Pemilik dan 8 Individu ditahan, promosi video iklan raya judi

Spread the love

KUALA LUMPUR, menurut sumber Bernama, lima lelaki dan tiga wanita ditahan kerana disyaki terlibat dalam penggambaran sebuah video yang mempromosikan perjudian secara dalam talian, yang tular di media sosial sejak semalam sehingga membangkitkan kemarahan orang ramai.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata kesemua individu yang ditahan itu dipercayai terlibat sebagai pelakon, ejen artis, juruvideo, jurukamera, produser, pengarah dalam penggambaran video berkenaan.

“Kesemua mereka mengaku menerima bayaran bagi pembikinan video itu yang diadakan di dua lokasi iaitu Ampang dan Hulu Langat, Selangor pada 13 Mac lepas. Usaha mengesan dalang sebenar di sebalik pembikinan video berkenaan masih diteruskan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kesemua mereka direman dan disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 4(1)(G) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Setakat ini, katanya polis telah menerima 38 laporan berhubung perkara itu.

Beliau seterusnya menasihatkan orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi kerana siasatan masih dijalankan, dan mereka yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kes itu boleh menyalurkannya kepada polis.

Sementara itu mengulas berkenaan penyebaran sebuah lagi video yang turut mempromosikan perjudian dalam talian yang tular hari ini, Acryl Sani berkata pihaknya sudah mengambil maklum berhubung perkara itu.

“Setakat ini belum ada laporan tetapi saya sudah arahkan satu laporan polis dibuat untuk siasatan lanjut,” katanya.

Difahamkan hari ini tular di media sosial sebuah lagi video mempromosikan perjudian dalam talian dengan bertemakan perayaan Aidilfitri.

Sumber: Bernama


Spread the love

6 Comments

  1. Dah semacam takder maruah, memalukan agama dan diri sendiri. Terdesak sangat nak popular atau nak duit lebih nie. Tak berbaloi langsung dengan tujuan hidup atas muka bumi. Nak kata pengkhianat pun ya juga.

Comments are closed.

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!