Kisahnya Secebis Hati part 4

Spread the love

Assalamualaikum dan Salam 1Dunia, ini sambungan “Kisahnya Secebis Hati“. Bagi yang belum baca boleh klik Part 1, Part 2 dan Part 3. Kepada Rakan Blogger dan mereka yang teringin membantu joom tolong promosikan bisnes isteri beliau – Bunga Telur Teddy Bear.

Pesakit Bengkak Hati : Allahyarham Adik Mohd Yohitt Bin Mohd Farhan Kutty Krishnan

Penderma Hati : Ahmad Khariri Al-Hadi Bin Md Yusop

Tarikh pembedahan pemindahan hati (Liver Transplant) : 18 Disember 2004

Tarikh Adik Yohitt meninggal dunia : 28 Januari 2005


Di rumah, saya teringat kata-kata Encik Sharif yang saya rasakan amat bermakna sebagai seorang ketua keluarga.

Beliau berkata ‘Saya harapkan agar orang yang ingin membantu anak saya adalah orang yang dapat menyelami masalah saya sekeluarga’ air mata seorang ayah yang penyayang ini turut mengiringi kata-kata beliau.

Walaupun beliau tidak meletakkan harapan yang tinggi kepada saya namun saya percaya harapan beliau sekeluarga terletak kepada saya ketika ini. Saya berjanji kepada diri saya akan sentiasa melakukan yang terbaik untuk membantu adik Atiqah.

Saya menceritakan kepada isteri perihal keluarga Encik Sharif dan keadaan anak kedua beliau itu. Kelihatan isteri juga bersimpati dengan keluarga tersebut. Mana tidaknya, isteri saya juga pernah melalui suatu keadaan yang lebih kurang begitu satu masa dahulu. Air mata menjadi teman yang paling rapat untuk berkongsi masalah dan derita. Makan dan minum sudah tidak menjadi keperluan lagi. Dari seorang yang periang, isteri saya telah menjadi insan yang murung dan kurang bercakap. Saya tidak dapat memaksa beliau untuk bergembira namun hakikatnya beliau menanggung kesedihan. Begitulah kasih seorang ibu sememangnya tidak dapat dipisahkan dari insan yang bernama Suzana ini.

Untuk permulaan saya perlu berjumpa dengan Doktor Pakar di Subang Jaya Medical Centre (SJMC). Ini adalah bagi memastikan tahap kesihatan saya baik dan hati saya sesuai untuk didermakan kepada adik Atiqah. Walaupun saya mempunyai susuk badan yang besar namun saya yakin saya amat sihat. Ini kerana sewaktu belajar di sekolah menengah satu masa dahulu saya amat aktif dengan sukan padang. Sebut sahaja sukan apa, pasti saya akan menyertai sukan tersebut walaupun sekadar pemain simpanan. Jika tinggal di asrama sememangnya mengajar untuk menjadi seorang pelajar yang aktif. Dari seorang yang kaki bangku dan malas untuk turun bermain di padang, saya berjaya mengubahnya hanya dalam masa tiga minggu sahaja.

Saya masih lagi merahsiakan berkaitan hasrat saya untuk mendermkan hati ini daripada pengetahuan majikan dan kawan-kawan. Sebolehnya saya tidak mahu mereka semua tahu sebelum saya betul-betul disahkan oleh pihak hospital. Bukan malu atau ingin meninggi diri tetapi saya khuatir sekiranya usaha saya untuk mendermakan hati ini tidak kesampaian. Almaklumlah apa-apa kejadian yang tidak diingini boleh terjadi tanpa kita sedari. Sehubungan itu saya telah berpesan lebih awal kepada isteri saya agar jangan menceritakan kepada sesiapa berkaitan hal ini.

Seperti dalam temujanji yang dimaklumkan oleh Encik Sharif, hari ini saya akan berjumpa Dato’ Dr. K.C. Tan iaitu Pakar Hepatobiliary daripada Singapura. Menurut Encik Sharif, doktor ini berasal daripada Malaysia namun telah membuka klinik pakar hati di Asian Centre for Liver Diseases & Transplantation, Gleneagles Singapura. Saya juga ada membaca beberapa artikel berkaitan beliau yang pernah menyambung pengajian beliau di King College, London. Beliau juga telah beberapa kali berjaya melakukan pembedahan ini samada di Malaysia mahupun Singapura. Hebat sungguh doktor ini dan nampaknya bukan calang-calang doktor yang bakal mengetuai pembedahan pemindahan hati saya kelak.

Saya dipersilakan masuk oleh pembantu Dato’ Dr. K.C. Tan. Pemerhatian awal saya ialah doktor ini berusia di lingkungan umur 50’an dan sudah pastinya beliau akan bercakap dalam Bahasa Inggeris dengan saya! Sangkaan saya meleset apabila saya dijemput duduk oleh beliau dalam Bahasa Malaysia. Setelah bersalaman dengan beliau saya terus duduk. Secara peribadinya, saya agak risau apabila berjumpa dengan doktor. Tidak kisah doktor apa sekalipun kerana pengalaman saya dengan doktor jarang berakhir dengan baik. Ketika berusia 14 tahun, saya terpaksa pulang dari klinik gigi ke rumah dengan mulut penuh dengan darah gara-gara bergaduh dengan doktor yang tersalah cabut gigi saya. Asalnya gigi geraham berlubang yang sepatutnya dicabut tetapi gigi lain pula yang ditampal dengan simen gigi! Gusi saya terluka setelah meronta-ronta kesakitan terkena besi pembersih gigi. Akibatnya saya tertolak doktor dan pembantunya jatuh dan dengan darah yang penuh di dalam mulut saya berlari pulang ke rumah.

Saya berharap pertemuan saya dengan Dato’ Dr. K.C. Tan ini akan memberikan persepsi yang lebih baik terhadap profesion kedoktoran. Barangkali beliau telah dapat membaca fikiran saya apabila beliau bertanya mengapa saya kelihatan risau dan berpeluh? Saya hanya senyum walaupun saya ada jawapan yang baik untuk diberikan. Kerana tubuh badan saya berisi dan risau! Sambil membelek-belek sebuah fail perubatan di hadapan beliau, kami berbual pendek berkaitan diri saya. Pekerjaan, status, status, keluarga dan beberapa lagi. Beliau memandang saya dengan wajah yang agak serius dan mengerutkan keningnya yang nipis itu. Saya pasti ada sesuatu yang kurang baik akan dikatakan oleh beliau berkaitan diri saya.

‘I rasa you tidak sesuai untuk jadi penderma hati kepada this baby. You sendiri gemuk dan I berani kata yang you ada masalah kolestrol, fatty liver dan beberapa lagi masalah’ terang doktor berbangsa Cina ini!

Saya rasa seolah-olah satu pukulan tangan kanan hinggap tepat di muka saya! Terkedu dan marah dengan apa yang disampaikan oleh beliau. Saya tidak percaya dan mengakui apa yang beliau katakan berkenaan kesihatan diri saya. Walaupun berat saya mencecah 97 kilogram namun saya tidak pernah sakit teruk selain demam, batuk, selsema dan pening. Walaupun kini saya tidak seaktif zaman remaja namun apa yang dikatakan oleh doktor ini sememangnya tidak munasabah dan saya tidak bersetuju sama sekali!

‘Doktor, saya sihat walaupun badan saya agak gemuk!’ tegas saya bagi menyangkal apa yang dikatakan oleh doktor tadi. ‘Kalau doktor tidak percaya, boleh ambil darah saya sekarang untuk diuji’ tiba-tiba terpacul daripada mulut saya walaupun dalam nada yang rendah.

Dato’ Dr. K.C. Tan hanya tersenyum dan seolah-olah saya cuba untuk merendahkan ilmu kedoktoran yang beliau belajar selama ini. Saya harus pertahankan diri saya untuk menjadi penderma hati kepada Adik Atiqah. Saya tidak mahu pulang ke rumah tanpa mendapat sesuatu yang saya harapkan. Saya berdoa agar apa yang dikatakan oleh doktor ini tidak benar kerana sekiranya kata beliau itu benar maka saya tidak layak menjadi penderma hati! Sekiranya saya tidak layak menjadi penderma hati maka harapan Adik Atiqah dan keluarga beliau akan hancur! Saya tidak akan menghampakan harapan seluruh keluarga ini terutama harapan Adik Atiqah sendiri.

Beliau memanggil pembantu masuk ke dalam bilik serta bercakap sesuatu dalam Bahasa English. Walaupun saya sememangnya boleh memahami Bahasa Inggeris namun mereka bercakap terlalu perlahan sehinggakan saya tidak dapat mendengar biji butirnya. Barangkali berdua sedang mengumpat saya ini. Saya diminta untuk pergi ke makmal ujian darah bagi supaya mereka dapat mengambil spesimen darah saya untuk diuji. Tujuannya adalah untuk memastikan saya sihat dan tidak mengalami sebarang masalah kesihatan untuk menjadi penderma hati.

Bersambung …


Spread the love

55 Comments

Comments are closed.

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!