan subsidi dengan nilai RM1.136 bilion telah diluluskan oleh kementerian dan semua penternak boleh terus mengemukakan permohonan supaya subsidi dapat disalurkan,” katanya.
Ronald berkata kerajaan komited memastikan industri ayam dan telur kekal mampan dengan meneruskan pemberian subsidi selain meneruskan usaha memastikan ketersediaan dan kelangsungan bekalan ayam serta telur di pasaran kekal terjamin dengan harga berpatutan bagi kesejahteraan Keluarga Malaysia.
— BERNAMA
- Golongan Milenial Malaysia didapati buat silap tentang pengurusan wang, masa untuk mengatasinya segera
- Hasil Jual Produk Ganja di UK, Syarikat CBD Oils Malaysia catat keuntungan 2.1 Juta Pound Sterling
- Belanjawan 2020 : Permintaan, Jangkaan dan Ramalan
- ASNB umum dividen ASB 5.50 sen seunit
- Tiga Pulau popular di Thailand bakal dibuka kepada pelancong asing
One Comment
tumpang tinggal jejak sikit…. hehe..jom jenguk sini pulak.. hehe
Comments are closed.