4 ciri-ciri lelaki yang sesuai untuk jadi ketua rumahtangga

Spread the love

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Ramai di antara wanita yang risau dengan pemilihan calon suami dan juga pasangan yang bakal sama-sama mengemudi bahtera. Lelaki seharusnya menjadi ketua keluarga bagi memandu rumah tangga anda untuk sama-sama sampai ke syurga.

Tatkala mendengar berita mengenai isu keretakan rumah tangga dan salah satu faktornya ialah berpunca daripada sikap dan perangai suami yang kurang bertanggungjawab, tahap kerisauan tersebut semakin meningkat.

Malah, ada di antara kaum wanita yang memasang niat dan impian untuk bercita-cita tinggi sehingga menolak perasaan untuk mendirikan rumah tangga kerana takut akan disakiti atau impian untuk terbang tinggi terbantut kerana ‘sayapnya’ diikat.

“Jika dapat suami yang begitu, lebih baik aku tidak berkahwin dan bujang sahaja.”

“Setakat dapat suami yang macam itu, aku pun boleh jadi superwoman, lelaki macam dia tidak perlu ada dalam hidup.”

Dan pelbagai lagi alasan serta kata-kata yang dilemparkan oleh wanita-wanita terutamanya yang bekerjaya di luar sana. Malah, mereka menganggap bahawa perkahwinan itu bukan lagi suatu kepentingan untuk dilaksanakan.

Sedangkan Islam menggalakkan umatnya untuk melaksanakan perkahwinan dan mengembangkan umatnya agar mampu menjadi khalifah di muka bumi ini.

“Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya – Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya – zuriat keturunan – lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu.” (Surah An-Nisa, 4:1)

Walau bagaimanapun, mungkin ada di kalangan wanita di luar sana yang masih belum mempunyai ciri-ciri lelaki idaman atau mungkin terlalu memilih dan cerewet dengan pilihan yang ditetapkan.

Untuk entri kali ini, terdapat beberapa tip dalam pemilihan lelaki yang sesuai sebagai pengemudi rumah tangga anda.

#1 – Bertanggungjawab

Lelaki yang baik seharusnya disekalikan dengan pakej tanggungjawab dan sifatnya yang tidak mudah lepas tangan.

Tanggungjawab di sini bukan sahaja bermaksud tanggungjawab yang digalas terhadap keluarga dan anda, namun yang paling utama ialah tanggungjawab terhadap dirinya sendiri.

Adakah dia seorang yang punya tanggungjawab terhadap kesihatannya, bagaimana corak pemakanannya serta yang paling penting ialah tanggungjawabnya terhadap agama.

Paling kurang pun, adakah dia menunaikan asas dalam beragama seperti menunaikan solat, berpuasa dan juga punya sifat ihsan dalam diri.

Jika dia tidak melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik dan betul terhadap dirinya sendiri, bagaimana dia akan mengemudi rumah tangga anda dengan baik?

Kasih suami isteri hingga ke syurga

#2 – Menghiburkan

Lelaki yang baik tidak perlu serius sepanjang masa. Jika dia punya ciri-ciri untuk menghiburkan anda dan orang sekeliling, maka dia juga merupakan pilihan yang baik.

Apabila kita melihatnya, kita akan berasa tenang dan gembira. Malah, bukan kita sahaja yang merasakan sedemikian, namun orang sekeliling juga.

Perempuan sangat handal dalam kerja-kerja untuk ‘stalk’ atau mencari tahu tentang perihal seseorang. Itulah ungkapan yang sering kita dengar, sinonim dengan sikap dan kemahiran wanita. Oleh itu, tidak salah untuk menggunakan kemahiran tersebut untuk melihat apa sikapnya yang sebenar.

Cuba lihat bagaimana hubungannya dengan orang terdekat atau sekeliling. Adakah dia seorang yang disenangi ramai atau sebaliknya.

Namun, jangan gunakan kemahiran anda itu secara keterlaluan, bimbang kurang disenangi olehnya.

#3 – Kurang Ego

Lelaki dan ego berpisah tiada walaupun sebenarnya perempuan juga mempunyai ego yang tersendiri. Jadi, jangan pula mengharapkan lelaki tanpa ego kerana ia sesuatu yang tidak wajar.

Jika seseorang itu tidak punya ego, ia cenderung untuk tidak melindungi apa yang disayanginya.

Sebagai contoh, jika dia punya ego, pasti dia akan bekerja keras untuk mencari dan mengumpul wang demi menghalalkan anda kerana dia akan berfikir mengenai maruah dirinya serta orang yang disayanginya.

Namun, jika dia tidak punya ego, bererti dia akan mengambil sesuatu secara sambil lewa. Jika bapa anda hendak mengujinya dengan meminta hantara 20K sekali pun, dia akan berkata; “Mahal sangat. Mungkin kita tiada jodoh.” Sedangkan ia hanyalah ujian buatnya.

Hal ini kerana, ego merupakan perkara dalaman yang perlu ada dalam diri seseorang untuk mempertahankan apa yang disukainya.

Paling kurang pun, dia akan meminta kepada bapa anda untuk mengurangkan harga wang hantaran tersebut.

Namun, jika mempunyai ego yang terlalu tinggi juga adalah tidak elok. Hal ini kerana, dia cenderung untuk berfikir mengenai perasaannya semata-mata berbanding dengan perasaan orang lain.

Silap hari bulan, hidup anda yang tergadai kerana terlalu menurut kemahuannya.

Lelaki dan perempuan adalah saling bergantung satu sama lain

#4 – Pendidik Yang Bagus

Wanita itu diciptakan daripada tulang rusuk lelaki dan tugas lelaki adalah untuk melindungi dan menjaga wanita sesuai dengan kemampuannya.

Sewaktu kecil, kita dijaga oleh ibu bapa kita. Apabila meningkat dewasa dan telah berkahwin, kita dijaga pula oleh suami. Begitulah hakikat kehidupan seorang wanita.

Dalam tempoh jagaan itu, kita akan dididik sesuai dengan peringkat umur dan juga situasi. Tidak pernah sekali pun, Allah akan membiarkan wanita itu bersendirian kerana jiwa seorang wanita itu lembut dan mudah didorong oleh hati.

Sebab itu, dalam memilih pasangan hidup, kita perlu membuat pilihan yang baik. Biarpun dia tidak kaya dengan wang ringgit mahupun harta yang cukup sehingga tujuh keturunan, namun jika dia kaya dengan ilmu, itulah yang akan menjaga anda dunia akhirat.

Kerana perkahwinan itu bukan suatu yang bersifat sementara namun untuk kekal abadi. Biar di syurga kelak, kita akan menjadi ketua bidadari kepada bidadari lain di sampingnya.

hilal azmi nikah

Pilihan dari hati, istikharah

Yang paling utama ialah istikharah dan istisyahlah dalam membuat keputusan. Kadang-kadang kita merasakan dia adalah calon yang sesuai namun siapa tahu mungkin Allah punya jawapan lain untuk anda.

Dan jawapan kepada doa anda itu bergantung kepada bagaimana Allah ingin menunjukkannya.

Kerana perkahwinan itu bukan sekadar ikatan hubungan suami dan isteri namun hubungan kedua belah keluarga, iaitu keluarga anda dan dia serta keluarga yang bakal dibina kelak. Bacalah juga kisah Suami Isteri bukan untuk dimiliki.

Wallahu a’alam.
-tzkrh-


Spread the love

2 Comments

  1. bagus perkongsian ini. tapi itulah, kadang rasa susah nak mencari lelaki yang bertanggungjawab tu. moga pada yang mencari jodoh dapat mencari jodoh yang baik dan sesuai serta memenuhi semua ciri-ciri ini.

  2. wow…menarik

    panduan dan tip yang sangat bagus untuk pencari jodoh di luar sana terutama golongan wanita.

    bagi golongan lelaki pula bersedia dengan ciri-iciri yang dinyatakan.

Comments are closed.

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!