Penjanaan trafik berdasarkan kata kunci

Assalamualaikum dan salam 1 dunia, bila cerita SEO memang tak dapat dipisahkan dengan cerita kata kunci. Ramai Rakan Blogger berebut-rebut menulis kata kunci panas yang pasti akan meningkatkan trafik blog yang mesra SEO. Kali ini kita melihat kata kunci daripada sudut yang berbeza mengikut idea tulisan Eizil tuan punya Eizil.com.

Trafik sudah menjadi salah satu perkara yang memang tidak pernah lari daripada aktiviti blogging, walaupun mungkin ada yang akan menafikan tidak kisah mengenai trafik blog mereka, tetapi apabila ada lambakan trafik dalam satu-satu masa, pasti boleh membuatkan diri sendiri tersenyum. Pasti ramai yang sudah jelas mengenai trafik, bagaimana untuk mendapatkan trafik, cara beretika mahupun tidak, secara percuma mahupun berbayar.

Teknik mendapatkan trafik daripada enjin carian

Kali ini sekadar ingin berkongsi dengan rakan-rakan blogger yang mungkin masih belum mencuba cara ini, kepada yang sudah mengamalkan, anggaplah ini sebagai ulangkaji dan peringatan sekiranya anda sudah lama tidak menggunakannya. Seperti sedia maklum, kata kunci atau keyword biasanya menjadi mainan rakan-rakan blogger sekalian, mana yang rajin, akan mengejar kata kunci yang hangat di pasaran demi trafik yang bagus di blog masing-masing, namun kata kunci hangat ini biasanya hanya bertahan untuk sesuatu tempoh (bergantung kepada jenis kata kunci), dan apabila sesuatu perkara yang berkait rapat dengan kata kunci tersebut telah berakhir, trafik pun akan merudum dengan jayanya.

Optimasi kata kunci demi enjin carian

Kelebihan mengejar kata kunci hangat ini, ianya memberikan hasil yang hampir serta merta jika dilakukan dengan betul, namun begitu, sekiranya anda tidak pandai mengolah strategi yang baik, mengejar kata kunci hangat ini hanya akan membuatkan anda seperti berlari mengejar kereta Ferrari yang sedang meluncur laju, pastinya anda akan ketinggalan. Selain itu, kebiasaannya kata kunci hangat ini ada mempunyai banyak saingan daripada rakan-rakan blogger yang lain. Oleh yang demikian, kita perlu merancang strategi mengejar kata kunci dengan lebih baik untuk mengelakkan kita daripada membuat sesuatu yang tidak memberi pulangan hasil sebaik yang kita inginkan.

Satu lagi strategi trafik berdasarkan kata kunci yang seringkali diamalkan oleh penulis adalah kata kunci yang tidak hangat. Kata kunci ini kadangkala bermusim dan kadangkala ianya sentiasa dicari setiap masa. Walaupun cariannya tidak sehangat kata kunci sebelum ini, namun disebabkan sentiasa mendapat carian, kata kunci seperti ini menjadi pilihan untuk trafik yang berterusan. Kelebihan lain, kebiasaannya, kata kunci seperti ini tidak mempunyai saingan yang hebat, anda boleh duduk di halaman pertama enjin carian dengan lebih mudah dan pastinya ianya akan memberikan trafik yang berlipat kali ganda berbanding apabila anda cuba bersaing dengan kata kunci yang hangat sebentar tadi.

Kajian kata kunci untuk enjin carian

Kajian kata kunci ini perlu dilakukan dalam tempoh yang agak panjang sekiranya anda baru pertama kali melakukannya, tetapi ada cara mudah yang anda boleh lakukan, contohnya dengan melihat statistik kata kunci yang menyebabkan pelawat hadir ke blog anda. Jika tiada info menarik sebelum ini yang pastinya akan membuatkan pelawat tersebut lari, anda boleh ambil peluang ini untuk menulis artikel berkaitan untuk memastikan pelawat tidak terus lari sejurus selepas melawat blog anda.

Semoga selepas ini anda tidak hanya memberi tumpuan kepada kata kunci hangat, tetapi mengambil peluang juga untuk mendapatkan trafik daripada kata kunci yang tidak mempunyai banyak saingan. Selepas itu pasti anda tidak mengeluh lagi mengenai trafik blog anda. Selamat mencuba

164 Comments

Comments are closed.

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!