Apa yang anda perlu tahu mengenai Bitcoin dan Cryptographic Hash Algorithm.

Spread the love

Assalamualaikum dan Salam 1Dunia,

sebelum ini kita telah berbincang mengenai Bagaimana Blockchain membantu dalam kehidupan dunia digital. Ini adalah asas bagaimana Bitcoin, salah satu matawang digital tercipta. Ianya menggunakan konsep rantaian blok untuk menguruskan semua ledger atau blok data dalam rangkaian P2P Bitcoin.

Bitcoin dimulakan dengan blok genesis yang pertama dengan hasil 50 unit Bitcoin pada ketika itu. Blok genesis ini adalah blok pertama dalam rantaian blok Bitcoin. Ianya diperlukan untuk menjadi rujukan kepada blok-blok yang akan dicipta pada kemudian hari.

Bitcoin Matawang Digital

Apakah data yang disimpan dalam blok Bitcoin?

Dalam rantaian blok Bitcoin, data yang disimpan dalam sesuatu blok adalah seperti jumlah transaksi, butiran sumber atau input dari mana, dan penerima atau output. Transaksi ini disimpan dalam blok-blok ini secara tetap. Apabila seseorang individu ingin menyertai mana-mana rangkaian Bitcoin, mereka akan perlu membuat salinan rangkaian ini.

Saiz rangkaian ini mencecah 130GB pada ketika ini dan ianya sentiasa berubah pada setiap hari.

Setiap transaksi dalam blok-blok ini akan dikira dan digabungkan untuk mengira baki jumlah Bitcoin yang kita miliki. Bermaksud, anda tidak menyimpan baki Bitcoin secara jumlah keseluruhan, tetapi ianya melibatkan ratusan atau ribuan transaksi yang menyebabkan jumlah baki akaun anda dikira.

bitcoin p2p network

Bagaimana data blok ini disimpan dalam bentuk hash?

Rangkaian Bitcoin menggunakan Cryptographic Hash Algorithm yang dipanggil SHA-256. SHA-256 ini adalah perkiraan matematik yang membolehkan sebarang mesej atau data ditukar kepada gabungan angka dan huruf yang tidak boleh dibaca secara langsung oleh mata kasar.

Saiz hasil kiraan SHA-256 adalah 256-bit atau 32Bytes. Cryptographic Hash Algorithm ini pada asalnya digunakan untuk menyimpan data-data sensitif seperti kata laluan dan seumpamanya.

Ianya bukanlah perkara yang baru. Antara hash yang biasa digunakan adalah MD5, di mana ianya boleh di encrypt dan di decrypt untuk apa juga tujuan.

Fungsi cryptographic hash

Disebabkan data dalam rantaian blok Bitcoin perlu dirahsiakan, setiap data yang telah ditukar menjadi hash tidak lagi boleh dibaca pemulanya. Hash ini menjadi pengenalan setiap blok yang akan dirujuk oleh blok baru yang akan dicipta dalam rangkaian.

contoh hash SHA256 adalah seperti berikut, perkataan denaihati.com akan diubah menjadi

1a3352cdd3289a640862b4f1cc7d81890b76e2948593a2c86fb8430fe9813b6b

sukar bukan untuk memahami gabungan huruf dan aksara ini?

Namun satu perkara menarik mengenai fungsi hash ini adalah, apabila kita memasukkan input yang sama, hasilnya tetap akan sama. namun apabila input berubah hanya dengan menambah satu noktah dalam input, hash akan terus berubah.

Melombong Bitcoin melibatkan penyelesaian rumus matematik melibatkan hash

Dalam aktiviti melombong Bitcoin, aktiviti utama adalah membuat tekaan rawak hash yang akan digunakan sehingga ianya mendapat hasil atau jawapan yang nilainya lebih rendah daripada yang telah ditetapkan.

Secara umum, jika kita ingin gunakan sebuah komputer biasa untuk menyelesaikan permasalahan matematik ini, ianya tidak cukup laju untuk melakukannya. Sebuah komputer biasa mungkin memerlukan beberapa tahun untuk menyelesaikan masalah ini.

Contoh ladang melombong bitcoin

Di sini, sekelompok super komputer diperlukan agar permasalahan ini boleh diselesaikan dalam tempoh 10 minit. Protokol Bitcoin hanya membenarkan sesebuah blok baru dimasukkan dalam rangkaian dalam tempoh 10 minit.

Disebabkan perkara ini, ada yang menggunakan GPU untuk melombong selain mesin khas yang telah direka dengan cip istimewa agar proses tekaan hash ini boleh dilakukan dalam tempoh yang ditetapkan.

Jika anda membaca spesifikasi mesin yang meletakkan hash rate atau kadar hash, itu adalah kemampuan mesin tersebut untuk membuat pengiraan atau tekaan hash dalam tempoh sesaat.

Semakin laju fungsi hashing ini, semakin bagus proses melombong Bitcoin akan dapat dilakukan.

Saban hari, perkataan Pool atau kolam komputer digunakan, melambangkan sekelompok komputer digunakan untuk menyelesaikan blok-blok ini dan akhirnya reward atau habuan akan diagihkan kepada semua yang terlibat dalam pool tersebut.

Jika anda terfikir untuk membina lombong bitcoin sendiri, tunggu terlebih dahulu untuk artikel sama ada anda patut membuka lombong anda sendiri atau tidak, akan diterbitkan dalam beberapa hari lagi.


Spread the love

21 Comments

  1. Tertanya-tanya, since harga bitcoin menjunam, dan dah ramai tergolek, apakan jadi dengan perancangan pasal bitcoin utk tahun seterusnya?

  2. Sekali bila baca memang tak akan faham. Banyak sekali istilah yang membuatkan kepala pusing. Namun bagi peminat boleh ja ikuti perkembangan terkini..

Comments are closed.

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!