COVID-19: PKP di enam buah negeri zon merah – Perdana Menteri

Asslamualaikum dan Selamat sejahtera,

Semua orang ternanti-nanti dan berdebar-debar dengan ucapan YAB Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai situasi terkini pandemik Covid-19.

Akhirnya, rakyat Malaysia sudah mendapat jawapannya daripada ucapan sebentar tadi.

Kerajaan telah memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk tempoh 14 hari bermula jam 12.01 malam Rabu ini, hingga 26 Januari, 2021

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khasnya hari ini berkata, langkah itu perlu diambil memandangkan pada ketika ini, fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah tidak mampu untuk menampung peningkatan sehingga 2,000 kes baharu setiap hari.

Ujarnya lagi, peningkatan jumlah pesakit secara mendadak akan melumpuhkan kapasiti sistem kesihatan sedia ada dalam sekelip mata.

“Tidak mudah untuk saya mengatakan semua ini tetapi inilah realiti yang berlaku sekarang dengan berbagai kemungkinan yang terpaksa kita hadapi sekiranya dibiarkan berlarutan tanpa sebarang campur tangan atau intervensi kesihatan awam yang lebih ketat.

Perdana Menteri berkata, berdasarkan penilaian risiko oleh KKM, Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta pelbagai Kementerian dan Agensi serta nasihat pakar-pakar kesihatan awam di dalam negara, Kerajaan bersetuju dengan pandangan bahawa satu tindakan yang tegas perlu diambil untuk memutuskan rantaian jangkitan penularan virus COVID-19.

PKP ini akan melibatkan tiga peringkat pelaksanaan.

Perintah Kawalan Pergerakan di 6 buah Negeri

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah bermula 13 Jan hingga 26 Jan 2021.

Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat di 6 buah Negeri

PKP Bersyarat (PKPB) pula dilaksanakan di enam negeri iaitu Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan juga bermula 13 Jan hingga 26 Jan 2021

Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan

PKP Pemulihan (PKP-P) akan dilaksanakan bagi negeri Perlis dan Sarawak dan akan diteruskan sepanjang tempoh berkenaan (dari 13 Jan hingga 26 Jan)

Muhyiddin berkata, negeri-negeri yang dikenakan PKP adalah negeri yang berisiko tinggi hasil penilaian risiko oleh KKM dan tahap keupayaan perkhidmatan kesihatannya telah hampir mencapai kapasiti maksimum.

KKM, katanya lagi, akan membuat penilaian risiko secara berterusan bagi memutuskan sama ada pelaksanaan PKP ini akan ditamatkan atau diteruskan sebelum tempoh dua minggu berkenaan tamat.

Semoga Allah permudahkan segala urusan rakyat Malaysia.

Sumber: Awani

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!