Kes kematian Zulfarhan: Pelaku seumpama penjenayah yang tiada belas kasihan – Hakim

Spread the love

KUALA LUMPUR: Usia tertuduh masih muda namun perlakuan mereka seumpama penjenayah yang tiada belas kasihan.

Demikian kata Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azman Abdullah ketika membacakan penghakimannya selain tidak dapat membayangkan kesakitan Pegawai Kadet Laut UPNM, Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain ketika ditekap dengan seterika panas berulang kali.

Beliau berkata demikian terhadap semua tertuduh yang disabitkan bersalah atas tuduhan menyebabkan kecederaan tanpa niat membunuh terhadap Zulfarhan Osman pada Selasa.

“Seterika wap ini kalau terkena tangan pun sangat sakit. Kalau di bahagian sensitif, saya tidak tahu si pelaku itu kita nak kategorikan sebagai apa,” katanya ketika membacakan penghakiman tersebut di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa.

Tambah Azman, beliau juga berasa sedih terhadap ibu bapa tertuduh kerana sekiranya bukan disebabkan kes berkenaan, semua tertuduh pastinya kini sudah menjadi pegawai tentera.

Beliau turut menasihatkan semua supaya bersikap tidak mengapa sekiranya dipandang sebagai penakut atau pengecut (kerana mengadu) namun dalam setiap tindakan perlu difikirkan juga kesannya terhadap ibu bapa masing-masing.

Jelasnya, insiden menyayat hati itu boleh berlaku kepada sesiapa sahaja namun cara seseorang individu mengawalnya yang akan mengubah segalanya.

Katanya lagi, perkara itu pada awalnya boleh dielakkan dan tidak terjerumus kepada tindakan yang tidak mendatangkan faedah kepada sesiapa seperti dilakukan tertuduh.

Mengulas lanjut, Azman menegaskan hukuman yang dijatuhkan bertujuan untuk memberi rasa takut, bukan sekadar kepada tertuduh namun kepada masyarakat di luar juga.

Mahkamah Tinggi hari ini menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun terhadap enam penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) selepas didapati bersalah atas pertuduhan menyebabkan kematian tanpa niat terhadap Zulfarhan Osman, empat tahun lepas.

Hakim, Azman menjatuhkan hukuman itu ke atas Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.

Mahkamah memerintahkan mereka menjalani hukuman itu bermula dari tarikh tangkap pada 1 Jun 2017.

Lima tertuduh itu sebelum ini menghadapi pertuduhan membunuh Zulfarhan Osman di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan, manakala Abdoul Hakeem didakwa bersubahat membunuh mengikut Seksyen 109 kanun sama yang membawa hukuman serupa.

Azman dalam keputusannya mendapati keenam-enam tertuduh bersalah atas pertuduhan dengan niat menyebabkan kecederaan kepada Zulfarhan Osman tanpa niat membunuh mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga 30 tahun dan dikenakan denda jika perbuatan itu dilakukan dengan niat hendak menyebabkan kematian.

Dalam pada itu, lima daripada enam tertuduh (kecuali Mohamad Shobirin) juga dikehendaki menjalani hukuman penjara tiga tahun atas tuduhan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa untuk mendapatkan pengakuan bahawa dia telah mencuri komputer riba milik Muhammad Akmal Zuhairi.

Pendakwaan bagi kes itu mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, ketika membaca keputusan penghakimannya, Azman berkata, hukuman bagi kedua-dua pertuduhan itu berjalan serentak bermula dari tarikh tangkapan iaitu 1 Jun 2017.

AWANI


Spread the love

One Comment

Comments are closed.

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!