Kelebihan bangun awal pagi untuk kesihatan diri

Spread the love

Assalamualaikum dan selamat sejahtera,

Pukul berapa selalunya anda akan bangun dari tidur setiap hari? Secara kebiasaannya, jika hari-hari biasa, waktu bangun dari tidur adalah lebih awal berbanding dengan hari minggu.

Namun, tidak semua orang gemar untuk bangun seawal pagi kerana waktu tidur adalah waktu yang paling menyeronokkan terutamanya pada hujung minggu.

Bagaimanapun, tahukah anda bahawa bangun seawal pagi merupakan antara aktiviti paling sihat yang boleh dilakukan.

Dalam sebuah kajian yang dilakukan oleh seorang pakar Biologi dari Harvard menunjukkan bahawa mereka yang mempunyai tabiat bangun awal menunjukkan sikap yang lebih proaktif berbeza dengan mereka yang bangun lambat atau kerap tidur menunjukkan sikap-sikap yang pasif.

Maksud: “Adalah Rasulullah apabila selesai menunaikan solar Fajar, Baginda duduk di tempat solatnya sehingga matahari terbit.” (HR Tirmizi, no. 585)

Baginda SAW juga diriwayatkan sebagai seorang yang gemar bangun awal pagi dan tidak akan mensia-siakan waktu paginya kerana di situ terdapat keberkahan yang sangat besar.

Bahkan, dalam beberapa riwayat lain juga menyebut bahawa Baginda SAW adalah seorang yang gemar tidur awal (sesudah Isyak) dan akan bangkit awal (sebelum Subuh) untuk beribadah dan bermunajat kepada Allah.

Terdapat banyak kelebihan bangun di awal pagi yang boleh kita lihat terutamanya dari sudut kesihatan, antaranya;

1. Lebih sihat kerana tidak meninggalkan sarapan

Sebuah kajian dari University Northwestern pada tahun 2011 menunjukkan bahawa orang yang bangun pada awal pagi cenderung untuk mengambil sarapan yang lebih sihat dan mempunyai bentuk tubuh yang lebih menawan.

Hal ini kerana, orang yang tidur lewat malam cenderung untuk mengambil lebih daripada 248 kalori dalam sehari dan mempunyai purata BMI yang lebih tinggi sebanyak 2 kali ganda berbanding dengan mereka yang tidur awal dan bangun pagi.

2. Boleh membantu meningkatkan produktiviti

Ada sebuah kajian yang dilakukan menunjukkan bahawa kebanyakan orang yang berjaya cenderung untuk bangun di awal pagi.

Pada mereka, apabila bangun awal pagi membolehkan mereka mempunyai masa yang lebih panjang yang boleh dihabiskan untuk mengerah idea dan menyiapkan kerja dalam tempoh yang lama.

Hal inilah yang boleh membantu meningkatkan produktiviti kepada seseorang kerana jangka masa yang mereka ada lebih lama dan tidak dihabiskan kepada tidur atau perkara-perkara yang tidak berfaedah.

Dan sebuah kajian daripada Christoph Randler juga menyebut bahawa orang yang bangun awal pagi merupakan seorang yang boleh merancang masa dengan baik.

Ini kerana mereka mempunyai lebih banyak masa yang sepi (bersendirian dengan diri mereka sendiri) untuk menetapkan matlamat hidup dan merancang jadual harian mereka.

3. Menjadikan badan lebih sihat

Ramai yang gemar melakukan senaman pagi seperti berjoging atau senaman ringan lain kerana waktu-waktu lain kebanyakannya dihabiskan untuk melakukan rutin harian.

Justeru, orang yang bangun pagi juga mempunyai lebih banyak masa untuk bersenam. Senaman ini bukan sahaja boleh memberi kesihatan kepada kecergasan badan, tetapi juga kepada mood dan juga tenaga.

4. Membantu menstabilkan mood dan menjadi lebih gembira

Mengambil kajian daripada Christoph Randler lagi menyebut bahawa mereka yang mempunyai tabiat bangun awal pagi cenderung untuk mempunyai mood yang lebih gembira, optimis, positif, rajin dan teratur.

Berbeza dengan mereka yang sering tidur pada lewat malam dan bangun lewat pagi kerana golongan ini lebih mudah mendapat tekanan dan pesimis (berfikiran negatif).

5. Membantu meningkatkan hubungan kerohanian dengan tuhan

Buat umat Islam, antara amalan yang boleh dilakukan ketika bangun pada awal pagi terutamanya sebelum Subuh adalah dengan menunaikan solat sunat dua rakaat.

Waktu ini dinamakan sebagai qiamullal (bangun malam) dengan melakukan beberapa amalan sunat seperti solat sunat dua rakaat, membaca Al-Quran dan juga berzikir.

Pada waktu inilah merupakan waktu yang sesuai untuk bersendirian dengan Allah dan muhasabah kembali kehidupan atau berdoa meminta perkara yang dihajati.

Kesimpulan

Kita melihat amalan sunnah Rasulullah SAW adalah rajin bangun di awal pagi untuk bermunajat kepada Allah.

Uniknya, amalan ini mampu mendatangkan banyak kelebihan kepada kesihatan diri sendiri.

Oleh itu, perlahan-lahan tatih diri anda untuk bangun pada awal pagi bagi membantu diri anda menjadi lebih produktif bukan sahaja kepada aspek jasmani namun juga rohani.

Wallahu a’alam

Sumber: tzkrh


Spread the love

One Comment

  1. Betul. Bangun pagi banyak faedah. Sedekah waktu pagj pun bagus. Sunah nabi diikuti, kita dpt pahala.

Comments are closed.

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!