Dividen KWSP 2018, simpanan konvensional dan shariah

Spread the love

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan agihan dividen sebanyak RM47.31 bilion bagi tahun 2018 iaitu turun 1.7 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Selain itu, kadar dividen 6.15 peratus diberikan bagi Simpanan Konvensional dengan agihan dividen sebanyak RM43 bilion dan 5.9 peratus bagi Simpanan Shariah dengan agihan dividen sebanyak RM4.32 bilion.

Pengerusi KWSP Tan Sri Samsudin Osman berkata, menerusi pengumuman, KWSP menjangkaui mandatnya untuk mengisytiharkan 2.5 peratus dividen setiap tahun.

Ia juga tidak kurang dari 2 peratus bagi dividen sebenar untuk purata tiga tahun apabila merekodkan purata kadar dividen sebenar bagi tiga tahun berturut-turut sebanyak 3.93 peratus melebihi kadar inflasi untuk Simpanan Konvensional dan 3.68 peratus untuk Simpanan Shariah.

“Selain dividen nominal, adalah menjadi keutamaan KWSP untuk memberikan pulangan melebihi kadar inflasi secara konsisten agar kami dapat mengekal dan meningkatkan nilai simpanan ahli dalam jangka panjang serta membantu mereka mencapai masa depan persaraan yang lebih baik.

“Ini masih dapat direalisasikan meskipun 2018 adalah tahun yang sukar dan di dominasi oleh ketidaktentuan dan trend penurunan pasaran global yang dicetus oleh perang perdagangan AS-China serta empat kitaran kenaikan kadar faedah AS dalam satu tahun yang sama,”

Bagaimanapun, pihak KWSP tetap fokus kepada strategi jangka panjang dan kepelbagaian portfolio yang memberikan daya tahan dan pulangan yang memberangsangkan kepada ahli kami.

Pendapatan pelaburan kasar untuk 2018 adalah RM50.88 bilion, yang mana RM4.62 bilion dijana bagi Simpanan Shariah, berkadar dengan bahagiannya daripada keseluruhan jumlah aset Syariah; manakala RM46.26 bilion dijana bagi Simpanan Konvensional.

Menurutnya, penurunan pendapatan portfolio Syariah KWSP pada 2018 adalah disebabkan oleh prestasi kurang memberangsangkan untuk sektor telekomunikasi, pembinaan dan minyak dan gas dalam portfolio domestik.

Jumlah yang perlu diagihkan untuk setiap satu peratus kadar dividen 2018 adalah RM7.72 bilion, lebih tinggi berbanding RM7.02 bilion pada 2017. Jika dibandingkan dengan peningkatan trend pasaran pada 2017, terdapat perbezaan ketara dapat disaksikan pada tahun kewangan 2018 yang mana kesemua indeks saham mencatatkan pulangan negatif.

Selain itu, Indeks FBM KLCI mencatatkan kejatuhan enam peratus, manakala indeks ekuiti pasaran sedunia jatuh sekitar sembilan hingga 16 peratus.

Mengulas mengenai prospek pelaburan, ketidaktentuan dalam pasaran global mungkin akan berterusan berikutan perang dagang AS-China.

KWSP juga bersiap sedia untuk menghadapi faktor luaran yang lain seperti Brexit, kelembapan pertumbuhan ekonomi global dan kenaikan kadar faedah AS.

Ahli boleh menyemak penyata akaun KWSP untuk pengkreditan dividen 2018 bermula Ahad, 17 Februari 2019, melalui i-Akaun atau laman web myEPF di www.kwsp.gov.my


Spread the love

One Comment

Comments are closed.

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!