Kisahnya Secebis Hati part 6

Spread the love

Assalamualaikum dan Salam 1Dunia, part 6 sambungan “Kisahnya Secebis Hati“ coretan dari Penderma HATI, Ahmad Khariri. Bagi yang belum baca episod awal yang telah dipublish sebelum ni bolehlah klik Part 1, Part 2, Part 3, Part 4 dan Part 5. Rakan Blogger boleh menjemput Saudara Ahmad Khariri untuk sessi Motivasi berkongsi pengalaman dan kepada yang teringin mempromosikan bisnes isteri beliau sila klik – Bunga Telur Teddy Bear.

Pesakit Bengkak Hati : Allahyarham Adik Mohd Yohitt Bin Mohd Farhan Kutty Krishnan

Penderma Hati : Ahmad Khariri Al-Hadi Bin Md Yusop

Tarikh pembedahan pemindahan hati (Liver Transplant) : 18 Disember 2004

Tarikh Adik Yohitt meninggal dunia : 28 Januari 2005


Ahmad Khariri Al-Hadi

Setibanya di rumah, saya terus mengambil baju hujan saya yang diletakkan dalam raga motorsikal. Sememangnya sengaja saya letakkan di situ sebagai persediaan apabila hujan. Itupun telah beberapa kali baju hujan ini koyak kerana saiznya yang ‘free size’ tidak dapat menampung saiz tubuh badan saya yang XXL ini. Kadangkala saya memakainya hanya sebagai syarat sahaja bukan kerana ingin mengelakkan daripada terkena air hujan. Segan juga apabila ada pemandu yang memandang saya basah kuyup umpama tidak memakai baju hujan. Dan menjadi satu alasan saya paling kukuh untuk datang ke pejabat sebenarnya! Baju hujan ini akan menjadi bukti sekiranya satu hari nanti saya berjaya menguruskan badan.

Saya menuju ke Taman Tasik Shah Alam yang kira-kira 15 minit dari rumah saya. Jam telah menunjukkan pukul 4.30 petang namun masih tidak ramai pengunjung yang datang ke sini. Barangkali mereka masih bekerja atau dalam bilik kuliah. Taman Tasik Shah Alam ini hanya 1 kilometer daripada UiTM, Shah Alam dan beberapa kolej lain. Kebiasaannya pada waktu petang, selain ibu bapa membawa anak-anak untuk bermain di taman, ramai di kalangan pelajar-pelajar dan remaja yang memeriahkan suasana persekitaran tasik ini. Ada yang berjoging, berkayak dan bermacam-macam lagi aktiviti yang sihat. Tidak kurang juga yang datang berpasangan untuk mengenal hati budi masing-masing sambil mengeratkan silaturrahim sesama mereka. Bagi yang meminati bidang fotografi, tersangkut di bahu masing-masing kamera untuk mengambil gambar pemandangan, flora, fauna dan manusia yang ada di sekeliling. Saya perhatikan kalau-kalau ada sahabat yang saya kenali berada di tasik ini. Segan pula rasanya dengan memakai baju hujan dalam suasana yang cerah ini.

Saya memulakan dengan membuat regangan perlahan-lahan. Bermula dengan kepala hinggalah ke kaki. Ini yang saya amalkan sejak di bangku sekolah sebelum memulakan permainan atau aktiviti sukan. Sekurang-kurangnya saya dapat mengelakkan daripada terjadi kecederaan dalaman apabila berjoging nanti. Sudah agak lama saya tidak berjoging dan rasanya hampir enam tahun. Entah masih mempunyai stamina atau tidak. Peluh mula membasahi badan saya kerana selain panas di luar, saya juga agak panas memakai baju hujan ini. Saya memulakan larian dengan perlahan-lahan. Saya rasakan berat badan saya seperti tidak mampu untuk berjoging. Saya cuba bertahan dalam beberapa minit lagi. Walaupun baru 20 minit berlari, saya sudah mula tercungap-cungap keletihan. Tekak mulai kering dan kadangkala rasa ingin termuntah. Mujur saya bawak sebotol air mineral yang dibeli sebelum sampai di tasik tadi.

Saya berhenti seketika di tepi pokok yang merimbun ini. Saya rasa baru sahaja 2 kilometer saya berjoging namun penatnya seperti telah 1 jam. Peluh yang mencurah keluar telah membasahi keseluruhan tubuh badan saya. Saya terlalu penat dan seperti tidak mampu meneruskan larian. Air mineral pun sudah habis saya minum. Kaki mulai lemah dan tidak berupaya untuk meneruskan larian. Usahkan berlari hendak berjalan pun sudah tidak bermaya. Ada beberapa orang lelaki dan perempuan yang memerhatikan saya sedang kepenatan. Sambil tersenyum mungkin ada sesuatu yang dibualkan mengenai saya. Biarlah apa pun yang mereka bualkan asalkan saya dapat pergi ke kereta saya semula. Bukannya jauh sangat tetapi oleh kerana keletihan yang terlalu sangat membuatkan saya rasa ianya terlalu jauh.

Masuk sahaja ke dalam kereta, saya terus menyandar keletihan. Mulut masih tercungap-cungap keletihan. Baju hujan saya buka dan sangkutkan di kerusi belakang. Saya jatuhkan sedikit kerusi agar mudah untuk saya berbaring. Enjin kereta saya hidupkan agar saya dapat memasang air cond untuk menyejukkan badan saya. Kalau menurut guru Pendidikan Jasmani saya dahulu, sekiranya badan masih berpeluh jangan kenakan pada air cond. Ianya boleh menyebabkan suhu badan akan berubah dan boleh menyebabkan pitam serta beberapa implikasi kesihatan yang tidak baik. Saya sudah tidak memikirkan implikasinya dalam keadaan ini. Hanya memikirkan agar saya bertenaga dan dapat memandu pulang ke rumah!

Saya menyuruh isteri mengurut satu badan saya yang keletihan ini. Sesekali Aina dan Anis membantu ibu mereka mengurut dan memijak bahagian belakang badan saya. Badan Anis agak berisi daripada badan Aina. Terasa jugak apabila anak gadis berdua ini memijak-mijak. Mereka kelihatan seronok apabila disuruh berbuat begitu. Sambil melompat dan menjerit mereka tidak berhenti naik turun belakang saya. Gembira kami lihat telatah mereka berdua ini. Sambil anak-anak sibuk bermain-main, isteri ke dapur membuat air teh ‘o’ dan menggoreng cucuk tepung dicampur dengan kentang. Beliau tahu ini makanan kegemaran saya ketika duduk bersama-sama keluarga sambil menonton televisyen.

Ahmad Khariri Al-Hadi

Sebelum melelapkan mata, saya terfikir apa lagi yang harus saya lakukan untuk menguruskan badan. Sekiranya saya lakukan seperti di Tasik Shah Alam petang tadi, nampaknya saya memerlukan tempoh yang panjang. Saya tidak mempunyai masa yang panjang untuk itu. Mata saya terkebil-kebil memandang kipas yang berpusing di syiling. Selaju kipas itu berpusing, begitu juga saya harus laju memikirkan apa yang harus saya lakukan. Jam menunjukkan pukul 11.37 minit malam. Isteri dan kedua-dua anak sedang nyenyak tidur. Aina dan Anis memang agak lasak ketika tidur. Mereka hanya terjaga apabila hendakkan susu sahaja. Dan kebiasaannya hanya isteri sahaja yang bangun untuk membuatkan susu buat mereka berdua. Semakin difikirkan, semakin risau hati saya. Tiba-tiba saya terbayang wajah adik Atiqah..

Setelah menghantar isteri ke tempat kerja beliau, saya terus menuju ke pejabat. Saya sampai di pejabat agak awal hari ini. Kawasan tempat memakir motorsikal juga masih banyak yang kosong. Entah mengapa tiba-tiba saya perasaan saya rasa kurang enak. Sejak saya memikirkan bagaimana saya harus membuang masalah kesihatan yang ada dalam badan saya, semakin serabut saya dibuatnya. Sekiranya saya gagal untuk menguruskan badan bermakna saya juga gagal untuk menjadi penderma hati kepada adik Atiqah. Aduh! Apa yang harus saya lakukan? Adakah saya perlu mendapatkan pendapat sahabat-sahabat saya? Sekiranya saya mintak pendapat mereka, sudah pasti rahsia saya akan terbongkar. Saya tidak mahu isu ini sampai kepada pihak pengurusan SEEM. Bukannya takut tetapi tidak mahu isu ini diperbesarkan dan menjadi bahan bualan sahabat-sahabat.

Bersambung …


Spread the love

63 Comments

Comments are closed.

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!