Bagaimana untuk mendapatkan keberkatan rezeki daripada Allah SWT

Sering kita dengar mengenai keberkatan rezeki, namun pernahkah kita terfikir apakah maksud sebenar di sebalik nasihat yang sering dilemparkan ini?

Perkataan berkat sebenarnya berasal dari Bahasa Arab, iaitu barakah yang membawa maksud bertambah atau berkembang. Konsep mencari keberkatan sepatutnya sentiasa ada dalam kehidupan seorang muslim kerana ia adalah bekalan yang boleh membantu kita untuk kehidupan yang lebih tenang.

Mungkin, tanpa kita sedar sebenarnya kita ada mempraktikkan sikap mengejar keberkatan dalam hidup sendiri, namun ada juga yang tidak menyedari hakikat dan kepentingannya.

Keberkatan yang Allah beri boleh datang dalam pelbagai bentuk seperti keberkatan dalam umur dan amalan, keberkatan dalam kesihatan mahupun harta benda.

Sebagaimana dalam beberapa hadis yang menyebut bahawa, Allah amat menyayangi hambaNya yang bersungguh dan tidak lalai dalam melakukan pekerjaan kerana ia adalah amanah yang perlu dilakukan dengan baik.

وَلَكِنَّ اللهَ يُحِبُّ مِنَ الْعَامِلِ إِذَا عَمِلَ أَنْ يُحْسِنَ

Maksud: “Tetapi Allah kasih kepada pekerja (yang melakukan sesuatu amalan) yang apabila dia melakukan sesuatu perkara hendaklah melakukannya dengan baik.” (HR Baihaqi, no. 4932)

Dengan itu, barulah keberkatan rezeki bakal menyusul yang akan menarik kepada ketenangan hidup serta kecukupan yang ada.

Jadi, bagaimana untuk meraih keberkatan rezeki?

1 – Niatkan melakukan pekerjaan kerana Allah dan untuk meraih pendapatan yang halal serta boleh membantu kepada perkembangan diri dan orang sekeliling.

2 – Lakukan pekerjaan dengan baik. Walaupun tiada yang sempurna, namun kita boleh berusaha untuk memberikan yang terbaik.

3 – Amanah dan tidak menyalahgunakan kuasa serta harta.

4 – Elakkan daripada melakukan pekerjaan yang syubhah (ragu-ragu) dan haram.

5 – Dalam bekerja, jangan lupa untuk beribadah kepada Allah kerana pada hakikatnya, rezeki itu datang dariNya.

6 – Bersyukur dengan perkara yang diperoleh walau sekecil-kecilnya.

7 – Zahirkan syukur dengan perbanyakkan sedekah dan membantu orang yang memerlukan.

8 – Utamakan nafkah kepada keluarga.

9 – Belajar untuk menerima teguran dan berusaha memperbaikinya agar boleh melakukan yang lebih baik.

10 – Kurangkan mengeluh atau melihat kepada masalah sebaliknya cari solusi di atas setiap yang berlaku.

11 – Di samping menjaga hubungan dengan Allah, jaga juga hubungan dengan sekeliling dan rakan sekerja.

12 – Amalkan zikir dan amalan sunat yang boleh menarik rezeki.

13 – Perbanyakkan Istighfar untuk menghapus dosa-dosa kecil yang dilakukan.

Kredit: Tzkrh

2 Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!